PETALING JAYA: Harga keseluruhan bahan api naik sebanyak 10 sen per liter bagi bulan Oktober.

Menurut sumber, harga untuk RON95 dan petrol RON97 yang telah ditetapkan pada RM2.05 dan RM2.45 seliter, naik 10 sen dari harga yang ditetapkan pada bulan September.

Harga diesel biasa juga naik 10 sen kepada RM1.90 seliter, manakala diesel Euro 5 kini berharga RM2 seliter.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memilih untuk menetapkan harga petrol dan diesel melalui apungan terurus sejak 1 Disember tahun lalu.-mStar

PETALING JAYA: Semua sekolah di seluruh negara mesti dibuka semula pada Khamis termasuk di Johor yang telah ditutup sejak dua hari lalu.

Kementerian Pendidikan telah menasihatkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah di seluruh negara untuk terus memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Jika terdapat perubahan dalam bacaan IPU, kementerian itu berkata Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah boleh mengambil tindakan yang diperlukan.

"Terdapat peningkatan dalam bacaan IPU setakat pukul 4 petang Rabu.

"Walaupun terdapat peningkatan yang sedikit di sesetengah kawasan, ia adalah pada tahap sederhana atau tidak sihat dan pengajaran dan pembelajaran boleh diteruskan dalam bilik darjah," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

KUCHING: Polis Sarawak berharap dapat mewujudkan lebih banyak ibu pejabat polis daerah (IPD) serta balai polis di negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung berkata cadangan tersebut selaras dengan pembangunan pesat negeri itu selain sebagai tindakan jangka panjang Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya dalam lawatan perpisahan di IPD Padawan di Siburan, di sini Rabu.

"Saya telah meninjau beberapa kawasan bersesuaian dengan pejabat Jabatan Tanah dan Ukur di bandar terlibat.

"Sebaik menerima tanah di tapak yang dicadangkan, kami akan mengemukakan permohonan menjadikannya IPD atau balai polis kepada Bukit Aman untuk pertimbangan serta peruntukan," katanya.

Chai berkata antara bandar yang memerlukan IPD baharu adalah Matu-Daro dan Dalat di Bahagian Mukah dan bandar Serian.

"Bagi balai polis baharu, kawasan yang memerlukannya adalah Oya dan Belawai di Bahagian Mukah, Senadin dan Taman Tuanku di Miri serta MatangJaya di Kuching," katanya.

Chai berkata, setakat ini kerajaan negeri menyambut baik permohonan mendapatkan tapak tersebut.

Katanya, ketika ini terdapat 28 IPD serta 81 balai polis di seluruh negeri itu.

Chai juga berkata Ibu Pejabat Polis Kontinjen akan mempertimbangkan untuk meletakkan anggotanya serta mewujudkan infrastruktur yang diperlukan di Empangan Bakun dan Empangan Hidro Murum di Bahagian Kapit pada masa hadapan.

"Ketika ini, kami bekerjasama dengan Sarawak Energy Berhad yang mengendalikan kedua-dua empangan itu untuk mengadakan polis bantuan bagi mengawal keselamatan di kawasan tersebut.

"Apabila ekonomi dan aktiviti pelancongan meningkat, kami akan meletakkan anggota polis di sana," katanya.

Sementara itu, Chai yang berkhidmat selama 36 tahun bersama PDRM akan bersara wajib mulai esok.

SHAH ALAM: Dua beranak warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar 2.5 kilogram dadah jenis methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), Sepang, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati yang pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan membabitkan kedua-dua wanita itu.

Sejurus mahkamah membuat keputusan itu, Tayebeh Abbasali Najafi, 36, dilihat memujuk ibunya Parvin Yousef Ilanlou, 57, yang menangis teresak-esak dengan hukuman berkenaan.

Tayebeh didakwa mengedar 1297.5 gram methamphetamine di kawasan pintu keluar Pemeriksaan Kastam, Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA pada 25 September 2012.

Parvin pula didakwa mengedar 1245.6 gram dadah jenis sama di tempat, masa dan tarikh sama.

Kedua-dua beranak itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Seramai lima saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Selangor Siti Noorbaya Jamil sementara dua beranak itu diwakili peguam Muhammad Zaim Azfar Jalaludin. - BERNAMA


GEORGE TOWN: Kisahnya yang dipaparkan dalam akhbar The Star bukan sahaja menjadikan penjual mi goreng mamak, Abdul Karim Pakir, 92, mendapat lebih ramai pelanggan, tetapi juga membolehkan dia bertemu dengan saudaranya yang telah lama hilang.

Selepas lebih dari 40 tahun, Varusai Omer Gatha Abdul Aziz akhirnya dapat bertemu dengan bapa saudaranya selepas membaca kisah tentang dirinya dalam akhbar The Star.

Varusai, 66, yang juga berasal dari India berkata dia mula mencari bapa saudaranya sejak tahun lalu selepas bersara dan berpindah semula ke Pulau Pinang.

"Saya gagal mencarinya dan berfikir bahawa dia telah meninggal dunia akibat sakit tua.

"Saya gembira apabila mengetahui bahawa dia masih hidup selepas akhbar The Star menulis cerita mengenai dirinya," katanya ketika ditemui di gerai Abdul Karim di Tamil Street di sini, Isnin.

Varusai pergi ke gerai itu tanpa memberitahu bapa saudaranya terlebih dahulu kerana mahu memberikan satu kejutan yang menggembirakannya.

Foto sahabat FB Sarawakiana
SEDUKU, Lingga: Hujan lebat serta ribut menerbangkan atap 10 rumah penduduk dalam kejadian di Kampung Penempatan Baru, Agropolitan Seduku di sini pada jam 10 malam kelmarin.

Pegawai Tadbir Sarawak di Pejabat Daerah Kecil Lingga Mohamad Ellifizan Paukan berkata, kebanyakan atap rumah yang terjejas diterbangkan sejauh kira-kira 50 meter.

Namun demikian, katanya, kesemua mangsa terdiri daripada 80 ahli keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Salah sebuah rumah rosak teruk, malah rumah kedai milik mangsa yang berhadapan kediamannya hampir tercabut. Kesemua barang dalam kedai berkenaan turut basah,” ujarnya.

Menurutnya lagi, semasa kejadian, semua penduduk belum tidur dan ada yang masih menonton televisyen.

“Nasib baik keluarga mangsa terlibat sempat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan. Buat masa ini, semua mangsa masih menetap di rumah masing-masing sementara menunggu bantuan disalur,” jelasnya.

Sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Sri Aman turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu mangsa ribut itu.

Begitu juga, pasukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sri Aman bergegas ke tempat kejadian untuk membantu serta menyalurkan bantuan kepada mangsa.

Kampung Penempatan Baru, Agropolitan Seduku merupakan penempatan baharu yang dihuni 150 orang penduduk.-UB




KUCHING: Raban graduate enggau insititusyen pelajar tinggi diperansang nyikap sereta ngenegapka agi pengelandik (graduate) dalam mayuh bengkah pekara nyengkaum ‘soft-skill’.

Menteri Muda Pemansang Menua Pesisir, Datuk Francis Harden Hollis madah, nya ngambika graduate ulih napi sebarang peminta guna industri lalu ukai semina bepanggai ba sebengkah pengelandik tauka penemu aja.

Ku iya, berindik ari pemayuh bala graduate ari institusyen pelajar tinggi ke ulih diambi gawa sereta pemayuh industri ti nguji deka nyendiaka graduate dikena napi peminta pemar ti majak nambah ba endur gawa dalam abad ke-21.

“Pasal isu raban graduate ti nadai pengawa, kitai mega ulih ngajar sida pengelandik bedagang ngambika ulih gawa ke diri empu tauka muka dagang baru baka Dagang Mit enggau Jelan Pemesai (SME).

“Ari ke ngiga pengawa, raban graduate ulih ngangkatka diri nyadi pengaji sereta ulih nyendia tauka muka peluang gawa ngagai orang bukai,” ku iya.

Iya ti mega Menteri Muda Pengawa Berumah mansutka pekara tu lebuh bejadika ‘Colloquium on Graduates Employability of the Emerging Workforce in the 21st Century i-CATS’ 2015 ti diatur i-CATS ba Lecture Theatre 1, I-CATS ditu, kemari.

Mayuh orang irauka pasal pengelandik ti enda setipak enggau peminta guna kelebih agi pasal pengawa manah ti ulih dikereja raban graduate kitai, ku iya.

Kebuah raban graduate kitai ti enda ulih diambi gawa ketegal ti nadai ‘soft skill’, pekara ti dipelajarka nembiak enda sebaka enggau peminta guna industri, ubah dalam industri sereta pengawa institusyen pelajar empu.

Berindik ari, iya minta institusyen pelajar tinggi perintah enggau peribit sereta raban industri patut bekerejasama awakka isu graduate nadai pengawa tauka enda ulih diambi gawa mujur diputarka.

“Kerejasama entara industri enggau akademik mutarka sesebengkah isu baka raban graduate ti nadai kereja, patut dipuji. Aku andal meda mayuh pengelicha ari mayuh bengkah penatai, ti ngarika pengelandik seseiku.

“Aku ngarapka i-CATS ukai semina ngatur kolokium sekali aja setaun tang patut lebih ari nya, sereta patut ngatur randau enggau pekara bukai ti ulih diatur begulai entara industri enggau institusyen pelajar tinggi.

“Opis Menteri Pelajar Tinggi Malaysia sereta Institusyen Pelajar Tinggi Perintah enggau Peribit mega udah besaup mantu perintah nengeri matau peminta enggau bekal pengereja pengawa ti diguna ba SCORE,” ku iya.

Entara pengelicha ke bisi meri licha ba kolokium ti diatur sehari kemari iya nya, Grace Teo ari Jobstreet Malaysia, Moslem Anour (Moslem Anoar International), Kam Yap Seng (DreamCatcher), Azlim Hamzah (Hitachi Global Storage Technologies) enggau Imelda Harris (celebrity chef).

Tuju kolokium diatur endang dikena meri peluang ngagai raban graduate tauka nembiak pasal isu graduate napi peminta guna industri, ngambika graduate lebih besedia sereta bisi motivasi nyadi sebagi ari pengereja pengawa ti dinamik sereta sikar jemah ila.

Sama bisi ngulu pengerami nya kemari pemangku Ketuai Pemesai Eksekutif (CEO) i-CATS, Mohamad Isham Mohd Fauzi enggau ke bukai.-UB

ADA sedikit pelik bila bekas Perdana Menteri yang kini jadi Pengerusi Proton (ada kata pemilik sebenar), Tun Mahathir Mohamad menuduh ia adalah salah kerajaan Malaysia sehingga Proton tidak berkembang. Sama macam isu 1MDB, yang di dakwa Mahathir sebagai salah kerajaan itu adalah dalam bab melindungi industri automatif negara kita – benda ni dia dah banyak kali sebut tapi buktinya tiada.

Mungkin Mahathir terlupa kewujudan Perodua, syarikat pengeluar kenderaan nasional tempatan kedua yang melancarkan produk pertamanya, Perodua Kancil pada 1994, hampir 10 tahun selepas Proton melancarkan model pertamanya pada tahun 1985.

Sehingga sekarang kita tidak mendengar Perodua ada mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menyalahkan kerajaan dalam apa-apa hal pun sekalipun mereka dan Proton berada di bawah dasar kerajaan yang sama, Dasar Automatif Nasional (DAN).

Mungkin antara lain kerana Perodua menguasai 33% jualan kenderaan tempatan, nak bising buat apa ye tak? Myvi sebagai contoh masih pegang rekod jualan kenderaan tempatan terbanyak dan sekarang kedudukan itu sedang dihampiri rapat oleh Axia, juga keluaran Perodua.

Bagaimana Perodua boleh, Proton tak boleh?

Isunya disini ialah bukan jenis kereta macam mana yang Perodua keluarkan berbanding Proton tapi keupayaan mengenal pasti produk automatif bagaimana yang sesuai dengan rakyat Malaysia. Sesuai dalam erti kata dari segi harga, khidmat sokongan selepas jualan dan lain-lain lagi.

Orang bila nak beli kereta, dia fikir bab itu, bukan segmen kereta macam mana Perodua buat, segmen kereta mana Proton buat, mereka fikir tentang kesesuaian hidup mereka, kemampuan membayar dan sebagainya.

Dalam perkara ini Proton kena buat banyak peningkatan, bukan Pengerusinya asyik nak salahkan kerajaan. Kerajaan ada banyak benda lain nak difikirkan dari beri perhatian kepada syarikat kereta yang sudah 30 tahun wujud, bukan 2 atau 3 tahun.

Penulis lihat, dalam kes Proton, terlalu banyak tumpuan, wang dan masa dihabiskan kepada R&D sedangkan sedikit sangat diberikan kepada mengenalpasti pasaran. Ini masalah yang biasa berlaku kepada syarikat yang terlalu bergantung kepada perlindungan kerajaan, bila perlindungan itu dah takde, asyik nak kompen saja kerjanya. -Mykmu

ATLANTA: Georgia melaksanakan hukuman mati kepada seorang pesalah wanita buat pertama kali di negara itu selepas 70 tahun.

Siaran televisyen tempatan, WSB-TV melaporkan, negara tersebut kembali melaksanakan hukuman mati terhadap pesalah wanita selepas 70 tahun menghentikannya.

Banduan itu, Kelly Gissendaner, 47, disahkan mati selepas diberi suntikan pada pukul 12.21 pagi di sebuah penjara di Jackson, Georgia.

Gissendaner dijatuhkan hukuman mati selepas didapati bersalah merancang pembunuhan suaminya pada 1997.

Sebelum itu, hukuman mati tersebut turut ditentang oleh pelbagai pihak yang mahu hukuman ditukarkan.

Bagaimanapun tiada perubahan dilakukan sehingga pesalah berkenaan diberi suntikan sebagai hukuman mati. - Mstar

Penjaga gol Arsenal, David Ospina didakwa menjadi punca kekalahan tipis 3-2 pasukan itu kepada Olympiacos dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada awal pagi Rabu.

Selain Ospina, pengendali Arsenal, Arsene Wenger juga dikritik apabila mengetepikan Petr Cech dan memberikan kepercayaan penuh kepada penjaga gol simpanan itu ketika skuadnya memerlukan kemenangan bagi perlawanan kali ini.

Dalam perlawanan itu, Ospina didakwa sebagai 'bodoh' apabila membawa bola ke dalam gol untuk memberikan jaringan kepada lawan pada minit ke-40.

Hasil tindakan itu, pasukan pelawat berjaya di depan dengan keputusan 2-1, selepas keputusan semasa terikat 1-1 hasil jaringan Pardo untuk Olympiacos dan Theo Walcott (Arsenal).

Perlawanan yang bersambung pada babak kedua pula menyaksikan Finnbogason meledakkan gol ketiga untuk Olympiacos sekaligus 'menyimpan' Arsenal di kedudukan terbawah kumpulan F.

Bagi perlawanan seterusnya, Arsenal bakal berdepan Bayern Munich yang berjaya membenam Dinamo Zagreb 5-0.-mStar

KUALA LUMPUR – Boeing menerima tempahan untuk 22 helikopter Apache dan 15 Chinook dari India bagi meningkatkan keupayaan negara itu dalam pelbagai misi ketenteraan dan kemanusiaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Boeing berkata Kementerian Pertahanan India telah memuktamadkan tempahannya dengan Boeing untuk pengeluaran, latihan dan sokongan bagi helikopter Apache dan Chinook.

Presiden Boeing India, Pratyush Kumar berkata India akan menerima 22 helikopter penyerang Apache AH-64E dan 15 helikopter pengangkut Chinook CH-47F.

Kedua-duanya membabitkan model terbaharu, katanya.

Beliau berkata ini merupakan kejayaan penting komitmen Boeing di India.

“Pemerolehan ini akan meningkatkan keupayaan Tentera Udara India dan memberikan kami peluang untuk mempercepatkan lagi pengeluaran ‘Buatan India’.

“India adalah negara ke-14 dan 15 yang memilih Apache dan Chinook,” katanya.

Pratyush berkata sebahagian besar badan pesawat Chinook sudah pun dihasilkan di India, dan perbincangan sedang dijalankan dengan rakan-rakan Boeing India untuk menghasilkan bahagian Apache.

Naib Presiden dan Pengurus Besar Bahagian Lif Menegak Boeing, David Koopersmith, berkata pesawat baharu itu akan menyediakan keupayaan bertaraf dunia untuk memenuhi misi Tentera Udara India hari ini, esok dan pada masa hadapan.

“Perjanjian ini merupakan satu lagi langkah utama ke hadapan dalam hubungan yang lama dan berjaya dengan India,” katanya. – BERNAMA

KUALA LUMPUR – Bilangan ruang meletak kenderaan di bandar raya ini akan dikurangkan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata idea itu adalah untuk mengurangkan kenderaan persendirian di jalan raya dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Kami sedang mengkaji rancangan ini (untuk mengurangkan ruang meletak kenderaan) secara menyeluruh dari segi kesannya dan akan melaksanakannya selepas selesai pembinaan Jajaran 1 projek Mass Rapid Transit (MRT) pada 2017,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ketujuh mengenai Bandar Raya Mapan Bertaraf Dunia 2015 (WCSC 2015) di sini, Selasa.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin dan Pengerusi WCSC 2015 Datuk N.K. Tong.

Katanya rancangan itu termasuk mengenakan kadar caj tempat letak kenderaan yang lebih tinggi dan kos pembangunan yang lebih tinggi untuk tempat meletak kereta.

Loga berkata projek seperti MRT dan Light Rail Transit (LRT) membolehkan orang ramai bergerak tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas.

Persidangan WCSC 2015 anjuran bersama Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KL REHDA), Institut Perancang Malaysia (MIP) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan mendapat sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Persidangan itu bermatlamat meningkatkan kesedaran warga kota dan lain-lain pihak berkepentingan membolehkan bandar raya berfungsi. – mStar

NEW YORK: Malaysia berada di kedudukan ke-32 secara keseluruhan di dunia bagi indeks inovasi dunia, meningkat satu tangga daripada kedudukan ke-33 tahun lepas, menurut laporan Indeks Inovasi Global (GII) tahun ini.

Perkara ini dinyatakan pada mesyuarat Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) kelima di midtown Manhattan, di sini pada Isnin yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mesyuarat memanfaatkan kaji selidik daripada laporan GII, yang baru disiarkan oleh Cornell University, INSEAD (sekolah lulusan siswazah perniagaan yang mempunyai kampus di Eropah, Asia dan Timur Tengah) dan World Intellectual Porperty Organisation (WIPO).

"Malaysia ialah negara berpendapatan sederhana yang menduduki ranking teratas dalam indeks inovasi," kata laporan itu.

Laporan itu menyatakan "kestabilan politik, kemasukan pelaburan langsung asing dan industri berasaskan eksport antara faktor bagi kejayaan transformasi Malaysia sebagai negara berpendapatan sederhana di kedudukan teratas"

GSIAC ialah sebuah badan terdiri daripada pemimpin negara dan antarabangsa yang terkemuka dalam bidang ekonomi, perniagaan, sains dan teknologi, dan diberi mandat membantu negara mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Majlis itu dikendalikan bersama oleh Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Academy of Sciences New York.

Malaysia muncul sebagai negara pencapaian inovasi untuk tempoh 2011-2014 berdasarkan peningkatan dalam Indeks Inovasi Global (GII) berkaitan KDNK, kata laporan itu.

"Malaysia mengatasi negara-negara lain yang berpendapatan sederhana dalam ketujuh-tuijuh tonggak GII bagi tempoh 2011-2014.

"Institusi amnya untuk merangsang inovasi amatlah baik, seperti terbukti dalam penambahbaikan dalam ranking mudah menjalankan perniagaan, daripada kedudukan ke-90 pada 2012 kepada kedudukan ke-15 pada 2014," kata laporan itu.

Kedudukan Malaysia dalam persekitaran perniagaan juga bertambah baik, apabila memperbaiki kedudukan daripada tangga ke-53 pada 2011 kepada tangga ke-25 pada 2014.

Laporan itu berkata, Malaysia kekal sebagai pengimport teknologi dan perkhidmatan dengan yuran bersih resit dan pelesenan kekal negatif selama bertahun-tahun.

"Usaha lebih besar perlu dilakukan untuk meningkatkan sokongan institusi dan aktiviti berasaskan pengetahuan untuk menjadikan Malaysia sebagai pengeksport teknologi dan perkhidmatan," kata laporan itu.

Ia juga menarik perhatian bahawa usaha Malaysia meningkatkan jaringan universiti-industri adalah contoh baik bagi negara-negara lain yang berhasrat untuk meningkatkan keupayaan inovasi.

Satu lagi kajian dasar Inovasi Malaysia yang disediakan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) meramalkan "peluang amat besar untuk direbut".

Kajian OECD itu dijangka menggariskan beberapa tindakan penting yang perlu untuk meningkatkan keupayaan inovasi Malaysia seperti, melaksanakan strategi pembangunan berasaskan inovasi, mengekalkan perhatian kepada pelaburan dan pelaburan berterusan dalam pembangunan sumber manusia dan kemahiran, sains, teknologi serta inovasi.

Tindakan lain ialah membangunkan sistem inovasi kebangsaan yang matang dengan interaksi yang sihat antara komposisi utama dan persekitaran antarabangsa secara beransur-ansur, memupuk keupayaan inovasi firma perniagaan melalui gabungan syarat rangka kerja berteraskan inovasi-mesra serta langkah-langkah dasar yang responsif dan berdedikasi.

Turut diberikan perhatian ialah mengukuhkan sumbangan penyelidikan universiti dan institusi penyelidikan, terutama oleh mekanisme pemandu dan pembiayaan, mengambil kira pelbagai fungsi institusi ini (daripada mendidik kakitangan mahir untuk STI hinggalah kepada menjalankan penyelidikan termaju).

-Astro Awani

Hong Kong: Seorang wanita di sini melalui pengalaman menjijikkan apabila tergigit tiga gigi palsu ketika menikmati sushi sewaktu makan malam.

Anak perempuannya dilaporkan membawa pulang sushi itu untuknya yang dibeli di sebuah restoran di kawasan Tsz Wan Shan.

Namun, wanita itu terkejut apabila tergigit sesuatu yang keras dalam hidangan ikan salmon yang dikunyahnya.

Apabila diludahkan, dia melihat tiga gigi palsu di dalam makanan itu.

Anaknya mengambil gambar gigi palsu itu dan mengadu kejadian kepada Sushi Express.

Bagaimanapun, pengurusnya berkata pekerjanya tidak menggunakan gigi palsu selain diwajibkan memakai topeng ketika menyiapkan makanan.

Restoran Sushi Express itu kini disiasat Jabatan Kebersihan Makanan dan Alam Sekitar.

Syarikat itu berjanji menyiasat kejadian itu termasuk memastikan asal usul gigi berkenaan. - Agensi

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang bekas penuntut Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC) selepas didapati bersalah membunuh pensyarahnya, Zara Eleena Omar Peter, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu terhadap Muhammad Safwan Mohamed, 23, selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Abdul Halim dalam penghakimannya berkata keterangan yang ditampilkan saksi pendakwaan sebelum ini, membawa kepada pensabitan tertuduh terhadap pembunuhan Zara Eleena.

Beliau berkata pembuktian bagi kes pembelaan tertuduh tidak mencukupi dan lebih kepada penafian semata-mata.

“Tertuduh nafi…menyebabkan kematian Zara Eleena. Beliau nafikan penglibatannya dalam kesalahan itu secara total.

“Keterangan tertuduh berbeza dengan keterangan saksi pendakwaan,” kata Abdul Halim.

Tambah beliau, sebarang pembelaan mesti disokong bukti-bukti sahih yang meyakinkan tetapi dalam kes itu tiada saksi lain ditampilkan untuk menyokong pembelaan tertuduh.

Muhammad Safwan, yang memakai jersi berwarna biru, kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan dan dia kemudian dipeluk ibu serta anggota keluarganya sejurus prosiding selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar sementara tertuduh diwakili peguam Muhammad Fadhli Sutris dan Shah Rizal Abdul Manan.

Seramai 32 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pada 30 Oktober 2014, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan Muhammad Safwan tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan membunuh Zara Eleena dan bapanya Omar Peter Abdullah selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Tiga lagi rakannya iaitu Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 23, Mohamad Sharafe Matt Noh, 22, dan Azizi Aizat Ibrahim, 23, bagaimanapun tidak bernasib baik dan mereka dijatuhi hukuman mati atas tuduhan sama.

Pada 30 Julai lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan pembebasan Muhammad Safwan daripada tuduhan membunuh Omar Peter, tetapi memerintahnya membela diri terhadap tuduhan membunuh Zara Eleena, pensyarah Bahasa Inggeris di kolej berkenaan.

Bagaimanapun, rayuan Mohamad Zul Shahril, Mohamad Sharafe dan Azizi Aizat ditolak dan Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati terhadap mereka kerana membunuh dua beranak itu.

Muhammad Safwan, Mohamad Zul Shahril, Mohamad Sharafe dan Azizi Aizat didakwa membunuh Zara Eleena, 23, seorang kelainan upaya (OKU) antara 1.30 pagi dan 2.30 pagi pada 9 Mac 2012.

Mereka juga didakwa membunuh bapa pensyarah itu, Omar Peter, 56, pesara syarikat kewangan antara 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan 1.30 pagi keesokannya.

Mereka dituduh melakukan pembunuhan itu di rumah dua beranak terbabit di No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. – BERNAMA


BEIJING : Rakaman CCTV tersebar menunjukkan seorang lelaki merempuh dua orang termasuk bekas isterinya di luar balai polis sebelum keluar dari kenderaannya semata-mata untuk menendang mangsa yang terbaring cedera.

Sina melaporkan, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi (waktu tempatan) semalam di Tianchang, wilayah Anhui.

Mangsa, Qin dan rakan lelakinya dipercayai kekasih barunya, Min, baru keluar dari teksi yang berhenti di depan balai polis berkenaan sebelum sebuah kereta hitam yang dipandu laju merempuh mereka.

Kereta itu dipandu bekas suami Qin yang dikenali sebagai Zhang.

Serangan itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati antara pasangan berkenaan.


- Agensi

Malaysia bercadang mewujudkan Pusat Serantau Digital Memerangi Mesej melalui Komunikasi, dalam usaha terbaharu mengekang pengaruh Kumpulan Negara Islam (IS) yang menggunakan laman sosial untuk mengrekrut ahli baru serta menyebar ideologi di serata dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengemukakan cadangan itu pada Sidang Kemuncak Pemimpin mengenai Pembanterasan ISIL dan Keganasan Melampau yang dipengerusikan Presiden Barack Obama, berkata Malaysia sedang menerokai secara aktif kemungkinan mewujudkan pusat seumpama itu.

"Fokus untuk memerangi kehadiran IS secara naratif dan atas talian, diperlukan. Asia Tenggara kini kekurangan program menyeluruh untuk melakukannya, jadi kita mesti menanganinya dan usaha sedang dibuat," kata Perdana Menteri yang juga selaku Pengerusi ASEAN di New York, sebentar tadi.

IS adalah kumpulan militan radikal yang beroperasi di Iraq dan Syria. Asal IS adalah Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) di Iraq atau ISIS di Syria.

Antara kaedah digunakan untuk menyebar ideologi serta mengrekrut ahli adalah melalui Facebook dan Twitter.

Najib percaya dengan sokongan dan penyertaan yang perlu, langkah itu boleh menjadi benteng penting di barisan hadapan dalam usaha meluas serantau untuk menguatkan gerakan anti-pemesejan IS.

Beliau berkata, rantau Asia Tenggara tidak terkecuali daripada ancaman militan tetapi di Malaysia, bernasib baik kerana tidak berdepan keganasan besar.

Namun katanya, usaha memerangi keganasan berterusan dalam cubaan untuk mengenal pasti kumpulan pelampau yang berhasrat berkunjung ke Asia Barat melalui Malaysia, dan menghalang beberapa orang daripada merosakkan kehidupan mereka dan nyawa orang lain.

Najib berkata, mereka juga berjaya memberkas lebih 100 suspek yang mempunyai kaitan dengan IS dan ada antaranya berhasrat mengebom Malaysia dan sudah tentu kerajaan tidak membiarkannya.

"Kejayaan ini tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama rapat di peringkat antarabangsa dan kita akan terus memperluaskan kerjasama dengan negara lain yang mempunyai pendirian sama, berkongsi risikan, bekerja dengan tentera yang berkaitan, polis dan sekuriti siber untuk menangani ancaman bahaya ini," katanya.

Beliau berkata, Malaysia bersama negara lain menghargai tindakan Obama mengetuai kempen antarabangsa untuk memerangi dan seterusnya menghapuskan IS.

"Kita mesti memberi pilihan jelas kepada mereka dalam IS. Tinggalkan pegangan kebencian jahat anda, ganas dan melampau, dan kembali ke pangkalan jalan atau berdepan akibatnya, " katanya. - BH


**KEMASKINI

KUCHING: Dua remaja terlibat dalam satu kemalangan maut di hadapan Sekolah Chung Hua No.6 Jalan Batu Kapur disini petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Khairul Azahar, 20 maut ditempat kejadian manakala pemboncengnya Nuratikah Besri, 17 yang mengalami cedera parah dilaporkan masih dirawat di Hospital Umum Sarawak(HUS).

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, penunggang motosikal disahkan maut di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke HUS untuk bedah siasat.

Pembonceng motosikal Nuratikah Besri, 17, yang cedera parah kini dirawat di hospital sama, katanya lagi.

Menurut Roslan, pemandu kenderaan pacuan empat roda berwarna putih itu melarikan diri selepas kejadian dan polis sedang memburunya susulan seorang daripada pengawal keselamatan sekolah itu gagal mencatatkan nombor pendaftaran kenderaan terbabit.

Namun demikian, menurut sumber Nuratikah yang mengalami kecederaan parah yang dirawat di HUS difahamkan telah meninggal dunia.

LOS ANGELES: Bekas teman wanita aktor Amerika Syarikat (AS) Jim Carrey, maut di rumahnya akibat bunuh diri, menurut polis Selasa.

Jurucakap pejabat koroner Los Angeles County, Fred Corral berkata, Cathriona White, 30, disahkan meninggal dunia oleh anggota paramedik petang Isnin.

Katanya, kematian White, seorang jurusolek Hollywood, dianggap sebagai bunuh diri. Laporan berita tempatan berkata, pasangan itu yang keluar bersama namun putus dan kembali menyambung hubungan sejak tahun 2012, berpisah Khamis lalu.

White yang berasal dari Ireland menghantar mesej samar dalam akaun Twitternya pada hari kematiannya yang berbunyi: "Menutup akaun Twitter, saya harap saya menjadi cahaya kepada orang terdekat dan tersayang."

Carrey dalam satu kenyataan berkata beliau "amat sedih dengan pemergian Cathriona yang manis."

"Beliau adalah bunga Ireland yang amat baik dan rapuh, terlalu sensitif untuk tanah ini (AS), kepada yang menyayangi dan disayangi itulah yang terserlah.

"Perasaan simpati saya buat keluarga dan rakan serta semua yang menyayangi dan mengambil berat dirinya. Kita semua dilanda musibah umpama kilat ini," kata aktor berusia 53 tahun itu.

White ditemui di rumahnya petang Isnin oleh seorang rakan yang menelefon perkhidmatan kecemasan.

Jurusolek itu dilaporkan meninggalkan nota bunuh diri. -AFP

fotoBH

SEPANG: Kumpulan pertama 407 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Selasa malam dengan menaiki pesawat SV5701 Saudi Airlines.

Ketibaan mereka pada 9.50 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah di Arab Saudi itu disambut anggota keluarga dan saudara-mara yang menunggu sejak 7 malam.

Turut menyambut ketibaan mereka ialah Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta beberapa pengurusan tertinggi TH.

Abdul Azeez dalam sidang medianya berkata sebanyak 68 penerbangan akan membawa pulang jemaah haji Malaysia bermula hari ini sehingga 28 Okt depan, yang 43 daripadanya menggunakan pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAB) manakala selebihnya melalui Saudi Airlines.

Beliau berkata mereka adalah sebahagian daripada 25,087 jemaah yang berjaya melaksanakan haji termasuk 2,785 yang diberi kebenaran menunaikan haji di saat akhir.

Abdul Azeez berkata tiga jemaah tidak berjaya melakukan wukuf akibat koma dan TH akan memberi keutamaan kepada mereka untuk melaksanakan haji tahun hadapan sekiranya kembali sihat selepas ini.

"Seramai 24 jemaah meninggal dunia, lapan daripadanya adalah akibat tragedi kren tumbang di Masjidil Haram dan insiden rempuhan di Mina.

"Jika ditolak daripada yang meninggal akibat kemalangan, hanya 16 yang meninggal dan ia merupakan jumlah terendah berbanding bilangan kematian sebanyak 36 orang tahun lepas dan 39 sebelumnya," katanya.

Beliau berkata jumlah kematian jemaah yang berkurangan itu banyak dibantu persediaan rapi pengurusan TH dalam aspek penjagaan kesihatan termasuk membawa doktor pakar dan menambah bilangan paramedik.

Mengenai barangan peribadi jemaah yang meninggal dunia, Abdul Azeez berkata pengurusan TH akan membawa pulang dan menyerahkan sendiri kepada keluarga masing-masing beserta sijil kematian melalui pengurusan cawangan masing-masing.

Dalam pada itu, seorang jemaah yang terselamat dalam insiden kren tumbang berkata kejadian itu menyebabkan beliau tidak sedarkan diri selama setengah jam.

Mohd Nor Azman Hassan, 44, berkata sebelum kejadian beliau berada di dalam masjid kerana berhasrat melakukan tawaf sebelum secara tiba-tiba merasa sakit di bahagian belakang akibat dilibas objek daripada kren tersebut.

Kejadian itu menyebabkan bahu dan tulang rusuk saya patah, manakala kedua belah tangan sukar untuk digerakkan, katanya yang berasal dari Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Kejadian kren tumbang pada 11 Sept lepas yang berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran itu menyebabkan tujuh orang jemaah Malaysia terkorban.

-- BERNAMA

CHIANG MAI - THAILAND. Seorang lelaki kurang siuman menetak mati lima kanak-kanak serta mencederakan seorang wanita hamil dalam insiden di wilayah Chai Prakan pada Ahad lalu.

Memetik laporan Bangkok Post, kanak-kanak yang maut ditempat kejadian ialah Wasan Sae Ying, Hahow Sae Ying, Singju Sae Ying dan Howsang Sae Ying yang mempunyai pertalian saudara antara satu sama lain berumur antara 8 hingga 10 tahun.

Sementara seorang lagi kanak-kanak Theerawut Denwipailertlam, 1, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Seorang wanita yang sarat mengandung, Yikor Sae Jin turut dilaporkan cedera parah akibat tetakan di muka dan badan kini sedang menerima rawatan di hospital tempatan.

Menurut polis, suspek Asapa Seewuawa, 24, baru dibebaskan dari Hospital Psikiatrik Suan Puang, pinggir bandar Chiang Mai sebulan yang lalu.

Asapa yang berada dirumahnya tiba-tiba hilang pertimbangan, mencapai kapak dari dapur rumahnya dan terus menyerang kanak-kanak malang itu yang sedang bermain di rumah mereka seorang demi seorang.

Dalam pada itu, mangsa yang cedera, Yikor yang terdengar jeritan kanak-kanak tersebut bergegas mendapatkan mangsa namun dia turut diserang ketika cuba untuk menenangkan suspek.

Suspek kini berada dalam tahanan polis dan masih belum didakwa.

SIBU: Pemimpin masyarakat disifatkan sebagai benteng pertahanan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana segala elaun pemimpin masyarakat dibayar kerajaan kerana mengiktiraf pelantikan mereka.

“Pemimpin masyarakat bekerja dengan kerajaan kerana kita mengiktiraf pelantikan mereka. Justeru, mereka harus pertahan kita apabila ada serangan pembangkang.

“Mereka berhak bersuara mewakili kerajaan jika ada yang mahu memburuk-burukkan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak 2015 (Bahagian Sarikei) di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mewakili Ketua Menteri, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datu Chaiti Bolhassan, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan) KKLW Datuk Rahim Abu Bakar, Pengarah Institut Kemajuan Desa (INFRA) Datuk Rubiyah Abdul Rahman serta tetamu kehormat yang lain.

Seramai 468 peserta terdiri daripada ketua masyarakat, ketua kaum dan setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari bahagian Sarikei telah menyertai seminar ini.

Seminar ini anjuran KKLW melalui INFRA yang merupakan inisiatif INFRA untuk memberi kefahaman terhadap konsep kepimpinan efisien dan berketerampilan kepada pesertanya.

Tujuan seminar ini diadakan untuk menjadikan setiap JKKK sebagai ejen transformasi yang mempunyai perancangan membangunkan desa meliputi aspek infrastruktur mahupun sosioekonomi masyarakat setempat.

Ismail Sabri berkata, pemimpin masyarakat perlu proaktif pertahan kerajaan terutama dalam menjawab segala tohmahan dibawa pembangkang menentang kerajaan negeri.

“Seseorang wakil rakyat di sesebuah kawasan tidak mampu menjaga semua kawasan apabila ada serangan pembangkang. Maka pemimpin masyarakat membantu wakil rakyat itu bersuara bagi memperjelas perkara sebenar sekali gus mempertahan kerajaan BN.

“Itulah peranan utama anda,” katanya sambil mengingatkan pemimpin masyarakat sentiasa menyediakan profil kampung atau rumah panjang.

Terdahulu dalam ucapannya, Jabu mengingatkan agar pemimpin masyarakat tidak terpedaya dengan helah ataupun hasutan pembangkang kerana ia hanya membazir masa.

“Parti pembangkang iaitu Parti Tindakan Demokratik (DAP) adalah sebuah parti yang tidak mahu melihat kawasan luar bandar maju dan membangun.

“Setiap kali kerajaan mempunyai bajet untuk membangun kawasan luar bandar, mereka akan bantah. Ternyata DAP sebuah parti yang tidak mahu melihat kawasan luar bandar membangun.

“Justeru, kita tolak parti ini begitu juga dengan parti pembangkang yang lain. BN adalah parti yang tepat untuk kita pilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” tambahnya.

Pada majlis sama, Ismail Sabri dan Jabu turut menyaksikan seramai 36 ketua masyarakat dari bahagian Sarikei melafazkan ikrar sebagai menunjukkan kesetiaan mereka kepada kerajaan BN. -UB-

KUCHING: Senator Datuk Prof Dr. Sim Kui Hian, Presiden SUPP telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Wang Ehsan Banjir Siri 2 2015 fasa terakhir Daerah Kuching. Majlis diadakan di Dewan Suarah Kuching.

Dr. Sim menyerahkan bantuan wang ehsan kepada penerima sebagai simbolik pengagihan wang berkenaan. Sebanyak 1613 keluarga dari Kuching, Padawan dan Siburan yang menjadi mangsa banjir di daerah ini menerima wang ihsan sebanyak RM500.

Nyata pemberian wang ihsan banjir yang disalurkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap apa juga masalah yang dihadapi oleh rakyat, khususnya bagi meringankan beban mereka menjalani kehidupan harian.

Daripada tinjauan dan temuramah rata-rata mereka yang menerima bantuan ehsan tersebut menyatakan kesyukuran dan berterima kasih kepada kerajaan kerana masih sentiasa membantu serta meringankan beban mereka.

Turut hadir bersama ialah Haji Ibrahim Bin Kipli Pegawai Daerah Kuching, Encik Morshidi Setiausaha Sulit kepada YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof serta Ketua-ketua Masyarakat yang terlibat. - klxpress.

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bayi yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui mati dipercayai dicampak dari tingkat tujuh sebuah bangunan kediaman di sini semalam.

Menurut polis, bayi perempuan berkenaan ditemui oleh isteri penyelia di bangunan kediaman terbabit pada jam 2.20 petang waktu tempatan ketika sedang membersihkan kawasan berkenaan.

Bayi itu dipercayai dilahirkan di salah satu kediaman di dalam bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada bayi berkenaan masih hidup ketika dicampak atau pun telah meninggal dunia.

Memetik laporan The New York Times, pihak berkuasa berkata, bayi berkenaan ditemui kaku dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, sumber polis memberitahu CBS News, seorang lelaki yang dipercayai bapa kepada bayi malang berkenaan sedang ditahan dan disoal siasat manakala wanita yang dipercayai ibu mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan.

- Sinar Harian

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan Jalan Alor di Bukit Bintang di sini telah dibersihkan daripada sebarang kemungkinan ancaman militan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata lokasi dan kawasan sekitarnya kini dipantau rapi oleh polis.

"Kami ingin memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa pihak polis sentiasa bersiapa siaga bagi menentukan tidak ada sebarang ancaman keganasan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan fasa pertama sidang pleno Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) kali ke-10 di sini hari ini.

Laporan berita pada Khamis menyebut Kedutaan Amerika Syarikat dan Suruhanjaya Tinggi Australia telah mengeluarkan nasihat perjalanan berhubung kemungkinan serangan pengganas di Jalan Alor dan kawasan sekitar yang mereka percaya boleh berlaku pada hari berkenaan.

Berikutan itu, pada hari yang sama, polis menangkap tiga lelaki terdiri daripada seorang rakyat tempatan, seorang warga Indonesia dan seorang warga Syria bagi membantu dalam siasatan mereka.

Ahmad Zahid juga berterima kasih kepada perisikan Amerika Syarikat atas kerjasama mereka dengan Polis Diraja Malaysia berhubung perkara itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata walaupun isu mengenai jerebu tidak berkaitan secara langsung dengan AMMTC, Ketua Polis Nasional Indonesia Polis Jeneral (Pol) Badrodin Haiti membawa isu itu untuk perhatian pada mesyuarat itu dan menekankan mengenai komitmen mereka bagi menyelesaikan keadaan itu.

Berhubung perkara itu, Ahmad Zahid berkata para pemimpin ASEAN yang berhimpun dalam AMMTC kali ke-10 telah melahirkan penghargaan mereka berhubung komitmen Indonesia dan berharap ia akan diterjemahkan dalam tindakan yang tegas.

Sebelum itu, Haiti berkata sejumlah 40 daripada 210 siasatan yang dijalankan berhubung isu pembakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia telah selesai untuk proses pendakwaan.

-- BERNAMA


SANDAKAN: Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melepaskan tiga das tembakan amaran sebelum menahan sebuah bot nelayan asing yang disyaki menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Billean di Beluran, Pada Isnin.

Bot nelayan tersebut ditahan bersama seorang tekong dan 32 awak-awak pada pukul 8.50 pagi oleh kapal ronda APMM Daerah Maritim Sandakan.

Ketua Penguatkuasa Maritim DM 17 Kapt Maritim A. Razak Abdul Rahman berkata ketika dikesan, bot nelayan itu sedang bersauh dan beberapa awak-awak berada di dalam air sedang leka melakukan sesuatu.

Katanya, mereka yang di dalam bot itu kemudian bertindak menarik sauh dan memecut meninggalkan awak-awak yang berada di dalam air untuk melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota penguatkuasa APMM.

"Kapal ronda APMM bertindak pantas mengejar dan mengarahkan bot tersebut berhenti untuk diperiksa namun tidak diendahkan dan sebaliknya beberapa kali melanggar kapal ronda APMM sehingga mengalami kerosakan.

Anggota APMM telah melepaskan tiga das tembakan amaran ke arah laut dan serta-merta bot tersebut berhenti, katanya di sini, Selasa.

Menurutnya tekong dan awak-awak yang ditahan berusia 23 hingga 59 tahun, dan kesemuanya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya mereka disyaki menceroboh perairan Malaysia dengan tujuan menangkap sotong menggunakan pelampung yang diperbuat daripada buluh.

Beliau berkata turut dirampas hasil tangkapan seberat dua tan dan kesalahan dilakukan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1963.

A. Razak berkata pihaknya akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang maritim bagi memastikan perairan negara terjamin.

Beliau turut meminta komuniti maritim memberi kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi DM 17 di talian 089-229504 atau talian Pusat Panggilan Kecemasan MERS 999.-mStar

Sempena menyambut bulan kanser payudara seluruh dunia, Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Kuching akan mengadakan ceramah dan demontrasi pemeriksaan sendiri payudara (PSP) kepada pelajar-pelajar sekolah dan guru pada bulan Oktober nanti.

Antara sekolah yang terlibat adalah Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah yang diadakan pada 6hb Oktober 2015, manakala SMK Green Road dan SMK Agama Tun Ahmad Zaidi masing-masing pada 27hb Oktober 2015.

Penaung Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Kuching, Yb. Hajah Sharifah Hasidah berkata, kesedaran mengenai kanser payudara adalah amat penting di semua peringkat komuniti khususnya para remaja dan wanita.

"Kempen kesedaran ini mensasarkan golongan pelajar dan guru dimana tujuannya adalah untuk mendedahkan pelajar cara-cara mengesan kanser payudara supaya panyakit kanser ini dikesan lebih awal,”

“Melalui pengesanan lebih awal mampu mengelakkan penyakit menjadi lebih teruk dimana ia boleh menyebabkan kematian,”

Hasidah yang juga merangkap ADUN N.7 Samariang berkata sedemikan semasa menghadiri Sidang Media mengenai aktivit tahunan Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon di Riverside Majestic Hotel sebentar tadi. Turut hadir, Hjh. Suriani Rapaiee selaku Presiden Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon.

Tanbah beliau lagi, kanser payudara bukannya sahaja mampu menyerang golongan dewasa malah golongan remaja juga berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit kanser payudara dan sebab itulah kaedah pengesanan awal amat penting.

Di samping itu, pihak Pink Ribbon juga akan mengadakan ‘Breast Cancer Talk’ di Riverside Majestic Hotel sempena Majlis Malam Tabung Bangunan Pink Ribbon cum Kesedaran Kanser Payudara pada 30hb Oktober 2015.

Objektif utama adalah mencari dana untuk mendirikan sebuah bangunan “Pusat Sokongan Pink Ribbon” bagi membantu pesakit kanser payudara menangani pesakit mereka melalui aktiviti pemulihan secara kaunseling, rawatan kejururawatan, fisiotherapi dan menyediakan sokongan fizikal.

"Dengan adanya sebuah pusat ahli-ahli Pink Ribbon percaya mereka boleh memberi khidmat profesional kepada masyarakat khasnya wanita-wanita yang mengalami kanser payudara dengan lebih efektif, terperinci dan memuaskan," kata Presiden Persatuan Kumpulan Sokongan Pink Ribbon, Hjh. Suriani.

Bakal melangsungkan majlis pernikahan pada 14 Mei tahun hadapan, Hafiz Suip menyatakan bahawa dia kini sudah pun membuat persiapan awal untuk majlis tersebut selain menyatakan bahawa majlis resepsi kedua belah pihak hanya akan diadakan di Sarawak.

“Memang saya dan Nureffy sudah setuju untuk mengadakan resepsi kami di Sarawak sahaja. Bukan apa, kasihan pula kalau ada saudara saya yang tidak boleh turun ke Kuala Lumpur untuk menyaksikan majlis kami nanti,” jelasnya kepada Utusan Online.

Sementara itu, penyanyi ini juga mengatakan dia tidak menerima sebarang penajaan daripada mana-mana pihak bagaimanapun dia sendiri tidak mengharapkan perkara tersebut dan mengadakan majlis di atas kemampuan sendiri.

“Saya tidak mahu mengharap soal itu, kalau ada, saya anggap rezeki. Kalau tiada pun tidak mengapa memandangkan kami berdua sudah bersetuju untuk mengadakan majlis kami mengikut kemampuan kami berdua,” ujarnya. Apa pun, semoga majlis yang bakal berlangsung nanti akan berjalan lancar tanpa sebarang masalah. (rtky/s)

CHENNAI: Sejenis benang yang digunakan untuk menerbangkan layang-layang kini disifatkan sebagai sejenis senjata pembunuh di bandar raya ini yang terletak di selatan India.

Ia bukan benang biasa namun apa yang dipanggil penduduk di sini sebagai 'manjaa', diperbuat dengan campuran serpihan kaca dan objek tajam yang lain.

Seorang kanak-kanak lelaki berumur lima tahun maut selepas benang daripada layang-layang yang diterbangkan berdekatan jejambat mengelar lehernya pada Ahad, demikian menurut laporan media tempatan.

Akhbar Hindu pada Selasa memetik Pesuruhjaya Polis Chennai S. George sebagai berkata bahawa penggunaan benang 'maanja' sama seperti menggunakan sejenis senjata untuk mencederakan orang yang tidak bersalah.

"Ibu bapa perlu menasihatkan anak mereka supaya tidak terlibat dalam kegiatan berbahaya ini kerana ia bukan sahaja mengancam orang lain tetapi juga boleh dikenakan tindakan undang-undang jika berlaku sebarang insiden yang tidak diingini," katanya.

Akhbar itu berkata George telah mengarahkan para pegawai kanan polis untuk menubuhkan pasukan khas untuk membendung ancaman menerbangkan layang-layang menggunakan 'maanja'.

"Keseronokan atau hiburan tidak boleh dilakukan sehingga menyebabkan nyawa orang lain terancam. Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bermain layang-layang menggunakan benang 'maanja' dan juga mereka yang membekalkan bahan-bahan ini," beliau dipetik sebagai berkata oleh akhbar itu.

Akhbar The New Indian Express memetik George sebagai berkata bahawa polis terpaksa menjalankan beberapa siri serbuan di bandar dan menahan 10 orang dan merampas mesin dan gulungan benang 'maanja' dalam jumlah yang besar.- BERNAMA

TAIPEI: Taufan Dujuan yang melanda Taiwan mengakibatkan dua penduduk maut manakala 300 lagi cedera, lapor pihak berkuasa pada Selasa.

Selain itu, hampir setengah juta penduduk kini terpaksa bergelap apabila terputus bekalan elektrik kerana taufan itu turut merosakkan pencawang utama.

Taufan Dujuan dilapor turut membadai kawasan di China yang bersempadan dengan Taiwan.

Agensi berita Xinhua melaporkan, ramai penduduk di Taiwan cedera akibat terkena serpihan yang dibawa taufan berkenaan.

Pusat Operasi Kecemasan pula memberitahu, seramai dua penduduk terbunuh manakala 324 lagi cedera terkena serpihan pokok, kaca dan lain-lain lagi.

Seramai 12,000 penduduk telah dipindahkan dan daripada jumlah itu sebanyak 3,000 ditempatkan di pusat penempatan sementara.

Antara penduduk yang mengalami risiko tinggi ialah masyarakat Orang Asli di pergunungan Taiwan kerana angin kuat akan menyebabkan pokok tumbang dan tanah runtuh.-mStar

KUCHING: Masyarakat serta agensi pelaksana perlu bekerjasama dengan polis dalam menangani isu serta masalah sosial yang wujud, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dr Chai Khin Chung.

Beliau berkata kerjasama antara masyarakat, agensi pelaksana serta polis mampu mewujudkan satu tindakan konstruktif dalam menangani permasalahan serta isu yang timbul.

"Harapan masyarakat terhadap polis sangat tinggi...tidak kira apa masalah akan dirujuk kepada polis sedangkan banyak agensi lain yang memainkan peranan sebagai agensi peneraju dalam penguatkuasaan sesuatu undang-undang tertentu.

"Jadi kerjasama konstruktif antara masyarakat, agensi pelaksana serta polis perlu wujud untuk menangani isu yang timbul ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Pentadbiran) Supt Entusa Imam dan Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah (Operasi) DSP Lim Bak Phai.

Mengulas lanjut, Chai berkata sebagai contoh permasalahan melibatkan lesen perniagaan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan terlebih dahulu sebelum polis dipersalahkan kerana tidak mengambil tindakan.

"Mungkin pegawai kita perlu perjelaskan kepada masyarakat supaya tidak terus salahkan polis kerana ada agensi lain yang patut ambil tindakan terlebih dahulu.

"Kadang-kadang bukan tak nak ambil tindakan...kita tidak mahu 'menyeberang sempadan', kalau polis ambil tindakan tidak manis untuk kita masuk bidang kuasa agensi lain," katanya.

KUCHING: Program Exporters Forum 2015 peringkat Negeri Sarawak ini sangat sesuai dengan matlamat kerajaan negeri untuk meningkatakan potensi usahawan-usahawan Sarawak menjadi pengeksport yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, beliau yakin dan percaya bahawa dengan bimbingan dan bantuan yang sesuai, usahawan-usahawan Sarawak berpotensi besar untuk berjaya sebagai pengeksport barangan yang mempunyai tambah nilai.

Beliau juga menyarankan agar usahawan-usahawan perlu dibangunkan dengan lebih efektif kerana usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah kompenen penting ekonomi dan prniagaan di negeri Sarawak.

Difahamkan Perbadanan Luar Malaysia (MATRADE) telah membuka pejabatnya di Sarawak bagi membantu usahawan-usahawan Sarawak menjadi pengeksport yang berjaya.

“Sehubungan itu, saya mahu melihat lebih ramai lagi usahawan-usahawan Sarawak mendaftar sebagai pengeksport dan menyertai program-program promosi anjuran MATRADE di luar negara di masa yang akan datang,” tegasnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa jangan hanya bergantung kepada pasaran dalam negeri sahaja kerana ianya agak kecil.

“Sumbangan PKS kepada eksport Malaysia masih kecil iaitu 16.9 peratus dan kerajaan mensasarkan peningkatan 25 peratus menjelang tahun 2020,” jelasnya.

Beliau berkata aktiviti-aktiviti Promosi Perdagangan dan Pembangunan Pengeksport tahunan MATRADE harus menjadi satu pelan tindakan yang berkesan untuk syarikat-syarikat dari Sarawak termasuk profesianal mempertingkatakan eksport masing-masing.

Tambahnya, kerajaan akan terus menitikeratkan pembangunan PKS kerana ianya merupakan tulang belakang pembangunan ekonomi negeri dan negara.

“Kalau kita melihat Banci Ekonomi 2011, terdapat 645,136 PKS beroperasi di negara ini iaitu mewakili 97.3 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan yang di daftarkan hari ini,”

“Peratusan ini memberi gambaran yang sama di Sarawak iaitu berjumlah 43,830 adalah PKS dan telah mencatatkan sumbangan yang signifikan iaitu RM25 bilion keluaran negara kasar serta menjana 240,000 peluang pekerjaan kepada negeri ini,”jelasnya.

Beliau juga berkata jumlah dagangan di Sarawak meningkat sebanyak 6.5 peratus berbanding tahun 2013 iaitu RM147.33 bilion.

“Antara lima komoditi eksport utama Sarawak adalah Gas asli cecair (RM64.58 bilion), petroleum mentah dan keluaran petroleum (RM24.23 bilion), minyak kelapa sawit dan minyak isirung kelapa sawit (RM9.52 bilion) balak gergaji, kayu gergaji, papan lapis biasa, veneer dan papan MDF (RM7.12 bilion) dan barangan daripada aluminium ( RM302 juta),” jelasnya.

Beliau berharap agar inisiatif ini dapat diadakan dengan lebih kerap pada masa hadapan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian Sarawak (MID), Dewan-dewan Perniagaan dan Persatuan-persatuan Perniagaan di Sarawak demi kemajuan eksport negara.

Adenan berkata demikian dalam teks ucapannya sempena Program Exporters Forum 2015 peringkat Negeri Sarawak yang telah dianjurkan oleh MATRADE di sini sebentar tadi.

Teks ucapan Adenan telah disampaikan oleh Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Haji Julaihi Haji Narawi bagi mewakili Ketua Menteri merasmikan program tersebut .

Terdahulu, Program terebut adalah salah satu initiatif MATRADE untuk menggalakan syarikat –syarikat dari negeri Sarawak untuk mengembangkan perniagaan mereka di perigkat antarabangsa. – Sarawakiana

KUCHING: Lawatan kerja Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Dr Chai Kin Chung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching hari ini turut menyaksikan satu majlis serah terima tugas diantara Supt. Entusa Imam kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching (Pentadbiran) yang baharu DSP Lim Nee Kon buat sementara waktu yang telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, Jalan Simpang Tiga disini pagi tadi.

Majlis berkenaan diadakan berikutan persaraan mantannya Supt. Entusa Imam yang akan bersara mulai hari ini dan majlis menandatangani dokumen rasmi turut disaksikan oleh Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Bek Ahmad.

Dalam pada itu, Chai merakamkan penghargaan atas jasa diatas sumbangan dan dedikasi Entusa dalam membantu memantapkan pentadbiran dan tugasan dalam bidang berkaitan dengan cemerlang dalam pelbagai aspek selama lebih 35 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

Beliau turut mendoakan kesihatan yang baik serta lebih maju dan berjaya dalam apa juga bidang yang bakal diceburinya selepas ini.

Di samping itu, beliau turut mengharapkan Lim dapat memikul tugas baharu dan berjaya meneraju bidang berkaitan dengan lebih mantap dan efisien terutama dalam pentadbiran.

Sementara itu, lawatan kerja ini adalah merupakan lawatan kerja yang terakhir beliau ke IPD Kuching sebelum persaraan tetapnya tidak lama lagi.

Turut hadir pegawai-pegawai kanan polis dari balai-balai dibawah seliaan IPD Kuching-Sarawakiana

KUALA LUMPUR: Malaysia menghargai komitmen kerajaan Indonesia dalam mengenakan tindakan undang-undang terhadap syarikat-syarikat di negara berkenaan yang didapati menyebabkan masalah jerebu di rantau ini, kata Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai tindakan-tindakan kerajaan Indonesia oleh Ketua Polis negara itu, Jeneral Badrodin Haiti dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-10 hari ini.

Sementara itu, dalam perkara berasingan, Ahmad Zahid berkata, kawasan Jalan Alor di Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya adalah bebas daripada ancaman pengganas.

“Saya ingin mengesahkan kawasan berkenaan dan beberapa kawasan lain (yang sebelum ini) dikategorikan sebagai bahaya adalah dalam pemerhatian ketat pihak polis dan kami beri keyakinan kepada orang ramai bahawa polis sentiasa siap siaga untuk memastikan tiada ancaman pengganas,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN ONLINE

KUCHING : The issue of Graduate Employability has come to fore as institutions of higher learning and various industries strive to prepare graduates to meet the ever growing demands and challenges in the workplace of the twenty-first century.

Assistant Minister of Rural Development and Assistant Minister of Housing Datuk Francis Harden Hollis said to participant that there has been much concern about managing the Skill Mismatch when it comes to the question of gainful employment of our graduate. Various factors contributing to Graduates Unemployability have been cited, such as the lack of soft skill, misalignment between graduates produced for various disciplines and actual workforce demand, changes in the industries and the role of educational institutions themselves.

" The state government has embarked on Sarawak Corridor of Renewable Energy or SCORE initiative. With SCORE initiative, the Sarawak GDP can reach RM118 billion and an increase in per capita income to RM97,400.00. This figures would also mean 1.6 million additional jobs will be created in Sarawak,"

" On the issue of graduates un-employability, we can also equip graduates with entrepreneurship skills so that they can be self employed and/or create new businesa venture in the form of Small Medium Enterprise or SME. As such instead of merely looking for employment in the workforce, the graduates can empower themselves as employers and in the process creating job oppitunities for others," said Francis.

Acting CEO i-CAT Isham Mohd Fauzi also attended the colloquium this morning.-Sarawakiana

KUALA LUMPUR: Perkembangan baharu jenayah rentas sempadan seperti yang dikenal pasti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) harus ditangani secara teliti oleh ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata sebab itu jugalah Deklarasi Kuala Lumpur dalam Memerangi Jenayah Rentas Sempadan yang dicadangkan Malaysia harus diguna pakai dan ditandatangani 10 anggota ASEAN.

"Deklarasi itu antara lain menumpukan isu yang harus dipandang berat para Menteri, seperti kemunculan corak baharu jenayah rentas sempadan termasuk mencari formula baharu bagi Pelan Tindakan ASEAN untuk Memerangi Jenayah Rentas Sempadan sejak kali terakhir ia dirangka pada 2002.

"Semua negara anggota ASEAN menandatangani Konvensyen Jenayah Rentas Sempadan PBB (UNTOC), jadi ia memerlukan kesediaan di pihak kita untuk menyiapkan diri menghadapi perubahan yang akan berlaku di masa hadapan membabitkan kemunculan corak baharu jenayah rentas sempadan," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) kali ke-10 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Kebangkitan Radikalisme dan Keganasan Ekstrem, di sini hari ini.

Menurut Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah, corak baharu jenayah rentas sempadan antaranya termasuk perdagangan haram membabitkan warisan semula jadi dan budaya, hidupan liar, produk berasaskan kayu, sisa elektrik dan elektronik atau e-sisa, bahan yang mengurangkan lapisan ozon dan barangan palsu pengguna.

Sementara itu, jenayah rentas sempadan tradisi pula terdiri daripada pemerdagangan manusia, senjata serta dadah, jenayah siber, lanun, jenayah berkaitan ekonomi dan pengubahan wang haram.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata jenayah rentas sempadan memberi implikasi besar kepada kestabilan, keselamatan, kedaulatan dan ketenteraman awam sesebuah negara.

"Jenayah rentas sempadan adalah satu fenomena yang pada dasarnya melibatkan pergerakan manusia merentasi sempadan, transaksi kewangan rentas sempadan termasuk pembabitan sindiket jenayah antarabangsa.

"Ia memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat sehinggakan usaha menangani jenayah terancang dan rentas sempadan adalah kebimbangan utama dalam keselamatan pada abad ke-21," tambah Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid turut menjelaskan ASEAN telah lama sedar ancaman seperti itu dan mengambil langkah segera termasuk usaha bersepadu menangani masalah berkenaan sejak awal tahun 70an.

Usaha itu semakin penting sekarang ketika 10 anggotanya bersedia merealisasikan Komuniti ASEAN menjelang akhir tahun ini.

"Kewujudan Komuniti ASEAN pada akhir tahun ini memerlukan kita menjadi lebih berdaya tahan, bersedia sepenuhnya, mengambil pendekatan menyeluruh serta langkah komprehensif selain menggunakan kemajuan teknologi untuk menangani ancaman jenayah rentas sempadan sedia ada, secara lebih berkesan.

"Kita harus ingat AMMTC adalah komponen penting Jawatankuasa Keselamatan Politik ASEAN (APSC) yang menyokong kewujudan Komuniti ASEAN selain Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN," katanya kepada delegasi yang hadir.

Di akhir ucapannya, Ahmad Zahid berkata penguatkuasaan undang-undang dan perundangan yang lebih ketat tidak cukup untuk menangani masalah berkenaan dan kerana itu perkongsian strategik dan program membabitkan orang awam dan sektor swasta amat diperlukan.

Mesyuarat dwitahunan AMMTC empat hari itu yang memasuki hari kedua hari ini akan menyaksikan penerimaan pemimpin ASEAN terhadap Deklarasi Kuala Lumpur dalam Menangani Jenayah Merentas Sempadan serta Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Pergerakan Tidak Teratur Manusia di Asia Tenggara.

-- BERNAMA
| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA