KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON95, RON97 dan diesel turun 10 sen seliter bagi Ogos 2015 berkuat kuasa tengah malam ini (1 Ogos).

Harga baharu RON95 ialah RM2.05 seliter, RON97 pula RM2.45 seliter selepas Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dan diesel RM1.95 seliter.

“Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Ogos ini,” kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Zulkifli Mokti ketika dihubungi Bernama.

Makluman ini sekali gus menafikan penyebaran tidak bertanggungjawap di media sosial oleh pihak tertentu yang mendakwa kerajaan telah menaikkan harga ketiga-tiga bahan api setinggi 35 sen seliter.

Dakwaan itu menggunakan “Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan” sebagai sumber maklumat tersebut. – Bernama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat menyerahkan surat tawaran menunaikan fardu haji 1436H/2015 kepada 1,200 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Majlis penyerahan surat tawaran tajaan Yayasan 1Malaysia Development Bhd(1MDB) berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini.

Najib dalam ucapannya berkata inisiatif untuk melaksanakan program itu tercetus susulan tinjauannya mendapati masih ramai di kalangan kumpulan berkenaan tidak berpeluang mengerjakan haji, antaranya disebabkan kekangan kewangan.

Bersimpati dengan keadaan itu, beliau yang amat menghargai sumbangan kumpulan yang begitu berperanan di peringkat akar umbi itu memutuskan supaya diwujudkan satu program khas bagi menaja golongan sasar untuk menunaikan haji.

"Saya rasa hiba bila dapat tahu ada imam, ketua kampung dan JKKK yang amat berjasa ini tidak dapat menunaikan haji. Alhamdulillah setelah masuk kali kelima dijalankan kita telah berjaya menghantar seramai 3,400 jemaah termasuk penerima hari ini...inilah hasrat yang ingin saya lihat dan tunaikan," katanya.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada majlis itu, Najib turut menarik perhatian bagaimana masyarakat kini lebih mempercayai persepsi daripada mencari kebenaran sehingga terjebak dalam menyebarkan sesuatu perkara yang belum pasti kesahihannya.

Menjadikan pembelian sekeping tanah oleh Lembaga Tabung Haji daripada 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) sebagai contoh, Najib berkata ia dimanipulasi oleh 'permainan jari jemari' sehingga mencetuskan persepsi di kalangan rakyat bahawa ia akan memberi kesan tidak baik kepada penyimpan Tabung Haji.

Namun, katanya, apabila kebenaran terserlah, persepsi negatif itu turut berubah sehinggakan ramai mula mengakui pembelian tanah di lokasi strategik itu adalah baik dan menguntungkan.

"Tetapi oleh kerana persepsi, fitnah memenangi fikiran rakyat maka satu kebaikan yang dibuat boleh menjadi sebaliknya semata-mata pembelian itu mempunyai kaitan 1MDB," katanya.

"Sebab itu saya harap anda yang akan mengerjakan haji ini dapat mendoakan supaya negara dan kepimpinan negara dapat ditentukan oleh kita sendiri, bukannya oleh orang lain melalui persepsi," katanya.

-- BERNAMA

KUCHING: Lebih ramai kanak-kanak kaum Penan berpeluang mengikuti pendidikan prasekolah apabila lima sekolah di bawah Program Pendidikan Komuniti (Penan) Kawasan Apoh/Tutoh di daerah Baram dalam Bahagian Miri tajaan Petronas mula beroperasi Januari tahun depan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata lima sekolah berkenaan akan dibina di Long Jenalong, Long Kerangan, Long Leng, Long Kawa dan Long Selulong melalui bantuan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Petronas dengan peruntukan RM2.75 juta.

Katanya, sekolah berkenaan akan menyediakan peluang pendidikan awal kanak-kanak secara terancang kepada kanak-kanak Penan dalam lingkungan usia di bawah tujuh tahun di kawasan Apoh-Tutoh.

Selain itu, katanya ia juga menyediakan ruang kepada komuniti setempat untuk terlibat secara aktif dalam pengasuhan, bimbingan dan pendidikan anak-anak mereka.

"Keputusan untuk menempatkan lima sekolah terbabit di lima kawasan berkenaan setelah mengambil kira kedudukannya berdekatan dengan laluan 'Sabah Sarawak Gas Pipieline' (SSGP) milik Petronas, sekali gus dapat diakses melalui jalan balak sedia ada," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Fatimah berkata setakat ini kelima-lima kampung terbabit tidak berpeluang menikmati pendidikan awal kanak-kanak secara formal kerana kawasan itu masih belum memiliki taska, tadika atau prasekolah.

Beliau berkata peruntukan RM2.75 juta daripada Petronas akan diagih secara berperingkat dan pelaksanaannya melalui empat peringkat iaitu persediaan asas mengambil masa setahun, pelaksanaan (dua tahun), penambahbaikan (dua tahun) dan pengambilahan oleh kerajaan.

"Pelaksanaan program lima tahun ini tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan negeri sehingga ia diambil alih oleh agensi kerajaan seperti KEMAS dan JPNS (Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak) pada 2020," tambah beliau.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Wilayah Sarawak Shamsur Taha berkata program itu merupakan yang pertama seumpamanya (prasekolah) oleh syarikat petrolium nasional itu dan ia mahu melihat kejayaannya.

"Projek ini istimewa sebab ia bukan sahaja berperanan menyediakan pendidikan awal kepada kanak-kanak tetapi juga merupakan projek komuniti," tambah beliau.

-- BERNAMA


KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya wujud draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berasas kerana siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd masih berjalan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan Jumaat, suruhanjaya itu berkata kertas siasatan berkaitan syarikat berkenaan masih belum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

"SPRM menegaskan siasatan berkaitan SRC International masih berjalan. Oleh itu, tidak timbul isu sudah ada draf kertas pertuduhan berkaitan kes yang sedang disiasat ini.

"Sebagaimana disebutkan dalam kenyataan media bertarikh 30 Julai 2015, bagi melengkapkan siasatan berkaitan isu SRC International Sdn Bhd, SPRM masih lagi mengesan beberapa saksi penting," menurut kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menafikan kewujudan draf berkenaan manakala Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan menjalankan siasatan ke atas portal berita Sarawak Report kerana disyaki menyebarkan maklumat palsu itu.

Sementara itu, SPRM berkata, maklumat berkaitan hasil siasatan tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak kerana ia satu tindakan bertentangan dengan undang-undang.

Selain itu, ia turut mengingatkan masyarakat bahawa tanggungjawabnya dalam menjalankan siasatan berhubung kes-kes rasuah, bukannya bertujuan untuk menjatuhkan mana-mana pihak termasuk Kerajaan.

"Sebagai Suruhanjaya yang bebas, SPRM akan menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan profesional," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA
Tambah kapsyen

BRISBANE – Seorang lelaki Australia mengemukakan tuntutan saman terhadap syarikat penerbangan Etihad Airways kerana mendakwa mengalami sakit belakang selepas dipaksa duduk di sebelah penumpang yang gemuk dan kerap batuk.

James Andres Bassos mendakwa terpaksa berdepan keadaan tersebut ketika dalam penerbangan dari Sydney ke Dubai pada 2011 lalu.

Menurut Bassos, dia terpaksa mengecilkan badan ketika duduk di sebelah penumpang gemuk itu dan apabila penumpang tersebut batuk, air liurnya terpercik dari mulut.

Selepas lima jam, baharulah kru penerbangan membenarkan dia menukar tempat duduk dan ditempatkan bersama kru terbabit.

Namun atas dasar keselamatan, dia terpaksa dipindahkan semula ke tempat duduknya.

Bassos berkata, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menghabiskan baki 9 jam perjalanan dengan duduk di sebelah lelaki gemuk itu.

Keadaan itu dakwa Bassos menyebabkan kecederaan pada belakangnya.

Etihad bagaimanapun menyanggah dakwaan berkenaan dengan hujah ia bukan sesuatu yang luar biasa apabila mempunyai penumpang dengan berat badan berlebihan.

Bagaimanapun Hakim Fleur Kingham enggan membatalkan tuntutan saman tersebut kerana beliau tidak yakin bahawa Bassos tidak mempunyai peluang untuk menang.

Beliau juga mengarahkan Bassos membuat pemeriksaan kesihatan pada Disember. – MYNEWSHUB.CC

KUALA LUMPUR: Dua pusat tahanan sementara (PTS) bernilai RM50 juta akan dibina di Tawau dan Lahad Datu, Sabah bagi menampung peningkatan jumlah pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan di negeri itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata keputusan itu antara yang dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah hari ini, selepas memperhalusi cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai isu pendatang asing di negeri tersebut.

"Empat PTS sedia ada di Sabah sedang menampung kira-kira 6,000 Pati dan kita akan bina dua lagi PTS iaitu di Tawau dan Lahad Datu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat itu yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta beberapa pegawai kanan kementerian dan kerajaan Sabah.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata antara cadangan RCI yang turut diambil kira ialah penguatkuasaan sistem biometrik atau pengesanan cap jari individu di 10 pintu masuk dan keluar negara di Sabah.

Ahmad Zahid berkata tindakan itu diambil bagi mengenalpasti serta memastikan Pati yang dihantar pulang ke negara asal disenaraihitamkan daripada memasuki kembali negara ini.

"Ini bertujuan menentukan Pati tidak menggunakan dokumen palsu atau menggunakan dokumen yang dipunyai orang lain tetapi menukar butiran untuk kegunaan diri sendiri.

"Dan kita merasakan bahawa Pati yang ada dalam PTS juga (perlu) diambil cap jari kerana apabila mereka dipulangkan ke negara asal dengan kerjasama kedutaan atau konsul-jeneral di Sabah, kemasukan mereka semula secara haram akan dapat dipantau melalui sistem ini," katanya.

Jawatankuasa induk itu mempunyai 12 anggota termasuk pengerusi bersama iaitu Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah yang akan bermesyuarat tiga bulan sekali sama ada di Sabah atau di Kuala Lumpur.

Mengulas mengenai operasi khas mengesan dan menahan Pati di Sabah yang bermula awal tahun ini, Ahmad Zahid berkata ia masih diadakan setiap hari.

Sehingga hari ini, katanya, lebih 3,000 Pati telah disenaraihitamkan iaitu 2,057 orang dari Filipina, 440 orang dari Indonesia manakala 517 lagi dari negara-negara lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata Pati yang ditahan akan diberi dokumen perjalanan satu hala untuk pulang ke negara asal secara berperingkat.

Dengan langkah agresif yang diambil kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Sabah, Ahmad Zahid berharap tidak timbul lagi isu pengundi hantu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu untuk membentuk persepsi negatif terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional.

Mengulas mengenai peningkatan Malaysia daripada Tahap Tiga dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) ke Senarai Pengawasan Tahap Dua oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat, beliau berkata ia menunjukkan komitmen kerajaan dalam menangani isu itu.

"Kami sudah mengambil langkah mengikut senarai semak yang disediakan Jabatan Negara Amerika Syarikat. Saya telah berjanji dalam tempoh 18 bulan, kami akan dapat memenuhi segala keperluan itu.

"Tapi kita sudah melakukannya dalam tempoh kurang daripada 18 bulan. Ini membuktikan betapa cekapnya kita," katanya lagi.

Laporan tahunan yang dikeluarkan Jabatan Negara AS itu menyenaraikan kedudukan 188 negara dalam usaha menangani pemerdagangan manusia dengan memberikan satu daripada empat peringkat: Tahap 1, Tahap 2, Senarai Pengawasan Tahap 2 dan Tahap 3.

Ditanya mengenai keyakinan kerajaan persekutuan untuk mengekalkan kedudukan Malaysia dalam laporan itu, Ahmad Zahid optimis ia mampu dilakukan.

"Saya yakin kita mampu mengekalkannya kerana kami di KDN dan PDRM percaya bukan hanya untuk mengekalkan keyakinan yang diberikan, tetapi memperbaikinya.

"Kita juga akan mempunyai garis panduan untuk meningkatkan sistem yang bukan hanya bersandar kepada mereka tetapi juga KPI (Indek Penunjuk Prestasi) kami sendiri," katanya.-- Bernama

KUALA LUMPUR: Laporan terbaru portal Sarawak Report yang mendakwa kononnya wujud draf kertas pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak adalah berniat jahat dan cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap perdana menteri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat portal berkenaan dan telah mengarahkan Ketua Polis Negara untuk mengambil tindakan susulan.

"Saya secara rasmi ingin menafikan yang kononnya ada dokumen atau surat arahan bagi penangkapan dan pendakwaan yang dilakukan Jabatan Peguam Negara kepada perdana menteri. Dan laporan yang dikemukakan oleh Sarawak Report adalah laporan jahat untuk menunjukkan persepsi negatif terhadap perdana menteri.

"Peguam Negara dah nafikan ... termasuk penafian dibuat oleh beberapa orang pegawai yang sahkan tiada dokumen yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing di Sabah di Bukit Aman, di sini Jumaat.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri diminta mengulas tindakan yang akan diambil terhadap portal Sarawak Report berhubung penerbitan artikel berkaitan dakwaan wujud draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri dan telah dinafikan kewujudannya oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Dalam pada itu, ditanya sama ada perlunya tindakan undang-undang atau politik diambil terhadap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung rakaman video di kediamannya baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata apa yang penting ialah pendirian bekas timbalan perdana menteri itu untuk terus bersama dengan parti dan kerajaan.

Beliau menegaskan Muhyiddin telah banyak menyumbang kepada kerajaan dan parti selaku Timbalan Perdana Menteri sebelum ini dan juga Timbalan Presiden UMNO, serta meminta semua pihak menghormati situasi yang sedang dihadapinya pada ketika ini.

"Saya sendiri bercakap dengan Tan Sri Muhyiddin ... rakaman itu tidak merupakan saluran rasmi untuk beliau nyatakan sebagaimana yang terdapat dalam rakaman berkenaan. Ia jadi viral kerana seolah-olah ada pandangan antagonistik yang dilakukan oleh Tan Sri Muhyiddin.

"Sebenarnya pendirian beliau jelas sebagai Timbalan Presiden Umno, beliau akan tetap sokong tindakan oleh parti. Beliau juga menyatakan jika ada pihak yang mahu membawa undi tidak percaya (terhadap perdana menteri di Dewan Rakyat), beliau juga akan menyokong supaya undi tidak percaya itu tidak dijalankan.

"Ertinya pendirian beliau amat jelas, beliau hendak terus bersama dengan kepimpinan parti dan kerajaan," jelasnya.

Sementara itu, mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa barisan jemaah Menteri yang baharu masih tidak mendapat kepercayaan orang ramai, Ahmad Zahid berkata semua pihak harus menghormati keputusan yang dibuat oleh Najib.

"Mustahil kalau dapat 100 peratus puaskan hati semua. Tapi, oleh kerana kuasa mutlak di tangan perdana menteri, tentu beliau mempunyai beberapa pandangan sebelum pengumuman pelantikan dibuat," katanya.

Tambah Ahmad Zahid, Perdana Menteri juga tentunya telah mendapatkan maklumat jelas tentang latar belakang dan rekod setiap individu yang dilantik untuk bersama-sama beliau mentadbir negara.

Perdana Menteri pada Selasa mengumumkan rombakan Kabinet yang menyaksikan pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin. Empat menteri lain turut digugurkan dan tujuh menteri baharu dilantik.-- Bernama

Artis Beijing Sun Yuan dan Peng Yu telah benar-benar mencabar potensi mereka ke satu lagi tahap yang tidak dijangka.

Arca terbaru mereka menggambarkan malaikat yang jatuh sebagai seorang perempuan tua dengan sayap yang tidak berbulu.

Artis tersebut berkata bahawa mereka ingin menggunakan projek ini bagi menyerlahkan ketegangan antara dunia ghaib dan dunia nyata.





SAINT-ANDR (PERANCIS): Johnny Begue tidak menjangkakan melalui di sepanjang pesisir pantai dan menemui serpihan bangkai pesawat telah menarik perhatian seluruh dunia terhadap pulau kecil yang merupakan kampung halamannya.

Begue mengetuai pasukan yang terdiri daripada lapan orang untuk membersihkan kawasan pantai di bandar Saint-Andre di Pulau Reunion.

Pada awal pagi Rabu, dia mencari batu kecil untuk dijadikan sebagai lesung untuk mengisar cili.

“Ketika itulah saya menjumpai sesuatu yang aneh di pantai,” kata Begue, yang kemudiannya memanggil rakan-rakannya untuk memeriksa penemuan itu.

“Saya dengan segera mendapati ia merupakan serpihan sebuah pesawat,” kata rakan Begue, Cedric Gobalsoumy.

Menurut pakar, serpihan bangkai pesawat sepanjang dua meter itu dipercayai merupakan bahagian sayap dengan keadaannya separuhnya diselaputi pasir manakala terdapat siput laut di bahagian hujungnya.

Gobalsoumy, kumpulan itu kemudiannya membawa objek itu ke darat bagi mengelakkan ia dibawa arus laut.

Mereka bagaimanapun tidak menyedari penemuan serpihan bangkai pesawat itu akan menimbulkan pelbagai spekulasi dan berharap ia merupakan milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, sekali gus menyelesaikan misteri besar dalam industri penerbangan.

Pada awalnya, mereka memikirkan mahu meninggalkan sahaja serpihan bangkai pesawat itu untuk dilihat oleh orang ramai dan pelancong yang melalui kawasan pantai.

Gobalsoumy bagaimanapun berkata, dia menyedari mereka tidak boleh bertindak sebegitu.

“Satu serpihan dari sebuah pesawat di laut bukan sesuatu yang biasa. Kami berkata kepada diri kami bahawa mungkin terdapat orang yang maut di dalam pesawat ini dan mereka mempunyai keluarga yang perlu mengetahui apakah yang berlaku.”

Mereka kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak polis.

“Seorang rakan kemudiannya melayari Internet menggunakan telefon bimbitnya dan membuat carian maklumat mengenai nahas pesawat dan menemui kisah yang melibatkan pesawat milik Malaysia,” kata Begue.

Sekumpulan pembersih pantai itu bukan hanya yang mengaitkan penemuan itu dengan kehilangan pesawat milik Malaysia dan berita mengenainya dengan pantas tersebar ke seluruh dunia dan banyak pasukan penyiasat mahu membuat pemeriksaan terhadap serpihan tersebut.

“Saya tidak menyedari bahawa pergi mencari anak lesung untuk menumbuk cili menjadikan saya dikenali ramai,” kata Begue.

Laporan media mengenai pulau itu yang sebelum ini sering kali dilaporkan tentang serangan ikan jerung dengan 18 insiden sejak 2011 di mana tujuh mengakibatkan kematian, telah mengalih perhatian dunia kepada penemuan serpihan bangkai pesawat.

“Kali ini semua tidak bercakap mengenai kami kerana serangan ikan jerung,” kata pelajar, Anna Grondin, 23.

“Ia sesuatu yang luar biasa, malah CNN di Amerika bercakap mengenai kami dan menunjukkan pulau di peta,” kata Jean-Marc Alagama, 43.

Pasukan pakar dari Malaysia dihantar ke pulau itu, namun pihak berkuasa menggesa supaya tidak terburu-buru membuat sebarang kesimpulan mengenai penemuan sayap itu. – AFP

NARATHIWAT: Tiga anggota polis yang dalam perjalanan mengiringi beberapa guru sekolah pulang ke rumah masing-masing cedera dalam serangan bom di daerah Cho Airong di sini.

Kejadian pada Khamis itu berlaku ketika anggota polis terlibat melalui Jalan Ban Ya Ning di Kampung Moo 2 di Juab dekat sini.

"Bom itu meletup dan mengenai kenderaan mereka menyebabkan mereka cedera di badan dan muka akibat terkena serpihak bom itu," kata jurucakap polis wilayah itu.

Ketiga-tiga anggota polis itu kini dirawat di Hospital Naradhiwas Rajanagarindra.

Katanya, siasatan mendapati bom itu dipasang dalam silinder gas seberat 20 kilogram yang disorok berhampiran satu papan tanda kira-kira 200 meter dari sekolah.

Bom itu dipercayai diletupkan menggunakan alat kawalan jauh apabila kenderaan polis menghampiri papan tanda berkenaan.

Polis percaya serangan bom itu dilancarkan kumpulan pemisah.

Keganasan yang melanda selatan Thai kerana menuntut pemisahan sejak 2004 lalu menyebabkan lebih 5,000 orang terbunuh.-mStar

LONDON: Seorang lelaki terkejut apabila bingkai tingkap sebuah pesawat jatuh ke atas ribanya ketika kapal terbang dinaikinya mendarat di Lapangan Terbang Stansted London, kelmarin.

Laurence Gibson, pembantu guru berusia 37 tahun berkata, dia trauma akibat kejadian berkenaan.

Dia yang pulang selepas bercuti selama seminggu di Gdansk, Poland bersama rakannya Matt berkata: “Ia kejadian paling menakutkan dalam hidup saya.

“Saya memang takut naik kapal terbang, lebih-lebih lagi ketika ia mendarat.

Kejadian itu memburukkan lagi keadaan. Sebaik pesawat mendarat, bingkai tingkap itu jatuh ke atas riba saya,” katanya.

Gibson membeli tiket untuk penerbangan ulang alik ke Poland menerusi Ryanair.
Bagaimanapun, pesawat itu dikendalikan oleh Air Explore.

“Pesawat itu agak buruk berbanding standard biasa kapal terbang Ryanair.

Bagaimanapun, kakitangannya baik dan mereka tidak putus-putus meminta maaf,” kata Gibson.

Seorang jurucakap Ryanair mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata, mereka meminta Air Explore menyiasat bagaimana ia boleh berlaku. – Agensi

SYDNEY: Ketua carian MH370 di Australia pada Jumaat tidak mahu mengaitkan penemuan bagasi koyak di Pulau Reunion dengan penerbangan MH370 yang hilang.

Beg pakaian itu ditemui pada Khamis tidak jauh dari serpihan pesawat yang ditemui, mendorong spekulasi ia mungkin datang dari pesawat MAS yang hilang tahun lalu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang di atas kapal.

Tetapi, Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) Martin Dolan yang mengetuai carian pesawat di pedalaman selatan Lautan Hindi berkata ia kelihatan seperti tidak mungkin mempunyai perkaitan.

"Daripada apa yang kita faham setakat ini, terdapat alasan yang sangat kurang untuk berfikir positif tentang beg itu," katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia.

"Tidak ada petunjuk yang jelas ia sudah lama berada di dalam air dan sebagainya.

"Jelas sekali ia perlu diperiksa dengan teliti dan keputusan dibuat dengan baik tetapi kita tidak mempunyai tahap keyakinan yang sama terhadapnya sebagai bahan bukti yang berpotensi."

Menteri Pengangkutan dan Infrastruktur Australia Warren Truss yang menyelia ATSB, juga berhati-hati.

"Berhubung laporan mengenai bagasi ini, rancangan telah dibuat untuk mengambilnya dari tempat ia telah diserahkan, di balai polis tempatan di pulau itu dan ia akan dinilai oleh para penyiasat," kata jurucakap beliau.

"Buat masa ini, ia boleh jadi sampah dan tidak ada hidupan marin untuk menunjukkan bahawa ia telah berada di dalam air bagi tempoh yang lama. Tetapi ia akan diperiksa."

ATSB telah melakukan carian rapi di kawasan seluas lebih 50,000 km persegi di selatan Lautan Hindi, tetapi tidak ada bukti fizikal yang pernah dijumpai.

Pihak berkuasa merancang untuk mencari kawasan seluas 120,000 km persegi. - mStar

KOTA SAMARAHAN: Seorang pelajar dilaporkan cedera tertusuk gunting dibahagian muka ketika sedang makan di kantin sekolah disini semalam.

Dalam kejadian yang berlaku lebih kurang jam 10 pagi tersebut, Faiz Kamirin, 10 tertusuk gunting dibawah kelopak matanya ketika sekumpulan kanak-kanak bermain gunting dan gunting tersebut terlepas lalu tercampak ke arah muka mangsa.

Terkejut dengan insiden berkenaan, rakan mangsa bergegas memaklumkan kepada pihak guru dan mangsa terus dikejarkan ke Pusat Jantung Samarahan dan mangsa sebelum dirujuk ke Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk menerima rawatan selanjutnya.

Sehingga berita ini ditulis, difahamkan gunting yang menusuk muka mangsa dikatakan telah berjaya dikeluarkan dan mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun masih dirawat di HUS-Sarawakiana

SEREMBAN: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, sekali lagi menangguhkan pendengaran kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Ishak Ismail, 64, untuk mengetepikan pengisytiharan muflis terhadapnya.

Peguam Ishak, CS Murtti, berkata Hakim Datuk Kamaludin Md Said, yang membuat keputusan itu di dalam kamarnya, membenarkan penangguhan kes itu kepada 11 dan 25 Ogos depan.

Katanya, penangguhan itu dibenarkan bagi memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes berkenaan di luar mahkamah.

Murtti berkata, sebelum ini hakim yang sama membenarkan penggantungan perintah muflis terhadap Ishak, yang dibuat Penolong Kanan Pendaftar mahkamah itu pada 18 Mac lalu, selepas beliau gagal membayar pinjaman ahli perniagaan, Datuk Misran Sukadi, berjumlah RM2 juta.


CALIFORNIA: RANGKAIAN sosial dalam talian yang terbesar di dunia mengatasi jangkaan dalam semua bidang bagi suku tahun kedua 2015.

Facebook tidak hanya mengaut keuntungan yang tinggi, malah jumlah pengguna dan pengiklanan mudah alih, serta penggunaan aplikasi 'keluarganya' iaitu Instagram, Messenger dan WhatsApp turut meningkat.

Walaupun begitu, harga sahamnya merosot selepas laporan suku tahunan itu dikeluarkan, kerana perbelanjaan meningkat 82 peratus.

Menurut pengasas Facebook, Mark Zuckerberg secara purata, sebanyak 1.31 bilion pengguna media sosial menggunakan aplikasi itu dari peranti mudah alih - sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi suku tahun kedua.

Angka itu menandakan peningkatan sebanyak 23 peratus daripada tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, Facebook sekarang memiliki 1. 49 bilion pengguna aktif bulanan, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus.

Malah, applikasi itu juga dilapor memiliki 968 juta pengguna aktif harian secara keseluruhan dan 844 juta pada peranti mudah alih.

Mark Zuckerberg menyatakan bahawa komunikasi kini menjadi unsur penting dalam kalangan masyarakat.

“1.49 bilion rakyat kini sebahagian daripada masyarakat kita. Pada tahun 1876, iaitu tahun pertama panggilan telefon mula dicipta kira-kira 1.49 dilapor hidup.

“Dengan setiap generasi, dunia semakin rapat antara satu sama lain. Satu hari nanti, masyarakat kita akan berkomunikasi dengan semua orang.

“Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada misi kita dan masyarakat kita,” tulis Zuckerberg melalui akaun Facebooknya.



Beliau juga telah memuat naik carta laporan di laman Facebooknya.

Difahamkan, laporan Twitter membimbangkan pelabur dengan pertumbuhan pengguna yang terbantut dan setakat ini, applikasi itu menyaksikan penurunan harga saham ke tahap terendah dalam jangkamasa lebih setahun. - Astro Awani

PETALING JAYA: Kepingan logam, dipercayai sebahagian daripada badan pesawat penerbangan MH370 yang hilang yang ditemui di Pulau RĂ©union, Lautan Hindi 'hampir pasti' dari pesawat Boeing 777, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.

"Flaperon itu adalah sama dengan yang pada pesawat Boeing 777. Ia hampir pasti," kata beliau.

Abdul Aziz berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara ini oleh Ketua Penyiasat MH370 Datuk Kok Soo Chon.

Pasukan Malaysia sedang dalam perjalanan ke Pulau RĂ©union.

Abdul Aziz berkata, pasukan itu akan dapat membuat kesimpulan dalam masa beberapa hari sahaja lagi jika serpihan yang ditemui sememangnya milik pesawat MAS yang hilang.

"Kami telah menghubungi Pejabat Biro Siasatan dan Analisis (BEA), yang merupakan badan penyiasat Perancis untuk kemalangan dalam penerbangan awam, mengenai penemuan ini.

"Kami telah membuat perjanjian bahawa mereka akan membawa flaperon itu ke Paris, jadi pasukan kita akan bekerjasama dengan mereka dalam membuat pengesahan di Paris," Bernama memetik Abdul Aziz sebagai berkata.

Beliau berkata adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan sehingga ada bukti kukuh bahawa serpihan itu milik pesawat yang hilang.

Sementara itu, beberapa laporan berita berkata nombor siri telah dikesan pada flaperon itu.

Imej 'close-up' yang diambil oleh laman berita Reunion, Clicanoore menunjukkan nombor 657BB.

Manual penyelenggaraan pesawat Boeing 777 yang boleh didapati dalam talian menunjukkan bahawa nombor itu berkait dengan bahagian yang dinamakan panel Flaperon di sayap kiri pesawat.

Walau bagaimanapun, laporan berita lain mencatatkan nombor BB670 terdapat pada flaperon yang sama.

MAS atau Boeing tidak dapat mengesahkan perkara ini.-mStar

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang baharu Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan barisan anggota kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Selasa lepas sebagai yang seimbang dan mantap.

“Saya percaya Perdana Menteri dalam rombakan kabinetnya mahu memberi fokus untuk mempunyai menteri-menteri yang sehaluan dengan pemikiran beliau yang satu suara dalam banyak isu,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

Ini sebenarnya sangat penting untuk Perdana Menteri dan untuk negara kerana prinsip kebertanggungjawaban bersama sangat penting untuk pentadbiran mana-mana negara, khususnya untuk negara-negara dalam Komanwel,” tambahnya.

Beliau berkata anggota kabinet tidak boleh berbeza pendapat dan jika ada pun perbezaan pendapat mengenai dasar-dasar yang telah diluluskan oleh kerajaan ia seharusnya dibincang secara tertutup bukannya di khalayak ramai.

“Jadi inilah kumpulan yang dicari oleh Perdana Menteri (Najib) dan kedua saya melihat campuran antara anggota kabinet yang lama dan yang baharu amat seimbang sekali dan saya cukup yakin setiap individu dalam kabinet boleh menyumbang kepada usaha secara kolektif yang direncana oleh pihak kabinet,” kata Wan Junaidi.

Beliau berkata sudah menjadi hak mutlak Perdana Menteri untuk melakukan rombakan kabinetnya dan melantik anggota kabinetnya tanpa boleh dicabar atau diganggu-gugat.

Kepada soalan lain, Wan Junaidi tidak bersetuju bahawa rombakan kabinet kali ini sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum yang lebih awal.

“Setiap kabinet yang dibentuk oleh mana-mana Perdana Menteri pasti dia mahu ia berfungsi dan melaksanakan apa sahaja keputusan mengenai dasar-dasar kerajaan dengan teratur dan sebaik mungkin untuk mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.

Katanya lagi, setiap ahli kabinet boleh bercakap dalam satu suara, khususnya dalam keadaan kurang menentu sekarang ini.

“Saya percaya pembentukan kabinet yang baru ini bukan merancang pilihan raya dalam masa terdekat,” kata beliau.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata kementerian yang diterajui beliau merupakan sebuah kementerian yang tidak kurang pentingnya.

Katanya, sebelum ini kementerian berkenaan diterajui oleh menteri-menteri yang kanan termasuk ketua menteri Sarawak sekarang Tan Sri Adenan Satem, Datuk Douglas Uggah Embas dan bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel.

Sebaliknya, menurut beliau ia adalah sebuah kementerian yang sangat penting dan mempunyai agenda yang sangat penting dalam soal mentadbir urus sumber alam dan alam sekitar negara.

Menurut Wan Junadi, cabaran utama kementerian beliau ialah bagaimana untuk menangani masalah banjir dan mentadbir urus flora dan fauna negara.

Sebelum itu Wan Junaidi diberi sambutan oleh penyokong-penyokongnya setiba beliau dan isteri di LTAK kira-kira pukul 5.30 petang semalam. - TRP

PUTRAJAYA -  Malaysia dan United Kingdom akan memperbaharui komitmen untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor utama seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pertahanan.

Bersempena lawatan sehari Perdana Menteri Britain David Cameron ke Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan empat mata dan mesyuarat perwakilan dengan rakan sejawatnya di pusat pentadbiran negara pada Khamis.

Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata Malaysia dan United Kingdom berminat untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan pada masa akan datang.

Dengan jumlah dagangan yang meningkat pada kadar dua peratus setahun untuk 10 tahun terakhir, dan jumlah dagangan tahun lepas bernilai RM17 bilion, ia berkata momentum itu menjadi asas mengukuhkan perdagangan.

"Dari sudut pelaburan, kedua-dua pemimpin mengiktiraf penglibatan Malaysia dalam Projek Stesen Janakuasa Battersea yang telah menarik minat ramai. Bernilai RM41 bilion, ia adalah bukti kebolehan syarikat Malaysia untuk memenuhi piawaian global," kata kenyataan itu.

Sementara itu, United Kingdom turut mempunyai pelaburan di Malaysia bernilai RM15.4 bilion setakat ini dalam pelbagai sektor seperti peruncitan, farmaseutikal serta minyak dan gas, katanya.

Dari segi perdagangan, Wisma Putra berkata kedua-dua negara berminat meningkatkan dagangan pada masa akan datang.

Ia juga berkata Najib turut mengalu-alukan lebih banyak syarikat British untuk meneroka peluang perniagaan di Malaysia.

Kedua-dua perdana menteri bersetuju bahawa pendidikan adalah salah satu daripada tonggak kerjasama antara Malaysia dan United Kingdom.

"Setakat ini terdapat lebih daripada 17,000 penuntut Malaysia yang mengikuti pelbagai kursus di United Kingdom," katanya.

Wisma Putra berkata Najib juga mengalu-alukan tawaran United Kingdom untuk membantu meningkatkan pengajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik di sekolah awam Malaysia.

Ia berkata United Kingdom juga melancarkan promosi "Tahun HEBAT untuk Pendidikan" yang menjadikan Malaysia hab untuk menggalakkan pendidikan British di rantau ASEAN.

Wisma Putra berkata Najib juga mengalu-alukan inisiatif itu, yang menandakan pengiktirafan United Kingdom terhadap Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini.

Menyentuh kerjasama pertahanan, Wisma Putra berkata kedua-dua pemimpin bersetuju meningkatkan kerjasama dalam sektor penting ini.

Katanya kedua-dua pemimpin juga membincangkan beberapa isu serantau dan antarabangsa, menyentuh ancaman IS dan keganasan yang kian meningkat.

"Kedua-dua pemimpin bersetuju komuniti antarabangsa perlu menangani ancaman itu secara efektif kerana kumpulan pengganas menyasarkan belia menerusi media sosial.

Malaysia berminat meneroka kaedah kerjasama dengan United Kingdom dan rakan antarabangsa lain untuk menentang keganasan," katanya.

Wisma Putra berkata Cameron mengalu-alukan minat Malaysia dan mengiktiraf inisiatif kesederhanaan Malaysia dalam menangani ekstremism.

Dalam perbincangan mengenai keputusan undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai resolusi mengujudkan sebuah tribunal antarabangsa untuk nahas penerbangan MH17 Malaysia Airlines, Wisma Putra berkata Najib berterima kasih kepada Cameron atas sokongan United Kingdom kepada inisiatif Pasukan Siasatan Bersama.

"Cameron mengulangi sokongan berterusan United Kingdom terhadap usaha antarabangsa untuk membawa pesalah ke muka pengadilan, " katanya.

Selain pertemuan dua hala, Najib turut meraikan Cameron dalam satu jamuan makan malam yang turut dihadiri menteri-menteri, pegawai kanan kerajaan dan pemimpin perniagaan daripada kedua-dua pihak.

Cameron turut menghadiri beberapa majlis berkaitan perniagaan di Kuala Lumpur anjuran Suruhanjaya Tinggi British.

Wisma Putra berkata lawatan ini merupakan lawatan kedua Cameron ke Malaysia dalam tempoh tiga tahun selepas lawatan rasminya pada April 2012. Cameron adalah Perdana Menteri pertama British yang melawat Malaysia berturut-turut dalam tempoh dua penggal.

-- BERNAMA

MIRI: “Saya cuba masuk semula dalam rumah, tetapi dihalang orang ramai. Betapa luluh hati saya apabila terkenang jeritan anak memanggil sehingga suaranya tidak lagi kedengaran,” kata Siang Voon, bapa kepada Ellexustoltti, 9, yang rentung dalam kebakaran di rumah pekerja di Jalan Lutong berdekatan stesen minyak Shell, Kuala Baram, di sini, semalam.

Siang, 42, berkata, isterinya berusia 41 tahun dan tiga anak berusia lapan tahun hingga lapan bulan dapat menyelamatkan diri bersama 14 penghuni lain di rumah dua tingkat milik syarikat logistik di kawasan itu.

Dia berkata, ketika kejadian jam 12.30 tengah malam itu, dia terjaga daripada tidur apabila terhidu asap dan terkejut apabila mendapati rumah itu terbakar.

Menurutnya, dia yang menetap di tingkat dua kediaman mengarahkan keluarganya keluar dan dia turun ke tingkat bawah untuk mengejutkan penghuni lain.

“Isteri dan tiga anak sudah keluar, saya tidak sangka pula anak sulung masih tidur walaupun dikejutkan.

“Selepas mengejutkan penghuni lain, saya kembali ke tingkat atas untuk membawa anak keluar, bagaimanapun api sudah marak. Saya cuba meredah masuk, namun dihalang orang ramai kerana terlalu berisiko,” katanya ketika ditemui, semalam. - Harian Metro
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Dakwaan berhubung kertas pertuduhan membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti dilaporkan Sarawak Report adalah palsu. 

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam kenyataannya berkata kertas pertuduhan itu tidak pernah dikeluarkan Pejabat Peguam Negara, malah format yang diguna pakai juga tidak betul atau ditulis oleh jabatan itu. 

Mohamed Apandi berkata, siasatan Pasukan Petugas Khas berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum lengkap, menjadikan ia mustahil bagi kertas pertuduhan dibuat lebih awal. 

"Dakwaan berhubung kertas pertuduhan ini menunjukkan terdapat konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri dengan menjadikan beliau sebagai penjenayah dengan menggunakan kaedah termasuk memalsukan dan kebocoran jenayah. 

"Plot ini adalah satu ancaman kepada negara ini yang mengamalkan prinsip demokrasi dan saya akan mengarahkan segala tindakan yang perlu diambil untuk menyiasat perkara ini.... Segala peruntukan undang-undang sedia ada akan diguna pakai tanpa sebarang pengecualian kepada sesiapa pun yang didapati bersalah," katanya dalam satu kenyataan malam tadi. - BH


PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap khabar angin yang didakwa oleh sebuah artikel Sarawak Report.

"Laporan-laporan seperti ini tidak sah asal usulnya, akan mengelirukan orang ramai. @PDRMsia diminta hentikan khabar angin ini," katanya menerusi kenyataan di akaun twitternya @KBAB51 pada Khamis.



Kenyataan itu turut dikongsikan bersama paparan skrin sebuah artikel Sarawak Report "Arrest warrant for the Prime Minister' (Waran tangkap terhadap Perdana Menteri).

Laman web itu membuat dakwaan menerusi laporan terbaharunya bahawa Tan Sri Abdul Gani Patail dipecat dari jawatannya sebagai Peguam Negara kerana mahu mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Minggu lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyekat akses laman web Sarawak Report.-mStar

KUCHING – Operasi pembenihan awan yang dilakukan sejak 21 Julai lalu di beberapa kawasan di negeri ini berikutan musim kemarau didapati berjaya dan memberi kelegaan kepada penduduk.

Ia yang berakhir hari ini dijayakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Cawangan Sarawak dengan bantuan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Lembaga Air Kuching.

Pengarah JMM Cawangan Sarawak Loh Eng Kee dalam taklimat kepada media berkata pembenihan yang dilakukan selama sembilan hari itu dianggap berjaya secara keseluruhan.

Beliau berkata pembenihan dilakukan sekitar Sri Aman, Simunjan, Serian, Air Serapi, Balingian, Asajaya dan Bintulu.

“Namun operasi di Simunjang agak kurang berjaya disebabkan keadaan awan yang kurang tebal selain paras air yang masih rendah di kawasan tadahan air,” katanya.

Loh berkata walau bagaimanapun keadaan bertambah baik dengan hujan yang turun hampir setiap hari di seluruh negeri selain berlaku kenaikan paras air di kawasan tadahan air terutama di Bahagian Kuching. – BERNAMA

KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) mensasarkan sebanyak RM13.5 juta dari kutipan zakat tahun ini sebagai Asnaf Pendidikin bagi golongan yang memerlukan di negeri ini.

Pengurus Besar TBS Datu Haji Abang Mohammad Shibli Haji Abang Mohammad Nailie berkata, pendekatan TBS pada masa ini adalah untuk membantu generasi kedua kepada golongan yang layak menerima Asnaf Fakir.

"TBS akan membantu anak-anak mereka supaya mereka mendapat bantuan pendidikan agar mereka dapat melepaskan diri dari kitaran keganasan kemiskinan itu."

Shibli menegaskan, oleh kerana pendekatan memberi fokus kepada generasi kedua ini, sebab itulah bantuan pendidikan TBS pada peringkat IPT meningkat setiap tahun kerana dengan hanya diperlengkapkan dengan pendidikan, mereka dapat melepaskan diri dari kepompong kemiskinan dengan lebih cepat.

"Walaupun sedia maklum sudah ada bantuan pada peringkat sekolah rendah, sekolah menengah tetapi dari peringkat IPT mereka akan dapat mencari peluang pekerjaan dengan lebih cerah. Dan itulah penekanan penting kita," katanya lagi.

Shibli ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri TBS 2015 dan Hari Bersama Pelanggan TBS di Dewan Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah (Kompleks Islam Sarawak) di Kuching hari ini. 

"Kita menjangka TBS akan mengutip lebih RM68 juta sehingga 31 Disember tahun ini dan dari dari jumlah tersebut, sebanyak RM45 juta akan di agihkan kepada golongan yang memerlukan bantuan," katanya sambil menambah, setakat bulan Jun 2015, TBS sudah mengagih sebanyak RM22.2 juta.

Beliau menegaskan, segala bantuan yang diagihkan oleh TBS kepada mereka yang asnaf ditentukan mengikut kehendak syariah dan juga prosedur-prosedur yang telah di tetapkan.

"Bantuan ini kita hulurkan kepada tiga program utama iaitu bantuan untuk pendidikan, kebajikan dan bantuan untuk institusi yang menganjurkan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebajikan, pendidikan dan pelbagai aktiviti-aktiviti lain yang boleh membantu masyarakat," jelasnya lagi.

Shibli berkata, apa yang penting adalah segala bantuan TBS diadakan sepanjang tahun dan setiap agihan ianya berdasarkan kepada kutipan yang kita terima."

"Semakin besar rakyat Islam membayar zakat semakin besar juga yang dapat kita agihkan kembali kepada masyarakat kerana inilah falsafah kita," katanya sambil menambah, mereka yang hendak dibantu adalah berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan mengikut syariah.

Menjelaskan, terdapat dua golongan penerima bantuan; iaitu penerima secara individu dan penerima melalui organisasi, Shibli berkata, bagi tahun lepas sahaja, seramai 24,000 orang telah menerima bantuan TBS.

"Untuk bantuan saraan hidup pula, seramai 803 keluarga yang telah menerima bantuan saranan hidup dari pihak TBS tahun lepas," jelasnya lagi.

"Mereka yang dibantu ini memang betul-betul daif dan TBS tidak mengagihkan bantuan kepada sebarangan orang, biarpun sesetengah dari kalangan mereka juga telah mendapat sedikit sebanyak bantuan daripada agensi lain namun TBS tetap memberi bantuan kerana kita telah mengambil-kira yang mereka betul-betul memerlukan bantuan.

Shibli menyatakan, TBS adalah agen yang lengkap dan usaha untuk memberi keselesaan kepada rakyat dijaga oleh kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat dan juga agensi-agensi lain yang turut bersama memberi bantuan.

Beliau menjelas, ada yang dibantu oleh TBS sememangnya peratusan besarnya mereka adalah mereka yang tidak mampu lagi untuk mendapatkan pendapatan. 

"Tetapi ada dalam kalangan mereka yang telah kita berikan latihan di kolej komuniti dan sebagainya atas kerjasama kita dengan tempat-tempat yang memberikan perkhidmatan dan kemahiran ini."

Walaupun begitu, setakat ini, tidak lebih dari lima orang yang telah terkeluar dari kepompong kemiskinan ini manakala yang lainnya memang masih tidak mampu untuk berdikari, katanya Shibli lagi.

Lebih dari 2,000 orang telah mengunjungi majlis tersebut yang turut yang dihadiri Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) dan Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur, Datuk Haji Daud Abdul Rahman dan dif-dif kenamaan yanglain. - Sarawakiana

SANTUBONG: Rancangan untuk menaik taraf jalan menuju ke Damai, Santubong di sini akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata dengan menaik taraf jalan ini ia akan membolehkan perjalanan ke Damai lebih selesa.

Malah menurut Abang Johari, dengan adanya infrastruktur yang lebih baik ini ia akan meningkatkan potensi di Kampung Budaya Sarawak (SCV) serta penganjuran Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF).

“Tiga tahun lepas saya ada memaklumkan mengenai rancangan ini dan hari ini saya ingin memaklumkan bahawa ia sedang berjalan mengikut perancangan.

“Jalan Sultan Tengah akan kita perbesarkan kepada laluan berkembar dua hala yang akan memberi akses mudah ke Damai dari Kuching dan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK).

“Ini secara tidak langsung akan mengubah serta membangunkan kawasan sepanjang Semenanjung Santubong ini serta memperkembangkan lagi acara RWMF,” katanya pada sidang media di Bilik Lembaga, SCV di sini semalam.

Tambah Abang Johari, selain menaik taraf infrastruktur jalan, Semenanjung Santubong juga akan menyaksikan lebih banyak pembangunan, antaranya Resort Pasir Panjang yang baharu.

Selain itu, katanya taman tema air juga akan dibangunkan di kawasan ini oleh pihak swasta dan pusat konvensyen yang baharu lengkap dengan kemudahan hotel.

RWMF akan berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Ogos depan di SCV.

Acara hiburan berpestij yang telah memasuki edisi ke-18 ini bakal disertai 17 kumpulan pemuzik antarabangsa dan tujuh kumpulan pemuzik dari Malaysia.

Festival ini telah dianugerahkan dengan Brand Laureate Best Award 2012-2013 di rantau Asia Pasifik dan sekali lagi untuk tahun keenam berturut-turut diiktiraf sebagai antara 25 Festival Antarabangsa Terbaik oleh Songlines, majalah muzik terkemuka dunia.

Turut hadir pada sidang media itu semalam, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik dan Pengarah Perhubungan Korporat dan Acara Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Angelina Bateman. - UB



KUCHING: Kemas kini ‘Google Street View’ yang meliputi 80 peratus kawasan Sarawak dan Sabah, termasuk imej panoramik Taman Negara Mulu dijangka akan terus memperkasakan lagi industri pelancongan di rantau ini.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Gramong Juna berkata, perkara itu tidak syak lagi akan meningkatkan keupayaan untuk mempromosikan pelancongan dan budaya yang pelbagai kepada dunia apabila pelancong berpeluang untuk melihat gambaran mengenai Malaysia Timur sebelum berpeluang menjejak kaki ke sini.

“Teknologi adalah salah satu faktor utama sektor ekonomi kita menjadi lebih produktif dan berjaya dan saya percaya ia juga tidak berbeza bagi industri pelancongan Malaysia.

“Justeru, saya amat berbesar hati kerana dapat berada di sini bagi melancarkan pengimejan ‘Street View’ di Malaysia Timur bersama pengimejan khas ‘Street View’ Taman Negara Mulu, yang merupakan tapak warisan UNESCO,” katanya pada program Pengumuman ‘Google Maps Street View’ di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Google Malaysia, Vietnam, Filipina dan Pasaran Baharu Sajith Sivanandan, Ketua Operasi Street View Google Malaysia, Indonesia dan Thailand Nhazlisham Hamdan dan Ketua Komunikasi Google Malaysia, Pakistan dan Bangladesh Zeffri Yusof.

Gramong berkata, teknologi inovatif seperti ‘Google Maps’ dengan ‘Street View’ dapat memberi gambaran menyeluruh kepada pengunjung mengenai betapa indah dan menariknya negara ini, malah sebelum mereka menjejakkan kaki ke sini.

Menurut beliau, ‘Street View’ adalah cara baik untuk mempamerkan khazanah tersembunyi Malaysia Timur seperti monyet Belanda serta bunga Rafflesia yang hanya dapat ditemui di Kepulauan Borneo.

“Kami juga berharap lebih banyak tarikan pelancong di Malaysia Timur seperti Taman Negara Gua Niah, Rumah Panjang Annah Rais, Gunung Santubong di Sarawak, Taman Negara Tunku Abdul Rahman di Sabah dan banyak lagi dapat dipamerkan di Koleksi Khas Google Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Sarith memberitahu, selepas pelancaran ‘Street View’ di Semenanjung Malaysia pada September tahun lalu, Google menerbitkan imej untuk hampir 80 peratus pemandangan sepanjang jalan awam di Sabah dan Sarawak, termasuk lebuh raya utama, jalan-jalan tol, jalan persekutuan, pusat bandar dan kawasan kejiranan.

Antara koleksi khas dipamerkan Google adalah seperti Muzium Kucing, Dewan Undangan Negeri Sarawak, Jambatan Santubong di Kuching dan Tebingan Kota Kinabalu di Sabah yang mengambil masa enam bulan untuk dirakamkan.

Koleksi khas lain dicatat di Semenanjung Malaysia adalah seperti Pulau Pangkor, Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Putrajaya dan sebagainya yang dirakam menggunakan Street View Trekker iaitu sistem kamera disandang.

Katanya lagi, pihaknya akan terus berusaha menambah lokasi ‘Street View’ di Malaysia Timur bagi mempamerkan keindahan negara ini menerusi perkhidmatan disediakan mereka.

“Street View kini meliputi 80 peratus jalan-jalan awam di Sabah dan Sarawak, serta 90 peratus di Semenanjung Malaysia, kami berada di landasan terbaik untuk pemetaan seluruh negara dan menyediakan peta komprehensif, tepat, mudah digunakan dan menyeronokkan untuk rakyat Malaysia dan pengguna seluruh dunia,” katanya.

Dengan membawa ‘Street View’ ke Malaysia, katanya Google berharap dapat menyediakan rakyat Malaysia dengan perkhidmatan peta dalam talian lebih relevan dan berguna serta memberi lebih banyak cara untuk meneroka lokasi kegemaran tempatan serta lokasi tidak dikenali, pada masa sama membantu menyemarakkan pembangunan ekonomi negara melalui peta lebih baik.

Sarith menambah, Google merancang untuk terus memandu dan menjejak seluruh negara dengan objektif merakam imej-imej dikemas kini secara kerap dalam beberapa tahun akan datang.

Dalam soal keselamatan dan menjamin privasi katanya, Google mengambil langkah sewajarnya diambil dalam Google Maps dengan membangunkan teknologi sofistikated yang mengaburkan perkara wajar dan nombor pendaftaran kenderaan, katanya sambil menambah, pihak Google juga akan memberi maklum balas sekiranya mendapat permintaan daripada pengguna untuk mengaburkan sebarang imej berkaitan mereka.

Google juga akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam mengumpul maklumat serta melakukan pemetaan. - UB




BINTULU: Kerajaan negeri akan meneruskan usaha menuntut royalti minyak dan gas daripada kerajaan pusat daripada lima peratus kepada sekurang-kurangnya 10 hingga 20 peratus.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, beliau pada masa sekarang dalam proses rundingan dengan Petronas bagi memastikan impiannya menaikkan kadar royalti minyak dan gas akan berjaya.

“Apa yang kita semua maklum, minyak dan gas di perairan negeri ini hak kita. Dan sebagai rakyat di negeri ini kita sememangnya berhak mendapat royalti minyak yang lebih banyak daripada yang kita dapat pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 2015 yang diadakan di Bangunan Martabat di sini, malam kelmarin.

Beliau yang turut ditemani isterinya, Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu berkata beliau secara peribadinya telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung tuntutan penambahan royalti minyak dan gas itu dan PM amat terbuka kepada idea yang dikemukakannya.

Jelasnya, pada masa sekarang, beliau berpuas hati dengan agihan belanja diberi pelbagai syarikat berasaskan minyak dan gas di negeri ini bagi menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (SCR) bagi membantu penduduk setempat memajukan taraf kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

“Dalam pada itu, saya turut melahirkan rasa bangga terhadap perkembangan positif sektor minyak dan gas kerana kebanyakan kontrak melibatkan kedua-dua bidang berkenaan secara majoritinya telah diberi kepada kontraktor anak jati negeri ini sendiri,’’ jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Adenan turut memberi penekanan bahawa kerajaan negeri memandang serius isu pembalakan haram di negeri ini sehingga tiada lagi lesen pembalakan dikeluarkan.

‘’Sekiranya ada menyedari ada konsensi pembalakan baharu, sila lapor kepada pihak berwajib kerana kerajaan tidak lagi membenarkan sebarang kegiatan ekonomi pengambilan kayu-kayan daripada hutan belantara di negeri ini,” tegasnya.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi Utom, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing antara yang hadir. - UB


gambar hiasan


KUCHING: Polis Marin merampas 80,000 liter minyak diesel bernilai kira-kira RM554,000 di sebuah premis simpanan di Jalan Utama Pending Industrial Estate di sini, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, Asisten Komisioner N Kalai Chelvan, berkata dua pegawai dan tiga anggota dari Unit Risikan Marin membuat pemeriksaan di premis berkenaan pada kira-kira 4.30 petang hasil maklumat awam dan risikan.

Semasa pemeriksaan, seorang lelaki yang mengaku sebagai penjaga premis itu mengemukakan dokumen kebenaran penyimpanan minyak berkenaan, namun ia didapati sudah tamat tempoh, katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan manakala tiga lori bersama empat tangki minyak yang dirampas diserahkan kepada penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan di sini untuk tindakan lanjut

Tatkala rakan sebaya lain selesa bekerja di pejabat berhawa dingin, lain pula ceritanya bagi Izyan Syahirah Hasanuddin, 24, yang 'terperangkap' dalam terowong bawah tanah sejak 24 bulan yang lepas.

Terowong bawah tanah sedalam 30 meter itulah menjadi tempat beliau menghabiskan masa selama 12 jam setiap hari, dengan terpaksa bergelumang bau tanah yang kurang menyenangkan dan suhu yang sangat panas, hingga boleh mencabar fizikal dan mental sesiapa sahaja jika berada dalam kedudukan gadis kelahiran Besut, Terengganu ini.

Bagi Izyan Syahirah serta lebih 100 jurutera muda tempatan yang bersemangat waja, terlibat dalam projek mega terowong bawah tanah Transit Aliran Massa (MRT) adalah rutin harian kerja mereka.

Projek di bawah syarikat MMC-Gamuda Sdn Bhd, itu melibatkan pembinaan tujuh buah stesen iaitu KL Sentral, Pasar Seni, Merdeka, Bukit Bintang, Sentral, Pasar Rakyat, Cochrane dan Maluri.

Beliau sama sekali tidak menyangka akan memegang status sebagai jurutera muda seawal usia 22 tahun lebih-lebih lagi apabila diberikan kepercayaan untuk menjadi seorang daripada kumpulan yang mengendalikan projek berstatus mega ini.

"Projek yang membabitkan bahagian bawah tanah jarang dibangunkan di Malaysia dan bagi saya kenapa perlu lepaskan peluang sekali dalam seumur hidup begini?," katanya kepada Bernama ketika ditanya mengenai permulaan kariernya dalam industri pembinaan ini.

Terima tawaran

"Semasa sesi temuduga, sewaktu panel menyatakan saya akan ditawarkan bekerja dalam projek pembinaan terowong MRT, membuatkan saya tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran keemasan itu!," ujarnya yang bekerja di 'Pudu Launch Shaft', iaitu terowong alternatif yang dibuat khusus sekiranya berlaku kecemasan.

Sebaik sahaja berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), gadis ini banyak mencuba nasib dengan memohon banyak pekerjaan kosong yang kebanyakannya dalam prospek minyak dan gas serta pembinaan perumahan.

Walaupun menganggap sektor pembinaan terowong tidak begitu menonjol, namun beliau tetap menguatkan semangatnya untuk menerokai pengalaman baharu dalam bidang yang dimonopoli oleh kaum lelaki kebanyakannya warga asing.

Keluar dari zon selesa

"Saya akui kemahiran 'multi-tasking' amat diperlukan ketika melakukan tugas-tugas di dalam terowong. Contohnya ketika mengendalikan mesin pengorek bawah tanah 'Tunnel Boring Mchine' (TBM).

Menjadi seorang daripada segelintir jurutera wanita di situ, katanya pengalaman yang sangat menguji ketahanan fizikal dan mentalnya adalah sewaktu proses 'intervention' di mana memerlukan pihaknya untuk menghentikan sementara penggunaan mesin TBM bagi melakukan tinjauan di dalam kawasan bawah tanah yang baru diterokai.

"Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya apabila terpaksa berhadapan dengan suhu mencecah 39 darjah celcius, bau tanah yang meloyakan dan keadaan gelap yang sedikit sebanyak menghadkan pergerakan saya di dalam terowong itu," katanya sambil ketawa kecil.

Nasihat Izyan kepada anak muda khususnya bakal jurutera muda wanita di luar sana, kaum wanita kini perlu keluar dari 'zon selesa' untuk mencuba perkara baharu dan membuang tanggapan bahawa tidak semua pekerjaan mampu dibuat oleh kaum lelaki sahaja.

Peluang keemasan

Sementara itu, seorang lagi jurutera muda, Ismail Bukhari Wan Ibrahim, 25, berkata, penglibatannya dalam projek MRT ini bermula pada usia 23 tahun dan ketika itu beliau baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pembinaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

"Saya nekad memilih untuk bekerja di bawah projek mega syarikat MMC-Gamuda Sdn Bhd. kerana ia satu-satunya projek di Malaysia yang menggunakan TBM untuk kerja mengorek terowong," kata jejaka yang pernah memasang impian menjadi seorang pemandu kapal terbang.

Ismail berkata agak mustahil bagi graduan lepasan universiti untuk mendapatkan jawatan ini di luar negara dan apabila syarikat MMC-Gamuda sendiri yang menawarkan peluang berharga tersebut, sudah tentu beliau tidak melepaskan peluang itu.

Beliau berkata sektor pembinaan adalah satu pentas pembelajaran yang sangat unik dan setiap hari baginya adalah pengalaman yang penuh dengan ilmu baru dan masalah yang perlu diselesaikan memerlukan dirinya berfikiran lebih kritis serta analitikal.

Ditanya mengenai pendidikan kejuruteraan, beliau berkata, institusi pendidikan perlulah mencari jalan yang terbaik dengan menyediakan struktur pembelajaran mengikut acuan tempatan. Contohnya di Amerika, struktur asas binaan mereka berdasarkan 'brick wood' dan Malaysia pula menggunakan asas batu konkrit.

Pencapaian

Penglibatan remaja yang dianggap perintis dalam sektor pembinaan seperti ini sememangnya menjadi satu kebanggaan buat negara yang dilihat ketandusan tenaga muda khususnya dalam kalangan rakyat tempatan.

Namun ramai yang tidak tahu akan penglibatan tenaga anak muda tempatan dalam pembinaan jajaran terowong MRT yang lahir hasil daripada sistem pendidikan negara kita sendiri.

Kerja-kerja pembinaan terowong telah siap sepenuhnya pada 21 April 2015, dan dijangka projek tersebut akan mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2017.

Kejayaan ini harus diraikan memandangkan kerja-kerja menggali terowong di Kuala Lumpur cukup mencabar sekali kerana mempunyai keadaan geologi tanah jenis batu kapur karstik yang mudah rapuh.

Projek MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang adalah antara sembilan Entry Point Projects (EPP) yang melibatkan pembinaan jajaran sistem rel sejauh 51 kilometer (km) dengan pembinaan terowong bawah tanah sejauh 9.5km. - Bernama


Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan terhadap pencetakan, penerbitan dan pengedaran dua buku berunsur keagamaan dan sebuah buku berunsur lucah yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan memudaratkan kemoralan, berkuatkuasa 23 Jun lepas.

Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik Jaafar dalam satu kenyataan berkata kandungan buku itu didapati mengandungi unsur-unsur yang boleh merosakkan akidah masyarakat Islam, menyebarkan ajaran syiah dan berunsur lucah, di negara ini.

Dua buku agama yang berbahasa Indonesia itu bertajuk “Doa Jausyan Shaghir” yang terkandung (Doa Yastasir, Doa Simat, Doa Masylul, Doa Adilah, Ziarah Jami Al Kabir) diterbitkan oleh Zahra Publishing House, dan “Doa Nudbah, Doa Ahd, Doa Faraj (Keluasan), Doa Ziarah dan Doa untuk Kegaiban Imam Mahdi” juga diterbitkan oleh Zahra Publishing House.

Manakala, sebuah lagi buku novel berbahasa Mandarin “To Love Ru Darkness” terbitan Tongli Publishing Co. yang berunsur lucah.

Menurutnya, pewartaan Perintah Larangan itu adalah menurut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut subseksyen 2 Seksyen 8 akta sama, mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki penerbitan adalah melakukan kesalahan.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya,” katanya. – BERNAMA
| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA