• Ais Krim Gula Apong, Memang Lain Dari Yang Lain

    Published: Friday, 12 June 2015
    A- A+

    Siapa sangka sebuah kedai yang menjual ais krim terletak di kawasan Padungan ditengah-tengah bandaraya ini yang lazimnya kedai-kedai di kawasan ini dimonopoli kaum Cina sebenarnya diusahakan oleh sepasang suami isteri berbangsa Melayu.

    Berlokasi di Jalan Padungan bersebelahan dengan Kapit Hotel, Masni Datuk Haji Pawadi, 27, dan suaminya, Mohd Supian Lopok, 28, kedua-duanya berasal dari Tabuan, Kuching gigih mengusahakan perniagaan mereka; "DP Ice Cream Gula Apong" disana sejak dua bulan yang lalu.

    Biarpun sibuk dengan perniagaannya, ibu kepada lima orang anak ini yang murah dengan senyuman ketika melayani pelanggan yang singgah di kedai mereka, sempat meluangkan masa untuk ditemubual Sarawakiana petang tadi.

    "Perniagaan ais krim memang jarang diceburi oleh Bumiputera dan secara kebetulan, ayah saya mempunyai resepi ais krimnya yang tersendiri maka kami memulakan perniagaan menjual ais krim gula apong," kata Masni apabila ditanya mengapa beliau memilih untuk mengusahakan perniagaan ais krim.

    Menurut Masni, kedai ais krim gula apong di Padungan merupakan cawangan ketiga dibuka oleh keluarganya dimana kedai pertama terletak di Tabuan sementara ahli keluarganya yang lain juga membuka kedai ais krim di Satok Uptown yang beroperasi hanya di hujung minggu.

    Dengan sewaan kedai sebanyak RM1,000 sebulan, Masni berkata, mereka mampu menjual sebanyak lebih 1,000 mangkuk ais krim (25 - 30 gelan bahan) dalam sehari dengan menggunakan dua mesin ais krim khas.

    "Alhamdullillah, kami bersyukur sambutan kepada ais krim gula apong kami amat menggalakkan setakat ini dan kami amat berterimakasih kepada pengunjung-pengunjung yang telah memberi sokongan kepada kami selama ini," kata Supian.

    "Rezeki memang ada dimana-mana namun kita kenalah berusaha dan berani dalam mencuba sesuatu yang baru," katanya lagi.

    Sepanjang penulis di kedai tersebut (selama lebih kurang 45 minit) memang pengunjung dilihat tidak henti-henti memasuki kedai mereka biarpun hujan turun dengan lebatnya.

    Penulis berpeluang merasai ais krim gula apong ketika sesi temubual tadi dan ternyata, ais krim tersebut memang lain dari yang lain.

    Ianya tidak begitu manis, mudah cair apabila mencecahi lidah dan ditambah dengan topping ketulan kacang, lazat tidak terhingga dan terkata, namun pembaca harus menikmatinya sendiri bagi merasai apa yang penulis telah gambarkan ini.

    DP Ice Cream Gula Apong yang beroperasi dari jam 1 tengahari hingga 1 pagi setiap hari kecuali hari Jumaat; 2:30 petang hingga 1 pagi, menghidang ais krim gula apong dalam dua saiz mangkuk pada harga RM2 (kecil) dan RM5 (besar) dengan tiga pilihan topping; kacang, Nestum dan Oreo.

    Untuk bulan Ramadhan ini, DP Ice Cream Gula Apong akan beroparasi hanya pada sebelah petang hingga jam 1 pagi.

    Bagi pembaca yang belum merasai ais krim apong ini, silalah alaminya sendiri di DP Ice Cream Gula Apong Padungan. - Sarawakiana





  • 6 comments to ''Ais Krim Gula Apong, Memang Lain Dari Yang Lain"

    ADD COMMENT
    1. Nak tanya, mcm mana nak contact owner dp ice cream gula apong?

      ReplyDelete
    2. Ada buat sistem francais ka? Sy berminat nak buka di kota kinabalu

      ReplyDelete
    3. klau sya nk jd francais boleh x ? mok buka francais kat lawas .. cmne mok kontek ?

      ReplyDelete
    4. boleh kmk owg jd francais ktk kh .. mok buka francais kat area lawas ..

      ReplyDelete
    5. Kmk nk bukak franchise di Nilai..mcm ni caranya? Blh pm kmk.

      ReplyDelete
    6. Kmk maok bukak area nilai..blh pm mcm ni caranya. Tq

      ReplyDelete