Browsing "Older Posts"

  • Hidangan Istana Johor dalam pesawat MAS mulai esok

    By Admin → Sunday, 31 May 2015
    KUALA LUMPUR - Nasi Kuning dan Opor Ayam Kacang yang hanya dihidangkan di Istana Johor akan dapat dinikmati oleh penumpang kelas satu dan perniagaan Penerbangan Malaysia (MAS) bagi destinasi terpilih mulai esok hingga akhir tahun ini.

    Selain itu, tujuh lagi menu eksklusif dari dapur istana iaitu Nasi Tumpang, 'Beef on Toast', Udang Masak Merah, 'Grilled Beef Tenderloin Patty', Dadar Pahang, Ayam Panggang Johor dan Puding Raja bersama Jala Emas akan turut dihidangkan kepada penumpang dua kelas penerbangan itu.

    Chef Eksekutif dan Pengurus Makanan dan Minuman Jabatan Dalam Kabin MAS, Chef Zahiddin Dris berkata, hidangan itu adalah hasil kerjasama pihak MAS dengan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dan ianya akan disajikan dalam penerbangan ke destinasi terpilih antaranya London, Paris, Amsterdam, Perth, Auckland, Bangkok dan Jakarta.

    "Menu Diraja itu akan menampilkan cita rasa Tengku Puan Pahang sekali gus berpeluang memperkenalkan makanan istimewa istana di negara ini ke seluruh dunia," katanya kepada Bernama pada majlis demonstrasi masakan eksklusif dari Dapur Istana oleh Tengku Azizah di Festival Big Kitchen Kuala Lumpur 2015 di Dataran Merdeka di sini, hari ini.

    Pada majlis itu, Tengku Puan Pahang berpakaian lengkap seperti chef berkenan mencemar duli menghasilkan menu eksklusif Nasi Kuning dan Opor Ayam Kacang yang menggunakan bahan-bahan seperti ayam yang direbus, kacang yang dihancurkan beserta rempah ratus Melayu, santan, beras basmati kunyit, kacang buncis dan bawang. - Bernama
  • NGO Netherlands puji Malaysia bantu pelarian Rohingya

    By Admin →

    PADANG BESAR, Thailand - Usaha Kerajaan Malaysia membela nasib pelarian Rohingya mendapat sanjungan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Netherlands.

    Presidennya, Salaamah Wal Adaalah, Nourdeen Wilderman berkata, beliau dan pasukannya tertarik melihat layanan Kerajaan Malaysia kepada pelarian di Pusat Depo Tahanan Belantik di Kedah.

    "Ia kelihatan amat elok dan baik, kami tidak dapat masuk, tapi kami dapat lihat dari luar. Kami cukup teruja, pusat itu nampak elok," katanya kepada Bernama dan TV3 bila ditemui pada satu lawatan dengan NGO itu di kubur besar dipercayai kubur pelarian Rohingya yang ditemui di Ban Ta Lok di sini baru-baru ini.

    Penemuan kubur itu yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dengan kereta dari sempadan Malaysia-Thai di Padang Besar membawa kepada penemuan satu lagi kubur besar di Wang Kelian, Malaysia, kira-kira dua minggu kemudian.

    Nourdeen telah mengendali isu Rohingya selama lebih 10 tahun. - Bernama
  • Semua jenis minyak naik 10 sen seliter

    By Admin →
    KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON95 dan RON97 serta diesel bagi Jun 2015 naik 10 sen seliter berkuatkuasa tengah malam ini.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, harga baharu RON95 ialah RM2.05 seliter, RON97 (RM2.35 seliter) manakala diesel (RM2.05 seliter).

    "Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Jun ini," katanya ketika dihubungi Bernama. - Bernama
  • Wanita Terbunuh Dalam Kemalangan

    By Salfian Nawawi →

    SIBU: Seorang wanita terbunuh dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Batu 26, Jalan Sibu-Bintulu di sini petang tadi.

    Difahamkan, pihak bomba telah menerima panggilan kecemasan menengenai kejadian lebih kurang jam 6:15 petang dan dua pasukan bomba melibatkan 10 orang anggotadari Balai Sungai Merah di kejarkan ke lokasi kejadian.

    Mangsa, yang dikenali sebagai Chung Sun Chew, 49-tahun disahkan meninggal ditempat kejadian didalam keretanya sementara pemandu kenderaan yang kedua yang terbabit dalam kemalangan tersebut, seorang lelaki tersepit dibahagian pemandu.

    Operasi mengeluarkan mangsa berakhir lebih kurang jam 7:50 malam dan mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

    Punca kemalangan masih di siasat. - Sarawakiana
  • ‘Pagar Coli’ Jadi Tarikan Pelancong Di New Zealand

    By uMieySurianie →

    Di New Zealand terdapat satu tempat tarikan pelancong yang luar daripada kebiasaan.

    Di pinggir bandar yang terletak di Central Otago itu, terdapat ribuan coli digantung pada pagar sehingga ianya menarik kedatangan pelancong sama ada tempatan mahu pun luar negara.

    Pagar coli itu dikatakan wujud sekitar tahun 1998 bila mana terdapat pengguna jalan raya di situ yang meninggalkan coli di pagar tersebut sehingga ianya mula menjadi ikutan dan kini ianya seakan menjadi satu tradisi untuk pelancong wanita meninggalkan ‘jejak’ mereka di situ selepas melawati pagar tersebut.

    Walau bagaimanapun setelah mendapat pelbagai tentangan daripada penduduk yang sentiasa menggunakan laluan tersebut, akhirnya pada tahun 2006, pihak majlis perbandaran terpaksa memindah dan membuang coli-coli tersebut kerana penduduk menyifatkan perkara itu adalah sesuatu yang memalukan buat mereka selain memburukkan pemandangan di kawasan terbabit. – MYNEWSHUB.CC


  • Kemudahan Jalur Lebar Lebih Baik Di Pinggir Bandar

    By uMieySurianie →

    PADANG BESAR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan menyediakan kemudahan internet atau jalur lebar lebih baik untuk dinikmati oleh penduduk pinggir bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

    Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata kemudahan berkelajuan antara 20 hingga 100 megabit sesaat itu akan dilaksanakan secara berperingkat.

    "Kerajaan memberi komitmen terhadap projek ini selain memenuhi tuntutan masyarakat pinggir bandar yang memerlukan akses jalur lebar untuk bergerak seiring dengan kawasan bandar," katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Ekonomi dan Kepenggunaan peringkat Parlimen Padang Besar di Pusat Koreksional Perlis di sini, hari ini.

    Jailani berkata, sebanyak 1,000 menara baharu dirancang dibina dalam RMK11 membabitkan tiga fasa pembinaan iaitu 400 buah dalam fasa pertama dan masing-masing 300 buah pada fasa kedua dan ketiga.

    Katanya, Perlis yang mempunyai 33 menara akan mendapat dua lagi menara dan satu dikenal pasti untuk didirikan di Wang Kelian.

    Mengenai Pusat Internet 1Malaysia, beliau berkata kajian menunjukkan peluasan jalur lebar memberi banyak manfaat khususnya kepada masyarakat luar bandar untuk belajar, mendalami dan mengembangkan perniagaan mereka.

    "Banyak usahawan baru lahir hasil kewujudan Pusat Internet 1Malaysia. Produk-produk yang dipromosikan juga berkembang termasuk rumpai, cendawan, homestay dan produk tradisional," katanya.

    Justeru, Jailani berkata rakyat perlu menggunakan sepenuhnya kemudahan itu kerana selain berpeluang belajar menggunakan komputer, mereka juga diajar mendalami perniagaan secara dalam talian melalui dua petugas sepenuh masa yang disediakan di pusat tersebut.

    Mengenai Seminar Ekonomi dan Kepenggunaan, beliau berkata ia memberi peluang kepada masyarakat dan usahawan kecil untuk mengetahui dasar dan perancangan kerajaan yang boleh direbut oleh mereka.

    "RMK11 yang baru dilancarkan memberi penekanan terhadap program pembiayaan supaya pembangunan usahawan secara efektif dan bersepadu dapat digiatkan kerana bidang keusahawanan memberi impak besar terhadap ekonomi negara.

    "Peluang-peluang yang terbuka luas dalam bidang automotif, pembinaan, aeroangkasa, pertahanan, perkhidmatan, pendidikan, kesihatan serta minyak dan gas tidak mungkin dapat direbut oleh usahawan Bumiputera andainya mereka tidak didedahkan melalui seminar seumpama ini," katanya.

    Jailani, kemudian melawat Pusat Internet 1Malaysia di Sungai Batu Pahat dekat Kangar, serta bertemu kakitangan agensi-agensi di bawah KKMM. - BERNAMA

  • Kerajaan Komited Bantu Wanita Berjaya Dalam Bidang Keusahawanan - Najib

    By uMieySurianie →

    KUALA LUMPUR: Kerajaan akan terus membantu dan membimbing golongan wanita negara ini untuk berjaya dalam bidang keusahawanan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata komitmen kerajaan itu telah diterjemahkan melalui pelbagai polisi pembangunan negara seperti dalam Bajet 2015 dan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan di Parlimen pada 21 Mei lepas.

    Katanya, antara sasaran dalam memartabatkan wanita dalam ekonomi ialah memastikan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dalam bidang korporat mencapai 30 peratus, dan di sektor awam, wanita yang berpangkat Jusa C ke atas telah melepasi 35 peratus.

    "Kita akan terus bantu wanita kerana wanita penting untuk masa depan negara kita," katanya semasa merasmikan Pasarnita di sebuah pusat beli-belah terkenal di sini, Ahad.

    Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

    Najib, yang menyifatkan usahawan wanita sebagai golongan yang tekun dan beramanah, dan untuk itu bimbingan dan galakan harus diberikan bagi melonjakkan mereka ke kejayaan yang lebih tinggi.

    Beliau juga turut menggesa usahawan wanita untuk mengoptima kecanggihan kemudahan teknologi maklumat untuk memajukan perniagaan mereka, termasuk menebusi pasaran di luar negara.

    Mengambil contoh seorang usahawan rumpai air wanita di Semporna, Sabah yang sebelum ini hanya menperoleh beberapa ratus ringgit sebulan, tetapi kini mampu meraih RM30,000 sebulan setelah memasarkan produknya dalam talian, katanya.

    Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan tapak kekal khusus untuk usahawan Pasarnita berniaga yang akan terletak di tempat letak kereta Bukit Nenas di Jalan Ampang di sini.

    Tapak itu akan menyediakan platform kepada golongan usahawan wanita bagi mempamer dan menjual produk-produk mereka, di samping melebarkan jaringan
    perniagaan masing-masing.

    "Ini merupakan tapak pertama dan banyak lagi tempat seperti 'foodcourts' (medan selera) dapat disediakan sebagai tempat untuk wanita berniaga.

    "Malah saya dapat bayangkan stesyen MRT bila siap nanti, kita akan sediakan tempat. Malah terminal rel berkelajuan tinggi pun, mesti ada sudut untuk wanita berniaga.

    "Inilah harapan saya supaya kita boleh bantu wanita berjaya," katanya.

    Pada majlis tersebut, Najib turut menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman antara wakil Pasarnita dan Persekutuan Rantaian Runcit Francais (ARFF) ASEAN dengan Pasarnita yang diwakili pengerusinya, Datin Paduka Datuk Nor Hayati Tan Sri Onn dan wakil persekutuan itu, Prof Datuk Dr Jayles Yeoh.

    Selain itu, beberapa wakil Pasarnita juga turut menandatangani memorandum persefahaman dengan Global Network Sdn. Bhd., CNL Global Network Sdn. Bhd dan Malaysia South Asia Chamber of Commerce.

    Pasarnita merupakan inisiatif Pejabat Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Wanita (KIW) dan diwujudkan tahun lepas bagi menyediakan platform untuk membantu melahirkan lebih banyak usahawan wanita.

    Pada mulanya, Pasarnita menggunakan konsep 'car boot sale' di mana para usahawan hanya perlu menggunakan kenderaan mereka untuk mempamerkan hasil jualan.

    Selepas mendapat sambutan menggalakkan, penganjur membuat keputusan untuk menjadikan pusat-pusat beli-belah terkemuka sebagai tempat sementara tapak
    perniagaan.

    Antara barang-barang yang sering menjadi bahan jualan ialah produk kecantikan, pakaian, barang perhiasan, hinggalah ke produk makanan seperti kuih-muih.

    Pasarnita kali ini, diadakan di pusat beli-belah Berjaya Times Square di sini selama tiga hari berakhir pada Ahad. -- BERNAMA
  • Penagih Tegar Mainan Telefon

    By Yusz Man →

    Changsha: Seorang lelaki dirakam masih asyik bermain permainan dalam telefon bimbitnya walaupun terlantar di atas jalan raya selepas motosikalnya dilanggar kereta.

    Gambar ini dirakam di Changsha, ibu negeri wilayah Hunnan di selatan China.

    Menurut laporan People’s Daily Online, lelaki itu dilanggar di persimpangan jalan yang sibuk, kelmarin.

    Motosikalnya jatuh dan kotak dibawanya bertaburan.

    Bagaimanapun, apabila polis tiba, lelaki itu enggan bangun, sebaliknya memberitahu mereka, dia mahu tunggu ambulans.

    Kedegilan dan perbuatannya terus bermain dengan telefon bimbitnya menyebabkan kesesakan teruk.

    Polis mengesahkan dia dibenarkan keluar dari hospital pada hari itu juga selepas doktor mendapati dia hanya mengalami luka kecil.

    Beberapa media sosial percaya lelaki itu sengaja menjatuhkan dirinya untuk menuntut pampasan daripada pemandu kereta terbabit.

    Seorang pengguna laman sosial menulis: “Ini satu lagi penagih permainan online.” – Agensi
  • Kolam renang syaitan di Zambia

    By Admin →
    LUSAKA – ZAMBIA. Di persempadanan negara Zambia dan Zimbabwe, terdapat sebuah kolam renang yang sangat ‘menyeramkan’. Sehinggakan ia dikenali dengan nama ‘Devil Swimming Pool’ (Kolam Renang Syaitan).

    Ia dikenali demikian kerana kolam renang itu dianggap paling berbahaya di dunia. Bayangkan! Kolam mini semula jadi ini terletak tepat di ‘bibir’ air terjun Victoria dan mempunyai ketinggian 128 meter serta seluas 1.708 meter per segi.

    Kolam renang ini terbentuk akibat daripada hakisan air di kawasan itu , sehingga membentuk sebuah bulatan hingga menjadikan ia sebuah kolam renang mini semula jadi.

    DISUKAI PELANCONG!

    Pada musim hujan, pelancong dilarang sama sekali untuk bermandi manda di kolam tersebut, kerana tahapnya yang terlampau berbahaya.

    Namun, pada musim kemarau, iaitu antara bulan September sehingga Disember, airnya agak surut. Saat itulah kolam ini boleh digunakan untuk berenang. Maka tidak mustahil ramai pelancong yang ‘berani mati’ untuk bermandi-manda di kolam tersebut walaupun risikonya sangat tinggi dan berbahaya.

    Untuk pelancong mereka sentiasa diingatkan akan bahayanya kawasan itu, dan langkah-langkah berhati-hati perlu dititikberatkan untuk memastikan mereka sentiasa selamat.

    AIR TERJUN VICTORIA

    Air terjun ini juga telah diwartakan sebagai taman nasional di kedua-dua buah negara di mana ia dikenali sebagai Taman Nasional, ‘Mosi-oa-Tunya National Park’ di Zambia dan ‘Victoria Falls National Park’ di Zimbabwe.

    Sementara penduduk setempat memanggil air terjun ini dengan nama Mosi-oa-Tunya, yang bermaksud ‘asap yang menggelegar’, kerana arus air yang deras seolah-olah membentuk sekumpulan asap putih yang tebal.

    Nama Air Terjun Victoria diberikan oleh David Livingstone, seorang penjelajah dari negara Scotland .

    Menurut National Geography, pada tahun 1855, Livingstone “menemui” air terjun ini.

    Oleh kerana begitu terpesona melihat keindahan air terjun ini, lantas Livingstone memberikan nama Victoria.

    Nama Victoria diambil daripada nama Ratu Victoria, iaitu Ratu Inggeris yang ketika itu menjajah Zambia dan Zimbabwe. -SH.
  • Singapura: Seorang Ditembak Mati, 2 Ditahan Berhampiran Shangri-La Hotel

    By Admin →
    SINGAPURA, 31 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki ditembak mati dan dua ditahan dalam satu kejadian berhampiran Hotel Shangri-La di sini pada 4.36 pagi Ahad, kata polis.

    Dalam catatan laman Facebook, polis berkata sebelum itu, ketiga-tiga lelaki berkenaan berhenti di pusat pemeriksaan kenderaan di Ardmore Park.

    Apabila diminta membuka tempat menyimpan barang untuk diperiksa, pemandu kereta berkenaan tiba-tiba memecut ke arah Anderson Road.

    Walaupun polis memberi amaran supaya berhenti, pemandu itu merempuh sekatan polis dan membahayakan nyawa para pegawai bertugas.

    Untuk mencegah bahaya lebih besar, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kereta itu dan menyebabkannya berhenti di persimpangan Orange Grove Road dan Anderson Road, kata catatan itu.

    Polis berkata, bahan dipercayai dadah ditemukan pada seorang daripada lelaki yang ditahan.

    Berikutan itu, Orange Grove Road, Anderson Road dan Ardmore Park ditutup sementara untuk memudahkan operasi polis dan orang ramai diminta menjauhi kawasan berkenaan.

    Bersempena Dialog Shangri-La IISS Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-14 yang berlangsung sekarang, langkah keselamatan, termasuk pusat pemeriksaan kenderaan dan orang, diadakan di sekitar Shangri-La Hotel.

    Menteri Pertahanan Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berada di sini untuk menghadiri sidang kemuncak itu, yang berakhir Ahad. -- BERNAMA
  • 22 Rangka Manusia Dikeluarkan Dari Bukit Wang Burma - Polis

    By Admin →
    KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Sebanyak 22 rangka manusia dipercayai mangsa sindiket pemerdagangan manusia dibawa turun dari hutan Bukit Burma di Wang Kelian, Perlis, berhampiran sempadan Malaysia-Thailand, menurut polis.

    Penolong Ketua Urus Setia KPN (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia ACP Datin Asmawati Ahmad berkata rangka berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk proses patologi pada 9.45 malam tadi.

    Katanya jumlah keseluruhan rangka mayat yang ditemukan setakat ini kekal 35 orang.

    "Operasi menggali dan mengeluarkan rangka mayat akan diteruskan di lain-lain lokasi kubur yang telah dikenal pasti," katanya dalam kenyataan di sini.

    Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara Kampung Wai di Kuala Perlis hingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, sepanjang 11 kilometer. -- BERNAMA
  • Mayat Budak Lelaki Ditemui Di Bawah Lantai Dapur

    By Yusz Man →

    KUALA LUMPUR: Mayat yang ditanam di bawah lantai dapur rumah di Taman Usaha Jaya, Kepong dan ditemui Jumaat lalu adalah mayat budak lelaki berusia antara lapan hingga 10 tahun.

    Baca: Mayat Mereput Tanpa Identiti Ditemui Disimen Di Dapur Rumah

    Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, hasil laporan bedah siasat juga mendapati mangsa sudah meninggal dunia sejak lapan minggu lalu.

    “Punca kematian serta identiti sebenar mangsa masih belum diketahui berikutan keadaan mayat yang sudah reput,” katanya.

    Menurutnya, bekas penyewa rumah itu, iaitu lelaki berusia 33 tahun ditahan di Keningau, Sabah pada 7 malam tadi.

    Bagaimanapun, katanya, isteri serta anak lelaki itu masih belum dapat dikesan setakat ini.

    “Penahanan itu dipercayai dapat membantu siasatan penemuan mayat berkenaan.

    “Ujian DNA akan dijalankan bagi mengenal pasti hubungan lelaki dan mayat yang ditemui itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya.

    Jumaat lalu, polis dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu oleh anak perempuan pemilik rumah berkenaan yang hendak melakukan pengubahsuaian selepas rumah itu dikosongkan sebulan lalu. - myMetro Online
  • Arsenal Julang Trofi Piala FA Inggeris Kali Ke-12

    By Yusz Man →

    ARSENAL berjaya mempertahankan trofi Piala FA Inggeris selepas menewaskan Aston Villa 4-0 pada aksi final di Stadium Wembley awal pagi Ahad.

    Kemenangan tersebut menjadikan Arsenal pasukan pertama yang merangkul trofi ini sebanyak 12 kali.

    Aksi kejayaan skuad bimbingan Arsene Wenger itu bermula dengan jaringan Theo Walcott pada minit ke-40, lima minit sebelum tamat separuh masa pertama.

    Alexis Sanchez memastikan kedudukan Arsenal lebih selamat melalui rembatan kencang dengan jarak 25 kaki pada minit ke-50 sebelum pemain pertahanan Jerman, Per Mertesacker menanduk gol ketiga sebelas minit kemudian.

    Manakala Oliver Giroud menambah gol terakhir Arsenal pada minit terakhir perlawanan (90+3) untuk memastikan kemenangan bergaya berpihak kepada The Gunners.

    Serba tidak menjadi buat 'The Villas' yang diurus oleh Tim Sherwood ini biarpun cuba melakukan serangan pantas ke arah penjaga gol Wojciech Szczesny pada babak kedua perlawanan.

    Lebih malang, hasrat Aston Villa untuk menamatkan kemarau 19 tahun tanpa trofi ini juga tidak kesampaian pada edisi Piala FA kali ini.
  • Pengebom Berani Mati Letupkan Diri Di Masjid, 26 Jemaah Terbunuh

    By Yusz Man →

    MAIDUGURI: Seramai 26 maut manakala 28 lagi cedera apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di sebuah masjid utama di sini pada Sabtu.

    Kejadian itu dilaporkan berlaku selepas beberapa jam Presiden baharu Nigeria, Muhammadu Buhari mengangkat sumpah untuk melaksanakan tugas pada penggal pertama.

    Letupan di masjid yang terletak di ibu negeri Borno itu didakwa dilakukan oleh lelaki yang bersembahyang bersama jemaah lain sebelum meletupkan diri.

    Sebelum itu, pihak tentera memaklumkan kumpulan pemberontak Bokok Haram telah melancarkan beberapa siri serangan termasuk menggunakan pelancar roket.

    "Akibat letupan itu, sebahagian bumbung masjid runtuh, manakala Al-Quran turut rosak. Polis percaya pengebom berani mati itu daripada kumpulan Bokok Haram," Ketua Polis Borno, Aderemi Opadokun.-mStar
  • Parti Dadah Liar, 51 Terlibat Ditahan

    By Yusz Man →

    KUALA LUMPUR: Seramai 51 orang termasuk penganjur parti dadah liar ditahan dalam Ops Parti Liar yang diadakan di Tingkat 44, Berjaya Times Square di sini, Sabtu.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata, kesemua individu termasuk penganjur parti itu, seorang wanita ditahan oleh sembilan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Dang Wangi.

    Dalam operasi selama tiga jam bermula kira-kira 12.30 pagi Sabtu, 18 daripada 51 orang yang ditahan itu adalah wanita.

    "Seramai 20 orang positif ujian air kencing dan kini ditahan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu.

    Beliau berkata, seorang pula ditahan kerana memiliki dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

    "Tujuh lagi ditahan di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya dan 23 lagi individu ditahan atas pemeriksaan dokumentasi," katanya.
  • Kaum Ibu Disaran Galakkan Anak Ceburi Bidang TVET

    By Yusz Man → Saturday, 30 May 2015

    SIMUNJAN: Sasaran kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal (TVET) di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) boleh menjadi platform untuk generasi muda menyumbang secara aktif dan berkesan kepada pembangunan negara.

    Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata kaum ibu dan wanita perlu menggalakkan anak-anak mereka merebut peluang yang disediakan itu kerana dunia pada masa akan datang lebih terarah kepada ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi serta teknologi tinggi.

    “TVET yang menjadi sebahagian daripada RMK11 boleh menjadi platform untuk anak-anak kita menjadi modal insan yang digemari oleh industri dan pasaran semasa.

    “Oleh itu ambil peluang ini di peringkat sekolah agar masa depan anak-anak kita seiring dengan permintaan ekonomi masa depan yang berteraskan kreativiti dan inovasi,” katanya.

    Nancy yang juga anggota Parlimen Batang Sadong berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian Sambutan Hari Ibu 2015 anjuran Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Simunjan, di sini hari ini. – BERNAMA
  • Tentera AS Tidak Sengaja Hantar Antraks Ke Australia

    By Yusz Man →

    CANBERRA: Ketika media Australia ‘heboh’ cerita pejabat Konsul Besar Indonesia di Sydney, Melbourne dan Perth menerima bungkusan berisi serbuk antraks yang disahkan palsu, kali ini kuman itu benar-benar wujud.

    Agensi berita antarabangsa Reuters melaporkan pihak tentera Amerika Syarikat (AS) secara tidak sengaja pernah telah menghantar beberapa sampel antraks hidup pada 2008 lalu kepada sebuah makmal saintifik di Australia.

    Pendedahan terbaharu itu susulan skandal tentera kuasa besar dunia tersebut pada Khamis tersilap menghantar kuman maut berkenaan kepada makmal di 11 buah negeri di AS serta sebuah lagi di Korea Selatan awal tahun lalu.

    Seorang pegawai Jabatan Pertahanan AS atau Pentagon di Washington DC yang enggan didedahkan berkata, mereka tidak pasti makmal apakah di Australia menerima sampel itu sama ada milik tentera atau pihak awam.

    Namun ujarnya, seperti juga kes kesilapan penghantaran yang terbongkar baru-baru ini, kesemua makmal di AS selain sebuah pangkalan udaranya di Osan, Korea Selatan itu menerima antraks daripada jenis tidak lagi aktif.

    Pentagon segera melancarkan siasatan terperinci berhubung kes aneh itu dan laporan awal menunjukkan contoh kuman hidup berbahaya tersebut dihantar markas tentera darat AS di Dugway Proving Ground, Salt Lake City, Utah.

    Bagaimanapun Pentagon menasihatkan saintis di kesemua makmal berkenaan agar segera menghentikan sebarang kerja penyelidikan ilmiah terhadap sampel kuman yang tersilap hantar tersebut atas faktor risiko keselamatan.

    Setakat ini Pentagon mengesahkan tiada mana-mana individu yang dijangkiti antraks ekoran kesilapan berkenaan dan kuman itu juga didapati tidak tersebar kepada masyarakat tempatan di sekitar kawasan makmal terbabit.

    Sehingga kini dianggarkan sebanyak 24 buah makmal di 11 buah negeri di AS selain makmal tenteranya di luar negara dipercayai menerima sampel maut tersebut yang dihantar pada 2014 lalu. — Agensi

  • Saspek Perompak Diberkas

    By Salfian Nawawi →

    KUCHING: Dua orang lelaki disyaki terlibat dalam satu rompakan bersenjata di Tebingan Kuching di sini diberkas polis hari ini.

    Difahamkan, kejadian rompak tersebut berhampiran dengan Muzium Cina du Tebingan Kuching lebih kurang jam 4 pagi.

    Mangsa, seorang lelaki yang telah dirompak oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali membuat laporan polis di Balai Polis Sentral dan sepasukan anggota Unit Cegah Jenayah dikejarkan ke Tebingan Kuching untuk membuat pemantauan.

    Pasukan tersebut terserempak dengan salah seorang dari saspek namun beliau melarikan diri sebaik sahaja anggota polis berkenaan menunjukkan kad kuasa.

    Setelah berlaku kejar-mengejar dan pergelutan, saspek yang berusia 27-tahun itu kemudiannya berjaya diberkas.

    Polis merampas dua talipon bimbit dan sebilah pisau pemotong daging dari saspek.

    Susulan siasatan terhadap saspek tersebut, seorang lagi saspek yang berusia 23-tahun yang dipercayai rakan saspek pertama berjaya diberkas petang tadi.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Fauzilan Abd Aziz ketika dihubungi untuk mengesahkan tangkapan kedua saspek menasihati orang awam supaya tidak merayau hingga awal pagi kerana berkemungkinan akan menjadi mangsa perompak, terutamanya menjelang hari perayaan. - Sarawakiana



  • JPP Jentera Transformasi Sosial Di Bandar – Najib

    By Yusz Man →


    PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) yang dilancarkan hari ini memainkan peranan sebagai jentera perubahan transformasi sosial yang bermakna kepada negara di kawasan bandar.

    Beliau berkata JPP, yang dianggotai wakil masyarakat setempat dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT), akan menyebabkan berlakunya satu ledakan evolusi pentadbiran negara dengan masyarakat mencerminkan negara maju.

    Katanya negara maju tidak akan lengkap jika penduduk bandar tiada kepimpinan yang mencerminkan masyarakat yang mahu perubahan, dinamik dan mahu satu impian yang hebat untuk negara.

    “Hubungan emosi (antara kerajaan dan penduduk bandar) longgar. Jadi ia boleh diperbetulkan melalui kepimpinan JPP,” katanya ketika melancarkan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk peringkat Kebangsaan yang dihadiri 4,000 anggota jawatankuasa JPP di sini.

    JPP, yang diilhamkan Najib, berperanan menjadi pemudah cara antara agensi kerajaan persekutuan dan rakyat bagi mewujudkan bandar yang sejahtera.

    Najib berkata JPP perlu memainkan peranan sebagai jentera yang penting seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di luar bandar.

    Beliau berkata penubuhan JPP merupakan satu inisiatif kerajaan persekutuan bagi melaksanakan transformasi pengurusan bandar memandangkan kini hampir 70 peratus penduduk negara ini tinggal di bandar.

    “Angka ini akan terus meningkat kepada 75 hingga 80 peratus menjelang 2020,” katanya.

    Selain transformasi ekonomi dan kerajaan, Najib berkata transformasi sosial mesti berlaku khususnya di kawasan bandar yang berdepan dengan pelbagai cabaran dan masalah yang kompleks serta harapan penduduk bandar yang lebih tinggi.

    “Kalau jalan ada lubang atau parit tersumbat, harapan masyarakat bandar ialah kerajaan ada jalan penyelesaiaan dan tindakan segera. Jangalah sampai berbulan-bulan lubang itu tidak dikambus dan parit sampai tersekat aliran.

    “Tapi masalah di bandar bukan setakat itu sahaja, isu keselamatan jenayah tidak boleh serah kepada polis sahaja. JPP mestilah memainkan peranan wujudkan konsep bandar selamat dan membuat rondaan dan mengalakkan masyarakat membuat sesuatu menjaga kawasan masing-masing,” kata Najib.

    Sementara itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata JPP dibentuk untuk menjadi jambatan merapatkan hubungan emosi yang renggang antara kerajaan dengan rakyat di bandar dan membolehkan kerajaan menjadi ‘telinga pertama’ mendengar permasalahan rakyat.

    “Peranan kerajaan persekutuan tidak dirasai di kawasan bandar walaupun lebih 70 peratus perkhidmatan yang diberi seperti kesihatan dan keselamatan datang daripada agensi persekutuan,” katanya.

    JPP memberi peluang dan menggalakkan penyertaan penduduk dalam program-program dan pembangunan di kawasan bandar bagi kemampanan kejiranan.

    Penduduk juga akan berpeluang mengemukakan pandangan dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat untuk diambil tindakan oleh kerajaan.

    Sebanyak 2,288 JPP diwujudkan di 98 PBT di seluruh negara kecuali di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya, Perbadanan Labuan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Taman Perindustrian Hi-Tech Kulim, Lembaga Bandaran Johor Tenggara dan Lembaga Kemajuan Tioman serta Sabah dan Sarawak.

    Setiap PBT dipecahkan kepada 24 zon JPP dan bilangannya boleh diubah suai berdasarkan kepadatan penduduk serta isu berbangkit di PBT terbabit.
  • Penyokong PR Meroyan Bila Mazlan Aliman Diperintah Bayar Saman

    By Yusz Man →
     

    Dari portal myKmu : Selalunya bila pemimpin pembangkang raih kemenangan dalam kes saman terhadap media perdana, bergentanyanganlah segala macam kata pujian dari kalangan ‘keyboard warrior’ pro PR mengangkat darjat hakim dan mahkamah.

    Hari ini lain pula yang berlaku bila mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan yang mencuit jiwa raga penyokong PR apabila mengarahkan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman membayar saman malu RM350,00000 kepada FELDA.

    Bila diarahkan bayar saman maksudnya Mazlan yang juga Pengerusi NGO Anak itu telah diputuskan bersalah kerana telah memfitnah FELDA melalui penerbitan buku bertajuk “FELDA… Dulu tolong Sekarang Ah Long”.

    Lebih malang bagi Mazlan apabila diarahkan juga membayar kos guaman yang berjumlah RM150,000.00 menjadikan angka keseluruhan yang menghempap kepala AJK PAS Pusat itu berjumlah RM450,000.00.

    Sakan penyokong PR meroyan menuduh mahkamah berat sebelah, bias dan bermacam tuduhan liar dilemparkan. Sebab apa? Sebab keputusan tak memihak pada pemimpin mereka. Sebelum ini banyak kes saman memihak pada pimpinan mereka, melayang-layang seronok mereka angkat mahkamah.

    Kenalah terima hakikat, ada kalanya menang ada tikanya kalah, kalau asyik nak menang saja semua kes di mahkamah, itu maknanya ada something wrong.

    Pun begitu RM450 ribu bukan kecil anak angkanya. Mana Mazlan nak gagau duit sebanyak itu? Hasil jualan buku fitnah itu pun langsung tak mencecah angka RM450 ribu. Haru dibuatnya, hasil dari buku fitnah cuma secuit, bahana yang menghempap kepala besar gedabak.

    Sanggupkah PAS mengorek tabung menebus maruah Mazlan Aliman dengan tolong membayar saman tersebut? Rakan seperjuangan tengah sesak kepala takkan tak terlintas nak tolong. Hulur-hulurlah tabung milo kutip derma dari penyokong marhaen. Macam tak biasa, tak gitu?

    Apa pun, dengar katanya kes saman ini hanyalah secebis dari beberapa saman fitnah yang Mazlan Aliman hadapi. Ini semua gara-gara terlampau sakan sangat menabur fitnah tanpa mempedulikan fakta dan hakikat.

    Jadi nak salahkan FELDA yang menyaman tentulah tidak patut. FELDA berhak mempertahankan maruah mereka, dan Mazlan atau siapa sahaja yang melakukan fitnah kenalah menanggung akibatnya.
  • Mayat Mereput Tanpa Identiti Ditemui Disimen Di Dapur Rumah

    By Yusz Man →

    KUALA LUMPUR: Polis menemui satu mayat yang disimen dan mereput di lantai dapur sebuah rumah teres di Taman Usaha Jaya, Kepong di sini tengah hari Jumaat.

    Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata polis dimaklumkan tentang penemuan mayat itu oleh anak perempuan pemilik rumah berkenaan yang hendak melakukan pengubahsuaian setelah rumah itu dikosongkan sebulan lalu.

    "Sebelum ini, rumah itu disewa sebuah keluarga warga tempatan yang menghilangkan diri bulan lalu setelah tidak membayar sewa.

    "Pemilik rumah yang sedang membersihkan rumah itu terhidu bau busuk di bahagian dapur dan meminta tukang rumah mengorek di bahagian lantai sebelum menemui mayat yang dibungkus dengan plastik putih," katanya kepada Bernama.

    Menurutnya, identiti mayat itu tidak dapat dikenal pasti kerana telah mereput dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

    Ali berkata mayat itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

    Katanya polis masih menjejaki penyewa lama rumah berkenaan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat terbabit.
  • Tindakan Siar Karikatur Hina Malaysia Tak Dapat Diterima

    By Yusz Man →

    KUCHING: Tindakan sebuah akhbar negara jiran yang menyiarkan karikatur kartun menghina negara ini tidak dapat diterima, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

    Beliau berkata tindakan menghina pemimpin serta rakyat negara ini tidak seharusnya berlaku.

    "Sebenarnya kalau kita lihat apa yang dijumpai di Bukit Wang Burma, Wang Kelian bukan bermula daripada negara kita kerana lokasi kem transit itu lebih mudah untuk dimasuki dari negara berkenaan.

    "Saya melihat daripada semua indikasi yang dijumpai (di Bukit Wang Burma, Wang Kelian) semua ini bermula dari sana. Semua barang-barang yang kita jumpa di kem transit itu seperti makanan, bungkusan, kain, kotak, bahkan kotak peluru semuanya berasal dari negara berkenaan," katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Peruntukan kepada lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dalam kawasan Parlimen Santubong, di sini malam Jumaat.

    Wan Junaidi berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sebuah akhbar negara jiran yang menyiarkan karikatur menunjukkan seorang pegawai polis negara ini sedang memegang penyodok di hadapan timbunan tengkorak.-mStar
  • Serangan Lelaki Bersenjata Di Pakistan, 19 Penumpang Bas Maut

    By Yusz Man →

    QUETTA (Pakistan): Sekurang-kurangnya 19 penumpang yang menaiki sebuah bas maut selepas ditembak oleh sekumpulan bersenjata yang memaksa kenderaan itu berhenti ketika ia dalam perjalanan dari Quetta di barat Pakistan ke Karachi, kata menteri dalam negeri di wilayah bergolak Baluchistan, di mana kejadian berlaku.

    Selain itu, seorang lagi cedera dan lima terselamat tanpa sebarang kecederaan.

    Serangan itu berlaku pada lewat malam Jumaat di bandar Mastung, kira-kira 40 kilometer dari Quetta.

    "Kumpulan lelaki bersenjata memakai pakaian seragam pasukan keselamatan," kata Sarfaraz Bugti kepada Reuters.

    Beliau berkata, sebanyak 19 mayat ditemui setakat ini.

    Pegawai keselamatan berkata, kira-kira 25 penumpang menaiki dua bas dan satu operasi dimulakan untuk mencari mereka.

    Menurut pegawai keselamatan lagi, mayat-mayat ditemui dekat bukit berhampiran.

    Bagaimanapun motif serangan mereka masih belum dipastikan.

    Kumpulan pemisah dikatakan bertelingkah di kawasan bergolak di Baluchistan selama beberapa dekad. - REUTERS
  • DBKU Harus Kekalkan Uptown Satok Di Le Park Dewan Suarah Kuching

    By Salfian Nawawi →

    Jika selama ini aduan atau komen orang ramai di media sosial telah menjadi "garis-panduan" bagi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) untuk memindahkan sesebuah tapak perniagaan sepertimana yang didakwa oleh Ahli Majlis DBKU Datuk Wee Hong Seng, pihak DBKU seharusnya bersikap adil dengan memberi perhatian akan komen orang ramai yang mahu Uptown Satok di Le Park, Dewan Suarah Kuching dikekalkan terus di lokasi yang sama.

    “We received complaints from nearby residents and also the public through the media and social website and if everything works well the operators will move to a new site after the Gawai festival.” - Wee Hong See during a press conference representing the DBKU Mayor recently.

    Rata-rata rakan-rakan Sarawakiana menerusi komen mereka di Fanpage Portal Sarawakiana pada artikel bertajuk "Jangan Aniaya Usahawan Uptown Satok" menyuarakan ketidakpuashati mereka terhadap DBKU di atas rancangan untuk memindahkan usahawan-usahawan Uptown Satok yang kebanyakannya adalah usahawan muda Bumiputera dari lokasi asal di Di Le Park Dewan Suarah Kuching ke lokasi yang lain.

    Antara komen-komen (selepas diterjemah) yang menarik perhatian admin adalah:

    Mohamad Hatta Jamel: "Memang hendak membunuh usahawan bumiputera. Cukuplah apa yang terjadi kepada semua peniaga di benteng Satok dahulu. Semuanya dah gulung tikar apabila berpindah ke tempat yang lain. Baru nak hidup dah disuruh berpindah. Apakah bumiputera tidak layak untuk berniaga?"

    Yusri Tambi: "Bilalah kita Melayu ni nak maju .. dah selesa berniaga di sana (Le Park Dewan Suarah Kuching) .. ada yang mengarah berpindah .. bukan ada mengganggu kalau berjual di sana"

    Master Alfa Romeo: "Dulu kata tanah Sarawak ini besar .. kenapa tak mencari penyelesaian terbaik kepada peniaga di sana .. cari tapak peniagaan tetap untuk mereka .. bukannya senang untuk berniaga setelah berpindah randah .. bukan senang nak menarik pelanggan .. dari tempat itu (Le Park Dewan Suarah Kuching) dibiar sunyi dan kini sudah menjadi tumpuan ramai .. nanti dipersalah pula kaum Bumiputera pemalas dan tiada daya saing dan bila dah ada kemampuan (berniaga), diperbuat sebegini ...."

    MCool Manza: "Terlampau juga, berilah peluang mendapat keuntungan. Kenapa perlu berpindah tempat kalau tempat itu (Le Park Dewan Suarah Kuching) yang menguntungkan dan strategik .. alasan jem (kesesakan lalulintas) sekadar alasan."

    Intan Kartina: "Kasihan .. baru saja kami (peniaga) nak melangkah .. dah di arah untuk mundur balik .. Kalau macam ni, sampai bila-bila pun kita tak akan maju."

    Deddy Sulistiono: "Hairan .. dah bagus dah tempat tu (Le Park Dewan Suarah Kuching) .. di arah pindah."

    Ratu Kayangan: "Aie .. kasihan .. ingat senangkah (peniaga) nak berpindah-randah .. entah siapa yang membuat aduan tu?"

    Cristina Bobok: "Tak habis-habis berpindah .. kalau macam ni, Bumiputera tidak akan maju sampai bila-bila .. kasihan kepada peniaga."

    Ijem Fred: "Macamlah jem (kesesakan lalulintas) jika menggunakan jalan disana berjam-jam .. memang tak suka Melayu maju."

    Steve Caballero: "Tempat (Le Park Dewan Suarah Kuching) sesuai, , tidak mengganggu jalan utama, perumahan tapi hendak dipindahkan *@#*@#."

    Ini adalah diantara suara-suara yang menyokong agar Uptown Satok di Le Park Dewan Suarah Kuching dikekalkan.

    Malah mereka juga mempersoalkan mengapa hanya setelah peniaga-peniaga muda Bumiputera mula sudah mendapat sambutan terhadap perniagaan mereka disana, peluang mereka untuk meneruskan perniagaan mereka di Le Park Dewan Suarah Kuching dipertikaikan dan dipindahkan ke lokasi yang baharu masih belum ditentukan oleh DBKU.

    Dapatkah DBKU memberi jaminan sekiranya mereka berpindah ke lokasi yang baru, peniagaan mereka juga akan mendapat sambutan sepertimana di Le Park Dewan Suarah Kuching sekarang? - Sarawakiana



  • OKU Rentung Dalam Kebakaran Di Mukah

    By Salfian Nawawi →

    MUKAH: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) rentung dalam satu kebakaran yang melibatkan dua buah rumah di Kampung Petanak Ulu di sini awal pagi tadi.

    Mayat mangsa, Jumil Sinjan, 39-tahun ditemui didalam bilik tidur salah satu dari rumah yang terbakar tersebut.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan lebih kurang jam 5 pagi dan sepasukan bomba melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dikejarkan ke lokasi kebakaran.

    Kedua buah rumah terbakar seratus peratus dan pihak bomba hanya dapat mengawal dan memadamkan api dengan sepenuhnya pada jam 6:20 pagi.

    Punca kebakaran masih dalam siasatan. - Sarawakiana


  • Ceramah Khas Sheikh Afeefuddin Al Jailani Di Kuching

    By Salfian Nawawi → Friday, 29 May 2015

    KUCHING: Para muslimah di bandar raya ini dan kawasan-kawasan berdekatan dijemput untuk menghadiri majlis ceramah khas bertemakan "Mesej Keamanan dan Harmoni" yang dijadualkan akan diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pada hari Sabtu, 30 Mei 2015.

    Ceramah anjuran bersama Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Cawangan Sarawak dan DBKU yang akan disampaikan oleh Sheikh Afeefuddin Al Jailani akan bermula jam 2.30 petang.

    Sheikh Afeefuddin yang juga Pengerusi Al-Wariseen Trust dan Darul Jailani International merupakan seorang tokoh yang ternama di dunia Islam dan cicit kepada Al-Sheikh Abdul Qadir Al- Jailani.

    Berasal dari Baghdad, Iraq, Sheikh Afeefuddin merupakan Fiqh, Undang-Undang Syariah dan Tasawuf.

    Pada sebelah petang tadi, beliau mengadakan pertemuan bersama Yang DiPertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Haji Daud Abdul Rahman. - Sarawakiana
  • Shahrir Ulas Pertemuannya Dengan Arul Kanda

    By Yusz Man →

    Dari Portal myKMU :- Pertemuan Tan Sri Shahrir Abdul Samad dengan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB , Arul Kanda Kandasamy bagi membolehkan Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) memahami isu-isu dan mendapatkan maklumat berkaitan syarikat pembangunan strategik itu.

    Shahrir berkata, sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pengerusi BNBBC, beliau harus memahami isu-isu penting secara mendalam dan ia tidak terikat kepada 1MDB sahaja.

    shahrirarul1mdb“Ini bermakna sokongan dan pendirian ahli-ahli parlimen BN adalah berasaskan fakta serta maklumat tepat dan bukan hanya sokongan berasaskan kesetiaan kepada parti semata-mata,” katanya.

    Menurut Ahli Parlimen Johor Bharu itu, BNBBC dari masa ke semasa mendapatkan penerangan daripada pelbagai pihak mengenai isu-isu yang ada kaitan dengan kepentingan ramai.

    Sebagai contoh katanya, BNBBC telah mendapat penerangan dari Khazanah Malaysia mengenai pemulihan dan penyusunan semula MAS pada Isnin malam.

    Katanya, pertemuan sama ada secara persaorangan atau berkumpulan itu membolehkan pihak berkenaan memberikan keterangan yang bermanfaat kepada ahli parlimen BN supaya dapat dijelaskan kepada rakyat.
    Bercakap kepada BNBBC.MY, Shahrir mengesahkan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Eksekutif 1MDB itu pada Rabu malam.

    Malah, pada malam sebelumnya, beliau telah berjumpa dengna Menteri Kewangan 11, Datuk Seri Husni Hanadzlah mengenai kedudukan semasa dan perancangan masa depan 1MDB.

    Menurut Shahrir, dalam kedua-dua pertemuan, beliau turut menyampaikan pandangan supaya syarikat berkenan dan kementerian mengambil langkah untuk menambahkan modal syarikat sejajar dengan liabiliti yang ditanggung 1MDB tanpa bergantung kpd dana awam dan pinjaman baru.

    “Saya berpendapat 1MDB mempunyai aset yang bernilai tapi sebagai sebuah syarikat ianya tidak dimodali sewajarnya,” katanya.

    Shahrir berkata, dalam pertemuan hampir tiga jam dengan Arul, beliau tidak menyentuh soal penyiasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB.

    “Saya menghormati kedudukan PAC sebagai sebuah jawatan kuasa tetap Parlimen. PAC telah pun menerima permintaan Arul Kanda untuk ditangguhkan kehadirannya kepada suatu tarikh baru menggantikan pertemuan yang sepatutnya diadakan Selasa lalu,” tegasnya.

    Menurut Shahrir, beliau tidak berbincang mengenai PAC dengan Arul kerana percaya proses pengauditan yang sedang dilakukan Ketua Audit Negara serta penyiasatan oleh PAC terhadap 1MDB.

    “Itu sesuatu yang harus dihormati malah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mahu ia disegerakan,” ujarnya.

    Portal The Malaysian Insider hari ini melaporkan pertemuan antara Shahrir dan Arul serta mempertikai kenapa Pengarah Eksekutif 1MDB itu boleh bertemu Shahrir dan tidak bejumpa PAC Selasa lalu.

    Arul mengesahkan bertemu Shahrir sehari selepas tarikh itu di Kuala Lumpur, tetapi mengatakan pertemuan itu diadakan hanya selepas beliau pulang ke Malaysia.

    “Ya, saya bertemu dengan Shahrir, tapi itu pada Rabu. Saya tidak dapat hadir ke sesi PAC kerana hanya pulang ke tanah air pada Selasa malam,” katanya kepada The Malaysian Insider.

  • Jangan Aniaya Usahawan Uptown Satok

    By Salfian Nawawi →

    KUCHING: Baru nak "bernafas" sedikit, usahawan-usahawan Uptown Satok yang kini beroperasi di kawasan Le Park, Dewan Suarah Kuching diberitakan akan bakal dipindahkan ke tempat yang lain.

    Kenyataan Ahli Majlis Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Wee Hong Seng mengenai 135 orang Warga Uptown Satok akan mengadakan perniagaan mereka yang terakhir di Le Park, Dewan Suarah Kuching semalam sehingga pihaknya menemui satu kawasan perniagaan yang baru amatlah mengeciwakan dan merupakan satu tamparan bagi peniaga-peniaga yang terbabit.

    Beginikah cara agensi kerajaan "nak membantu" usahawan-usahawan Bumiputera dalam perniagaan?

    Alasan yang diberikan bagi tindakan memindahkan peniaga iaitu kesesakan jalan dan bunyi bising mengganggu "penduduk berdekatan" sebenarnya tidak relevan langsung dalam perkara ini.

    Wee, yang mewakili Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dalam sidang media tersebut sepatutnya tidak mengumumkan perkara tersebut dahulu hanya kerana kononnya pihaknya "menerima aduan" dari orang ramai menerusi media sosial.

    Semenjak "pasar Satok" telah dipindahkan ke Medan Niaga Satok, Uptown Satok Le Park, Dewan Suarah Kuching adalah satu-satu tempatnya dimana usahawan Bumiputera berpeluang untuk berniaga.

    Takkanlah tak bagi peluang dengan usahawan-usahawan Bumiputera untuk mendapat sedikit keuntungan dan mahu disisih jauh di pinggir-pinggir bandar.

    Sepatutnya pihak DBKU haruslah berbincang terlebih dahulu dengan peniaga-peniaga yang terbabit mencari penyelesaian terhadap apa-apa masalah sebelum mengumumkan Uptown Satok Le Park, Dewan Suarah Kuching akan diberhentikan selepas Hari Gawai nanti.

    Janganlah nanti kita Bumiputera nanti bagaikan "Melukut Di Tepi Gantang" sahaja, bumi dipijak milik sendiri namun hanya melopong, orang lain yang mendapat keuntungan. - Sarawakiana
  • JBPM Negeri Sarawak Dapat Aset Baru Bernilai RM28.9 Juta

    By Yusz Man →

    KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak telah memperoleh aset baru bernilai RM28.9 juta.

    Aset-aset berkenaan membabitkan 10 jentera "water tanker" yang setiap satu berkapasiti 20,000 liter air berharga RM1.4 juta seunit, 21 kenderaan EMRS bagi operasi penyelamatan di bawah khidmat khas kemanusiaan melibatkan kecemasan yang berharga RM500,000 seunit dan lapan kenderaan utiliti bagi operasi kebombaan dan menyelamat berharga RM85,500 sebuah.

    Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata pengagihan aset berkenaan ke Sarawak merupakan hasil perjuangan pihak jabatan bersama kerajaan negeri bagi memastikan jabatan itu mendapat bekalan aset yang mencukupi.

    Beliau berkata perolehan aset berkenaan amat penting memandangkan kedudukan antara balai-balai di negeri ini agak jauh sehingga menyukarkan proses mobilisasi aset bantuan antara balai sekiranya berlaku sesuatu musibah.

    "Kita telah mengenal pasti penempatan aset-aset ini mengikut keperluan strategik supaya perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan dapat diberi kepada masyarakat dengan lebih berkesan," kata Nor Hisham pada Majlis Penyerahan Jentera JBPM Negeri Sarawak oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang di Balai Bomba Tabuan di sini, hari ini.

    Nor Hisham berkata dengan pertambahan aset berkenaan, khususnya "water tanker", lori pengangkut, kenderaan penarik dan bot penyelamat, diharap dapat membantu agensi-agensi dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk menangani dan memberi bantuan kepada masyarakat, khususnya ketika kemarau atau banjir.

    Mengenai pengwujudan Unit Khas Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Nor Hisham berkata buat masa ini terdapat seramai 82 pegawai EMRS dan jumlahnya akan ditambah pada masa terdekat untuk memenuhi keperluan semasa dengan mengambil kira norma keluaran dan ketetapan.

    Katanya, pengwujudan EMRS bertujuan untuk memberi pertolongan kecemasan awal kepada anggota dan mangsa kebakaran atau kemalangan sebelum menghantarnya ke pusat perubatan.

    Menurut Nor Hisham, pentauliahan anggota dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dan diberi kursus 'bantuan asas hidup' dan akan menjalani latihan kompetensi di pusat-pusat perubatan untuk sekurang-kurangnya 120 jam sebelum ditauliahkan.-BERNAMA
  • MPSS Bidas Pengerusi DAP Sabah Perlekeh Pengorbanan Petugas Esscom

    By Yusz Man →

    TAWAU: Majlis Permuafakatan Suluk Sabah (MPSS) membidas kenyataan Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong yang dianggap memperlekeh peranan petugas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengawal kawasan dan perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

    Setiausaha MPSS Mohd Zaki Harry Susanto berkata kenyataan Jimmy yang mengaitkan kejadian penculikan di Ocean King, Sandakan dengan tuduhan kononnya pegawai Esscom "bukan saja tidak menjalankan tugas mengawal perairan negara, malah ponteng kerja" tidak wajar dan amat dikesali.

    "Sebagai bekas polis, saya melihat sendiri komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para pegawai Esscom termasuk Komander Esscom Datuk Abdul Rashid Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Ruji Ubi mengadakan pertemuan dengan masyarakat pesisir pantai Esszone.

    "Ada dalam kalangan para pegawai ESSCom seramai 140 orang, tidak termasuk sekitar 30 orang kakitangan komponen awam, sanggup meninggalkan isteri tercinta di Semenanjung untuk berkhidmat di Esscom bagi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Mohd Zaki berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Wong mengenai Esscom dalam portal berita Roketkini semalam, berhubung peruntukan lebih RM600 juta untuk Esscom.

    Mohd Zaki turut mencabar Jimmy supaya membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pegawai Esscom menerima rasuah daripada pekerja asing.

    "Anggota keselamatan Esscom bekerja siang dan malam mengawal perairan kita dan berjaya mengekang sekurang-kurangnya enam cubaan menculik di perairan Semporna, Kunak dan Lahad Datu sebelum berlaku kejadian di Ocean King, Sandakan.

    "Kewujudan Esscom mengurangkan sedikit sebanyak rasa takut ancaman gelombang kedua pencerobohan pengganas Sulu atau berlaku lebih banyak jenayah rentas sempadan," tegas Mohd Zaki.- BERNAMA
  • 1MDB Gets US$1 Billion Payment From IPIC

    By Salfian Nawawi →

    KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) has entered into a binding agreement with the International Petroleum Investment Company (IPIC) and its unit, Aabar Investments (Aabar), involving a payment of US$1 billion which will be used to repay loans.

    Second Finance Minister Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah said as part of the agreement, IPIC would pay US$1 billion, on or before June 4, 2015, which would be used to repay a US$975 million (RM3.5 billion) loan, in advance of its due date, to a syndicate of international bank lenders.

    The agreement will also include further measures to comprehensively address the various financial asset and liability transactions between the parties, further details of which would be announced in due course, he said in a statement today.

    “This agreement marks a significant step towards reducing 1MDB’s overall debt levels, and is a crucial part of the rationalisation plan I presented to Cabinet earlier, which we expect to be implemented in full by early next year,” he said.
    Ahmad Husni, this morning, presented a plan for the rationalisation of the strategic development company to the Cabinet.

    This followed an announcement by 1MDB, in February 2015, of the conclusion of a strategic review.

    “As has already been achieved with Edra Energy, this will see TRX and Bandar Malaysia established as standalone companies, with full autonomy and accountability for their operational and financial performance.

    “While options are being pursued with respect to the monetisation of Edra Energy, the Ministry of Finance will remain a key shareholder in TRX and Bandar Malaysia, which will raise equity via third party investors.

    “Proceeds raised will be used for capital expenditure and to reduce 1MDB’s debt,” Ahmad Husni added. - Bernama
  • Letupan Bom Kereta,10 Maut

    By Yusz Man →

    BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 10 terkorban dalam satu kejadian letupan bom kereta di kawasan meletak kereta dua buah hotel lima bintang di pusat bandar Baghdad pada lewat Khamis, lapor polis.

    Seramai 30 tercedera semasa letupan berlaku, dengan perbezaan masa selama tujuh minit.

    Letupan bom pertama mensasarkan hotel Babylon, yang ketika itu pegawai kerajaan sedang mengadakan perbincangan serta sidang akhbar, dan serangan kedua kemudiannya meletupkan hotel Meridien.

    Pihak berkuasa Iraq mengeluarkan arahan perintah berkurung waktu malam di Baghdad pada awal tahun ini, demi mengembalikan bandar yang pernah musnah akibat peperangan dan beransur pulih secara perlahan, malah pada masa sama pihak berkuasa tempatan bermati-matian mempertahankan negara daripada anggota Kumpulan Negara Islam (IS) yang menakluki sebahagian besar negara.

    Bagaimanapun, kadar serangan bom di Baghdad semakin meningkat sejak kejadian tersebut.

    Selain itu, pihak pemberontak bertindak menawan bandar Ramadi, barat Baghdad, pada 17 Mei lalu semasa kegagalan anggota tentera sejak kerajaan gabungan Amerika Syarikat melancarkan kempen serangan udara terhadap IS Ogos lalu.
  • Singapura Antara Sasaran Serangan IS

    By Yusz Man →

    SINGAPURA: Kumpulan Negara Islam (IS) bertindak untuk mensasarkan Singapura, Amerika Syarikat dan Filipina sebagai sasaran terbaharu mereka untuk melakukan serangan, lapor seorang pakar di sini pada Jumaat.

    Pengikut IS di wilayah ini turut memberitahu bahawa Filipina dan Amerika Syarikat bakal menjadi sasaran, jelas penganalisis Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Jasminder Singh yang membuat laporan mengenai ancaman, lapor The Straits Times.

    Perkembangan terbaharu itu diketahui apabila Malaysia menahan sekumpulan militan yang membuat letupan mensasarkan Putrajaya dan Parlimen pada bulan lalu.

    Kementerian Dalam Negeri Singapura turut mengumumkan penahanan seorang pelajar berusia 19 tahun yang merancang untuk menyertai pertempuran di Syria dan pada masa sama melancarkan serangan di sini.

    Ancaman melakukan serangan terhadap Singapura dijangka semakin berleluasa sebagai IS apabila unit pertempuran kepulauan Melayu, Katibah Nusantara yang ditubuhkan di Syria Ogos lalu untuk militan Asia Tenggara, yang lebih mudah untuk berkomunikasi dalam bahasa Indonesia dan Melayu berbanding bahasa Arab, jelas laporan tersebut.

    Selain itu, lebih 700 pejuang militan dari Indonesia serta 200 dari Malaysia menyertai pertempuran di Iraq dan Syria, jelas Jasminder singh di dalam laporan yang diterbitkan minggu ini.

    Menurut Ketua Pusat Politik dan Penyelidikan Keganasan Singapura, Professor Gohan Gunaratna, unit tersebut menimbulkan ancaman berbahaya terhadap Singapura dan juga Asia Tenggara.

    "Unit tersebut mempunyai beberapa objektif iaitu melatih pejuang yang berkebolehan untuk melakukan serangan di Iraq dan Syria, untuk menghasut mereka melakukan serangan di negara sendiri dan secara menyeluruh di Asia Tenggara menggunakan dalam talian, malah merekrut mereka dan menawarkan kemudahan fizikal untuk mereka memasuki Iraq dan Syria," jelasnya.

    Tambahnya lagi, terdapat beberapa strategi untuk menangani masalah ini iaitu mendedahkan mengenai kejahatan dan kemusnahan IS terhadap umum menggunakan 'online' (sistem dalam talian), serta pemimpin Islam seluruh dunia juga patut bertanggungjawab dalam mengetuai usaha untuk menangani IS.-
  • American Idol Pengalaman Paling Buruk Saya – Mariah Carey

    By uMieySurianie →

    SIAPA tidak kenal Mariah Carey, penyanyi bersuara nada tinggi yang turut diketahui mempunyai karektor ala ‘diva’.

    Terbaharu pelantun My All ini mengkritik program realiti mencungkil bakat nyanyian yang pernah popular, American Idol.

    Penyanyi berusia 45 tahun itu yang pernah menjadi juri American Idol menyatakan, rancangan itu sangat membosankan dan ‘palsu’ kerana mereka perlu berkata sesuatu untuk mengkritik orang.

    Dia juga menegaskan bahawa dia tidak akan kembali di dalam rancangan itu sekiranya dijemput untuk tampil buat kali terakhir.

    “Sudah pastinya tidak! Ianya adalah pengalaman paling buruk dalam hidup saya,” katanya ketika ditemubual dalam program Kyle & Jackie O di sebuah stesyen radio di Australia.

    Isteri kepada Nick Cannon itu menjadi juri semasa musim yang ke-12 pada tahun 2013 bersama juri lain antaranya penyanyi rap terkemuka, Nicki Minaj yang sering berbeza pendapat dengannya.

    – MYNEWSHUB.CC
  • Arak Diharamkan Jual Di Kedai Ubat Cina

    By Yusz Man →

    PETALING JAYA: Bahagian perlesenan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan arahan melarang penjualan minuman keras di kedai-kedai ubat.

    Sehubungan itu premis perubatan Cina di Petaling Jaya, Subang Jaya dan Shah Alam diberi amaran supaya mematuhi peraturan baharu itu atau lesen mereka akan ditarik balik jika ingkar.

    Langkah itu menarik bantahan keras daripada kumpulan perubatan Cina yang menuntut penjelasan.

    Mereka mahu dinyatakan perbezaan yang jelas antara minuman keras dan ubat-ubatan tradisional yang mengandungi alkohol.

    "Alkohol dalam perubatan adalah berbeza, ia adalah untuk merawat penyakit," kata Setiausaha Agung Persatuan Perubatan Cina Malaysia, Heng Aik Teng.

    Beliau berkata pihak berkuasa perlu menyediakan "alasan yang betul" berhubung larangan itu.

    "Jangan menghukum kami. Mari kita bertemu dan berbincang," katanya.
  • Kelucahan Melampau: Model Diperintah Jalani Pemeriksaan Psikiatri

    By Yusz Man →

    KUALA LUMPUR: Pelakon dan model sambilan, Persana Avril Sollunda diarahkan oleh Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.

    Tertuduh yang didakwa melakukan kelucahan melampau di Jalan Petaling itu diperintahkan oleh Majistret Nur’Aminahtul Mardiah Md. Noor untuk mendaftar di hospital tersebut pada hari ini atau waran tangkap akan dikeluarkan terhadapnya.

    Kes akan disebut semula untuk laporan penilaian kesihatan psikiatri pada 2 Julai ini. - UTUSAN ONLINE

  • Penurunan Tambang Feri Miri-Marudi

    By uMieySurianie →

    Kami seluruh ahli-ahli Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N. 62 Marudi ingin mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada YAB Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di atas perasmian penurunan harga tambang feri yang menghubungkan Pekan Marudi dengan Bandar Miri pada hari ini.

    Dengan penurunan harga dari RM15 ke RM1 (sehala), kami seluruh penduduk di Marudi pastinya berasa lega kerana ianya memberi perbezaan nilai wang yang amat besar terutamanya bagi penduduk yang berulang alik dari Marudi ke Miri setiap hari bagi urusan pekerjaan, ekonomi dan sosial.

    Dengan pengurangan harga tambang ini juga, kegiatan ekonomi penduduk di Marudi dapat meningkat dan diharapkan para peniaga dapat menurunkan harga produk jualan mereka kerana sebelum ini tidak dapat dinafikan terdapat sesetengah harga barangan jualan (menggunakan pengangkutan darat dari Miri ke Marudi) seperti ikan, ayam, daging dan beberapa barangan keperluan harian dijual dengan harga yang lebih tinggi setelah mengambil kira kos pengangkutan.

    Bagi penduduk yang meraikan perayaan Gawai (1 Jun), penurunan ini boleh dianggap sebagai hadiah daripada kerajaan Negeri Sarawak kepada penduduk Marudi yang menyambut perayaan tersebut tidak lama lagi. Kunjung mengunjung akan menjadi lebih rancak lagi tanpa memikirkan kos yang besar dengan keadaan ekonomi Negara pada hari ini.

    Kami seluruh ahli-ahli Pemuda PBB Marudi ingin turut mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada ADUN N. 62 Marudi merangkap Menteri Muda Bekalan Air Sarawak, Yang Berhormat Sylvester Entri kerana telah berusaha keras membawa isu penurunan tambang feri ini ke perhatian YAB Ketua Menteri.

    Memahami proses pembangunan dan usaha pihak Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Ketua Menteri, kami turut berharap agar kerajaan Pusat mempercepatkan proses membaik pulih dan peningkatan kualiti jalan Miri-Marudi yang pada masa kini boleh dianggap merbahaya kepada pengguna.

    Dengan ini, sekali lagi kami seluruh ahli-ahli Pemuda PBB Cawangan N.62 Marudi ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri Sarawak dan ADUN N. 62 Marudi di atas perasmian penurunan harga tambang feri bagi kami seluruh penduduk Marudi.

    Kami seluruh ahli-ahli Pemuda PBB Marudi akan terus menyokong YAB Ketua Menteri Sarawak serta kesemua barisan kepimpinan kerajaan Negeri Sarawak.