Browsing "Older Posts"

  • Taib Mula Aktif Dalam Politik Pada Usia 27 Tahun

    By Admin → Friday, 28 February 2014

    Oleh Robert Kenneth/b

    KUCHING, (Bernama) -- Ramai yang mengenali Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri, tetapi tidak banyak yang tahu dengan mendalam penglibatan awal beliau dalam politik.

    Ini termasuk kisah beliau menjadi anggota Majlis Tertinggi (Kabinet Negeri) ketika baru berusia 27 tahun pada 22 Julai 1963.

    Taib dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Kerja Raya dalam kabinet negeri pertama yang diterajui ketua menteri ketika itu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

    Mereka yang turut menganggotai Kabinet ketika itu ialah James Wong (Timbalan Ketua Menteri), Awang Hipni Pengiran Anu (Menteri Negeri), Dustan Endawi Enchana (Menteri Kerajaan Tempatan) dan Teo Kui Seng (Menteri Sumber Asli).

    Taib mendapat pendidikan awal di Sekolah Joseph's di Miri dan menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah St Joseph's Kuching. Selepas itu, beliau diberi biasiswa untuk mengikuti pengajian dalam bidang undang-undang di University of Adelaide di Australia.

    Beliau diterima menjadi peguam bela dan peguam cara oleh Mahkamah Agung Australia Selatan dan berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Mahkamah Agung Australia Selatan pada 1949.Ahli politik veteran ini adalah pakar dalam bidang perbandingan agama dan kesusasteraan Melayu.

    Taib dijabkabulkan dengan Laila Taib, wanita berasal dari Polanda ketika berusia 18 tahun di sebuah masjid di Adelaide, Australia Selatan pada 13 Jan 1959 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata (dua lelaki, dua perempuan).Selepas Laila pulang ke Rahmatullah akibat kanser pada 2009, Taib bertemu jodoh pula dengan Puan Sri Ragad Kurdi Taib dari Syria pada 2010.

    Setelah kembali ke Kuching dari Australia pada 1962, Taib menyertai Jabatan Undang-undang dan berkhidmat di jabatan itu hingga 1963.

    Apabila Sarawak mencapai kemerdekaan dalam Malaysia, beliau menjadi anggota Majlis Perundangan Negeri Sarawak pada 22 Julai 1963 dan dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Kerja Raya negeri dari 1963 hingga 1966 dan sebagai Menteri Pembangunan dan Perhutanan pada 1967.

    Taib beberapa kali diberi kepercayaan memangku jawatan ketua menteri. Pada 1964, beliau menjadi naib pengerusi Parti Berjasa Sarawak (Berjasa).Dari 1968 hingga 1970, beliau menyandang jawatan Timbalan Menteri Perdagangan dan Perindustrian persekutuan.

    Dalam pilihan raya umum 1969, beliau bertanding sebagai calon Parti Bumiputera Sarawak (Bumiputera), sebuah parti yang menganggotai Perikatan Sarawak.

    Taib menjadi anggota Parlimen Kota Samarahan apabila menang dalam pilihan raya parlimen Sarawak pada 1970.

    Selepas itu, beliau menyandang pelbagai portfolio, termasuk timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (1970-1972) dan menteri Sumber Asli (1972-1974).Pada 1973, beliau dilantik sebagai timbalan presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang baru ditubuhkan dan seterusnya menjadi presiden parti itu.

    Pada 1981, beliau kembali ke Sarawak untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Sebandi (kini Asajaya) dan menang tanpa bertanding.

    Berikutan itu, beliau dilantik sebagai menteri Tanah dan Perlombongan negeri sebelum menggantikan bapa saudaranya Tun Abdul Rahman Ya'kub sebagai ketua menteri Sarawak keempat.

    Taib menyandang kerusi Dewan Undangan negeri Sebandi hingga 1987 sebelum dilantik menjadi Adun Asajaya.Dalam pilihan raya negeri 2001, beliau bertanding di kerusi Balingian.

    Banyak pihak menyifatkan detik paling mencabar dalam kerjaya politik Taib ialah ketika menghadapi 'Peristiwa Ming Court' pada 1987 apabila sekumpulan ahli politik PBB yang tidak berpuas hati dengan kepimpinannya, menuduh Taib mengabaikan kepentingan Bumiputera.

    Mereka juga mendakwa Taib lebih mengutamakan kaum Cina dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

    Masyarakat Dayak dalam Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pula agak kecewa kerana selepas 17 tahun, jawatan ketua menteri tidak pernah disandang wakil mereka.

    Ini mendorong Abdul Rahman melancarkan beberapa siri serangan politik terhadap Taib pada 1987 dalam Peristiwa Ming Court.

    Abdul Rahman mengetuai sekumpulan ahi poltitik Sarawak daripada parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan PBDS yang tidak berpuas hati dengan Taib untuk berkumpul di Ming Court Hotel di Kuala Lumpur bagi membentangkan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Taib.

    Apabila menyedari satu krisis politik bakal berlaku, Taib memanggil pilihan raya negeri secara mengejut pada 1987 dan dalam pilihan raya itu, beliau menang tipis.

    Gabungan pimpinannya memenangi 28 daripada 48 kerusi yang dipertandingkan dan kemudian lapan anggota dewan undangan negeri daripada PBDS mengubah haluan untuk menyebelahi Taib dan menjadikan jumlah kerusi yang dikuasi PBDS berkurang daripada 15 kepada tujuh.

    PBDS terus menjadi pembangkang sehinggalah parti itu diterima kembali menjadi anggota BN Sarawak pada 1994.-- BERNAMA

  • Agong Serah Watikah Pelantikan YDP Sarawak Kepada Taib Mahmud

    By Admin →

    KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menyerahkan watikah pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kepada Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Istana Negara di sini.

    Istiadat itu, yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil, turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sarawak yang baharu Tan Sri Adenan Satem.

    Selepas hampir 33 tahun menabur jasa sebagai Ketua Menteri, Taib secara rasmi dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang ketujuh menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang tamat perkhidmatan hari ini.

    Semalam, Taib diraikan dalam satu majlis perpisahan ringkas tetapi penuh bermakna di bangunan pentadbiran negeri Sarawak dengan dihadiri kira-kira 300 kakitangan kerajaan yang bertugas bersama-sama beliau.

    Taib menjadi Ketua Menteri Sarawak keempat pada 26 Mac 1981 menggantikan bapa saudaranya Abdul Rahman Ya'akub.

    Anak pertama daripada 10 beradik itu dilahirkan pada 21 Mei 1936 hasil perkongsian hidup antara Mahmud Abang Yahya dan isterinya Hamidah Ya'kub.

    Taib memulakan kerjayanya sebagai hakim bersekutu kepada Hakim Herbert Mayo dari Australia Selatan selepas menerima Ijazah Sarjana Muda Undang-undang pada 1961.

    Beliau kembali bertugas di Sarawak dengan berkhidmat sebagai peguam negara Sarawak selama setahun pada 1961.

    Taib menyertai dunia politik selepas menganggotai Majlis Perundangan Sarawak pada 1963 hingga 1966 dan dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Kerja Raya Negeri serta Menteri Pembangunan dan Perhutanan Sarawak (1966-1967).

    Kerjaya politik Taib di peringkat persekutuan bermula selepas beliau memenangi kerusi Parlimen Samarahan.-- BERNAMA

  • 13 Disenarai Bilionair Malaysia Yang Baharu

    By Admin →

    KUALA LUMPUR: Seramai tiga belas individu disenaraikan sebagai bilionair Malaysia yang baharu, menyertai Tan Sri Robert Kuok yang berpangkalan di Hong Kong yang berada pada kedudukan teratas selama sembilan tahun menerusi senarai terkini Individu Terkaya Malaysia oleh Forbes.

    Kuok, 90, membina sebuah empayar perniagaan besar-besaran yang merangkumi minyak sawit, perkapalan, media, hotel dan hartanah, mempunyai aset bernilai AS$11.5 bilion (RM37.7 bilion).

    Pemaju Kumpulan Kuok itu menduduki tangga teratas sejak 2006, walaupun nilainya sedikit menurun sebanyak AS$1.1bilion (RM3.28 bilion) pada tahun lepas.

    Jutawan telekomunikasi, Tan Sri T. Ananda Krishnan juga kekal di tempat kedua, dengan nilai bersih AS$11.2 bilion (RM36.07 bilion).

    Ananda, yang mempunyai empayar yang terdiri daripada syarikat telekomunikasi Maxis Communications Bhd, stesen TV berbayar dan penjanaan kuasa, turut menyaksikan sedikit penurunan dalam kekayaan berbanding sebelumnya bagi tahun ini iaitu AS$11.7 bilion (RM38.38 bilion).

    Pengerusi dan Ketua Eksekutif Genting Malaysia Bhd, Tan Sri Lim Kok Thay, yang menguruskan kasino di Bahamas, London, Singapura, Manila dan New York di samping kasino di negara ini yang berkembang di Genting Highlands, mengambil tempat ketiga, dengan saham bernilai AS$6.5 bilion (RM21.32 bilion ), bersama dengan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua dan ahli-ahli keluarga yang lain.

    Naik satu tangga ke tempat keempat, mogul hartanah dan Pengerusi Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan menyaksikan peningkatan kekayaannya sebanyak AS$6.4 bilion (RM21 bilion) daripada AS$1.6 bilion (RM5.25 bilion), menjadikan beliau mendapat mencatatkan keuntungan paling besar dari segi dolar.

    Adik-beradik Tan Sri Shahril Shamsuddin dan Datuk Shahriman Shamsuddin bagi Sapura Group, di tempat ke-11, menyaksikan kekayaan bersih mereka meningkat sebanyak satu pertiga kepada AS$1.4 bilion (RM4.59 bilion) daripada AS$1.05bilion (RM3.44 bilion).

    Walaupun ekonomi global yang tidak menentu, Malaysia kini mempunyai 18 bilionair, dengan warga Thai yang bermastautin lama di Malaysia, Tan Sri Surin Upatkoon, berada di kedudukan ke-13.

    Disenaraikan buat kali pertama, Datuk Mokhzani Mahathir, yang merupakan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berada di kedudukan ke-15 selepas mencatatkan peningkatan 22% daripada saham minyak dan gas itu.

    Seorang lagi yang merupakan bilionair buat kali pertama adalah Pengasas dan Naib pengerusi Eksekutif Tropicana, Tan Sri Danny Tan Chee Sing di tempat ke-16, yang melihat lonjakan kekayaan sebanyak 121% kepada AS$1.15 bilion (RM3.77 bilion) daripada AS$520 juta (RM1.7 bilion) pada tahun lepas.

    Bagi mendapatkan senarai penuh, boleh layari laman web http://www.forbes.com/malaysia.

    sumber: mStar

  • Taib Harap Perwakilan Malaysia Betulkan Tanggapan Palsu Terhadap Sarawak

    By Admin →

    KUCHING: Perwakilan Malaysia di luar negara boleh menjadi perantara dalam membetulkan tanggapan palsu terhadap Sarawak terutama tentang isu hutan dan kaum Penan, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

    Katanya negeri itu sering menjadi mangsa serangan berniat jahat terutama oleh badan bukan kerajaan, walaupun hakikatnya Sarawak berjaya menguruskan hutan dengan baik manakala kebajikan kaum Penan pula dijaga.

    "Mengenai isu perhutanan, Sarawak ada polisi yang menetapkan 50 peratus daripada hutan kita tidak boleh 'disentuh', malah 84 peratus daripada kawasan di negeri ini masih dilitupi hutan.

    "Sekalipun sesetengah hutan kita tuai hasilnya, kita lakukan dengan cara yang sistematik iaitu pembalakan berdasarkan saiz pokok dan usia hutan yang melebihi 50 tahun.

    Pada masa yang sama kita juga melakukan penanaman semula hutan," katanya dalam ucapan di jamuan malam sempena Persidangan Ketua-ketua Perwakilan Ke-8' di sini malam Khamis.

    Majlis itu merupakan acara rasmi terakhir Abdul Taib selaku Ketua Menteri Sarawak.Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Ramlan Ibrahim.

    Mengenai kaum Penan, Abdul Taib berkata kerajaan Sarawak tidak pernah campur tangan atau mengawal masyarakat Penan atas dasar menghormati hak mereka.

    "Hakikatnya kira-kira 5,000 daripada mereka masih hidup separa nomad dengan kurang 2,000 menjalani kehidupan nomad sepenuhya.

    Bagi kerajaan negeri, hak mereka sebagai rakyat Malaysia tetap dihormati, akan tetapi kerajaan Sarawak dituduh memusnahkan budaya nomad," katanya.

    Beliau juga mendedahkan mempunyai dua anak angkat daripada kaum Penan.

    Terdahulu, Ramlan dalam ucapannya berjanji semua duta dan pesuruhjaya tinggi Malaysia akan membantu menyalurkan maklumat yang tepat agar Sarawak tidak lagi dipandang serong oleh komuniti antarabangsa.- BERNAMA

  • Ketua Pemuda Gerakan Serah Memorandum Kepada Anwar

    By Admin → Thursday, 27 February 2014

    PETALING JAYA: Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang pada Khamis menyerahkan memorandum kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Selangor yang ditandatangani pada Rabu.

    Tan berkata, usaha Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam pelaksanaan MOU tersebut seharusnya dijadikan iktibar kepada Pakatan Rakyat dalam projek masa depan yang dapat membantu rakyat.

    "Pakatan Rakyat harus menerima secara terbuka usaha tersebut tanpa mengenakan sebarang kelewatan.

    Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat haruslah meneliti semula polisi Pakatan Rakyat dalam menerima projek-projek dan usaha-usaha daripada Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat.

    "Kami berharap Mou semalam (Rabu) antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional (BN) akan menjadi satu titik mula yang baharu antara hubungan di negeri-negeri Pakatan Rakyat dan Kerajaan Pusat.

    "Ia (Mou) merupakan satu iktibar yang baik buat Pakatan Rakyat pada masa depan, " katanya selepas menyerahkan memorandum berkenaan yang diterima oleh Setiausaha Politik Anwar, Mohd Shukri Md Saad sebagai wakil di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Khamis.

    Kerajaan Persekutuan dan Selangor pada Rabu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menstrukturkan semula industri air di Selangor.Langkah berkenaan juga dilihat sebagai membuka laluan kepada pelaksanaan Loji Air Langat 2 (Langat 2) yang tertangguh sejak 2010.

    Tan turut berkata, Pakatan Rakyat seharusnya perlu melangkah ke hadapan dengan mengetepikan perbezaan politik."Apa yang dilakukan oleh Tan Sri Khalid apalah betul.

    Kita menyokong sepenuhnya terhadap penerimaan beliau dalam usaha yang dilakukan oleh Kerajaan BN di negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.

    "Kerajaan Pusat tidak mengetepikan mana-mana pihak termasuk kerajaan Pakatan Rakyat selagi kerajaan negeri dapat menerima usaha-usaha dan inisiatif daripada Kerajaan BN, " katanya.

    Menurut Tan, beliau berharap penerimaan dikalangan Pakatan Rakyat seharusnya konsisten dan tidak bergantung pada satu projek sahaja.

    "Kerajaan negeri di Kelantan, Pulau Pinang juga Selangor perlu konsisten terima mana-mana yang baik untuk rakyat tanpa menyebabkan sebarang kelewatan," katanya. - mStar

  • SPR Bermesyuarat 6 Mac Mengenai Kerusi DUN Balingian

    By Admin →

    KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 6 Mac bagi membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Sarawak yang akan dikosongkan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud esok.

    Mesyuarat yang dijadual bermula 10 pagi itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di ibu pejabat SPR, Putrajaya.

    Ia akan diikuti dengan sidang akhbar selepas itu, kata Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataan di sini Khamis.

    Beliau juga memaklumkan bahawa SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam berkenaan pengosongan kerusi DUN Balingian oleh penyandangnya Taib, yang berkuatkuasa esok, 28 Feb.

    Taib yang berkhidmat sebagai ketua menteri Sarawak sejak 1981 akan melepaskan jawatan secara rasmi esok.-- BERNAMA

  • Majlis Tertinggi PBB akan tentukan calon Balingian

    By Admin → Wednesday, 26 February 2014

    KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional (BN) Sarawak, akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi untuk memutuskan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Balingian yang akan dikosongkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud Jumaat ini. 

    Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi memberitahu Bernama hari ini bahawa parti itu telah mula membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil itu selepas Taib mengumumkan beliau akan meletak jawatan sebagai ketua menteri pada 28 Februari. 

    Taib yang mempertahankan kerusi Balingian sejak pilihan raya negeri 2001, berkata beliau menyerahkan kepada bakal Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk mengumumkan calon BN. 

    "Kami sudah menjangkanya (Taib berhasrat untuk mengosongkan kerusi Balingian) dan telah membuat persiapan yang perlu...dan kami yakin dapat mempertahankan kerusi itu," kata Dr Rundi yang juga Setiausaha Agung BN Sarawak. 

    Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dijangka mengadakan persidangan media esok untuk mengumumkan mengenai pengosongan kerusi Balingian. - BERNAMA 

  • Taib kosongkan DUN Balingian hari jumaat

    By Admin →

    MUKAH: Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri Balingian pada Jumaat (28 Feb) serentak dengan pelepasan jawatan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak.

    Beliau membuat pengumuman ini di Mukah, Sarawak hari ini.

    Taib dilaporkan akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang DiPertua Negeri Sarawak Ketujuh pada Sabtu, selepas menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. juga pada Jumaat.

  • Taib Terima Watikah Sebagai Yang Dipertuan Negeri Jumaat ini

    By Admin → Monday, 24 February 2014

    KUCHING – Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk menerima watikah pelantikan sebagai Yang Dipertua (YDP) Negeri Sarawak ketujuh, Jumaat ini.

    Bernama difahamkan istiadat penyerahan watikah pelantikan itu akan diadakan di Istana Negara di ibu negara kira-kira 3 petang.Taib, yang akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri pada 28 Februari ini, kemudiannya dijadual pulang ke Kuching pada hari yang sama.

    Menurut kenyataan Unit Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat, Jabatan Ketua Menteri yang dihantar ke Bernama di sini hari ini, acara sambutan YDP baharu akan diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, 8 malam.

    Keesokannya, istiadat mengangkat sumpah YDP baharu dijadual diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (Dun), Petra Jaya.    

    Bernama juga difahamkan, majlis istiadat mengangkat sumpah Ketua Menteri Sarawak yang baharu oleh Tan Sri Adenan Satem akan turut diadakan pada 28 Februari di hadapan Yang Dipertua Negeri ketika ini, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng kira-kira jam 9 pagi di Astana Negeri, di sini.

    Ini merupakan acara terakhir Tun Abang Muhammad Salahuddin sebagai YDP Sarawak sebelum tugas tersebut diambil alih oleh Taib.

    Pelantikan Taib sebagai YDP akan menyaksikan beliau perlu melepaskan semua jawatan politik, termasuk presiden Parti Pesaka Bumiputera (PBB) dan Anggota Dewan Undangan Negeri Balingian.

    Bagaimanapun setakat ini belum dapat dipastikan sama ada beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Adun.

    Pengosongan kerusi itu akan menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) Balingian perlu diadakan.

    Tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak tamat pada 20 Jun 2016 dan tempoh dua tahun bermula 21 Jun 2014.

    Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika terdapat sebarang kekosongan dalam tempoh dua tahun Dewan Undangan Negeri tamat tempoh.

    Pada Pilihan Raya Negeri 2011, Taib mengekalkan kerusi itu dalam persaingan tiga penjuru menewaskan Suriati Abdullah (PKR) dan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dengan majoriti 5,154 undi. – Bernama

  • Penerima BR1M 3.0 – Cara Membuat Tuntutan i-BR1M Perlindungan Insuran

    By Admin →

    Cara membuat tuntutan atau menuntut caruman i-Br1m perlindungan insuran nyawa.

    i-BR1M adalah pelan takaful yang memberi manfaat perlindungan kepada penerima BR1M kategori isirumah/ keluarga.

    i- BR1M bertujuan membantu meringankan tanggungan penerima dan keluarga penerima sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal akibat kemalangan.

    Sumbangan i-BR1M ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia dan tiada kos dikenakan.

    Syarat Kelayakan i-BR1MSemua penerima BR1M kategori isi rumah/ketua keluarga yang mempunyai tanggungan layak mendapat perlindungan i-BR1M.

    Penerima BR1M kategori bujang dan warga emas sebatang kara adalah tidak layak menuntut i-BR1M.

    Cara Buat Tuntutan i-BR1M

    Borang tuntutan i-BR1M boleh didapati di pejabat pengendali Takaful atau boleh di dimuat-turun di;

    a. Laman web Persatuan Takaful Malaysia (MTA) di http://www.malaysiantakaful.com.my/b.

    b. Laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di http://www.hasil.gov.my/

    Pembayaran i-BR1MBorang tuntutan i-BR1M yang lengkap akan diproses dalam masa 10 hari bekerja dari tarikh permohonan beserta dokumen lengkap diterima oleh pengendali Takaful.

    Sumber – FB ASSU.

  • Riot hanya tanding jawatan presiden untuk selamatkan SUPP

    By Admin →

    KUCHING: Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Richard Riot Jaem yang pernah menyuarakan kesediaannya untuk bertanding jawatan presiden, hari ini berkata beliau akan hanya berbuat demikian sebagai usaha terpakhir untuk menyelamatkan SUPP daripada dibatalkan pendaftarannya. 

    Menurut Menteri Sumber Manusia ini, beliau menawarkan diri untuk menerajui SUPP berikutan perbalahan teruk antara pemimpin dua puak dalam parti berkenaan iaitu Presiden parti, Datuk Seri Peter Chin dan Pengerusi SUPP Cawangan Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh.

    “Jika tidak ada juga penyelesaian terhadap perbalahan antara dua puak ini, dan jika diminta oleh majoriti anggota perwakilan supaya saya bertanding pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali (TDC) akan datang Disember ini, saya bersedia untuk memenuhinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Klinik Integrasi Upah Minimum Seluruh Negeri di sini hari ini. 

    Riot yang juga pengerusi SUPP Cawangan Serian, berkata sekiranya Chin dan Wong tidak juga berdamai, maka beliau bersedia menggalas cabaran itu bagi menyelamatkan SUPP daripada dibatalkan pendaftarannya. 

    Dua pemimpin itu bertelagah sejak berlangsungnya TDC lalu di sini pada Disember 2011 yang menyaksikan Riot memberi sokongan kepada puak Chin dan akhirnya terpilih sebagai Timbalan Presiden SUPP. 

    "Dengan 23 tahun pengalaman dalam politik, saya sudah jadi ahli politik veteran dan patut diberi peluang (untuk menerajui parti itu)," katanya sambil menegaskan bahawa beliau akan berundur daripada jawatan presiden selepas satu penggal sekiranya gagal menunaikan tanggungjawabnya. 

    SUPP, parti politik tertua di Sarawak, menerima surat tunjuk sebab daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 6 Januari tahun ini dan diberi tempoh 30 hari untuk menjelaskan kenapa pendaftarannya tidak boleh dibatalkan. SUPP memberi penjelasan mengenai perkara itu tetapi hingga kini, ia tidak menerima sebarang jawapan daripada ROS. 

    Riot berkata, sekiranya beliau dipilih sebagai presiden parti, perkara utama yang akan dilakukannya ialah memberi peluang kepada sebanyak mungkin anak muda dan pemimpin berkebolehan memegang jawatan penting dalam parti itu serta menyatukan semua anggotanya. 

    Riot bagaimanapun belum memaklumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan presiden parti itu kepada Chin dan Wong. - BERNAMA 

  • Taib pengerusikan mesyuarat terakhir Kabinet Sarawak

    By Admin →

    KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, hari ini menghadiri mesyuarat Kabinet negeri, dipercayai terakhir dipengerusikannya sebelum melepaskan jawatan, di Wisma Bapa Malaysia.

    Beliau tiba di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu kira-kira jam 11.30 pagi dan turut dilihat berada dalam kereta itu ialah Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem.

    Terdahulu barisan anggota Kabinet negeri dilihat mulai memasuki bangunan itu sejak 9.30 pagi.

    Pemberita yang mula berada di bangunan itu seawal 9.30 pagi tidak dibenarkan masuk atas alasan tidak dijemput untuk membuat liputan mesyuarat berkenaan.

    Pada 12 Februari lalu, Taib mengumumkan akan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri, berkuatkuasa 28 Februari dan akan digantikan Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu.

    Upacara mengangkat sumpah Ketua Menteri Sarawak yang baharu dijadual 28 Februari ini.

    - BERNAMA

  • Mungkinkah Kesultanan Melaka Kembali?

    By Admin →

    Oleh Ali Imran

    KUALA LUMPUR (Bernama) -- Pemerintahan Kesultanan Melaka telah berakhir kira-kira lima dekad yang lepas, namun negeri bersejarah itu sering menjadi idaman beberapa pihak yang mendakwa pewaris takhta dan berminat untuk 'menghidupkan' semula kesultanan itu.

    Antaranya yang terbaharu ialah ahli perniagaan Noor Jan Tuah yang sejak beberapa tahun lepas ada mengemukakan tuntutan sebagai sultan Melaka namun tuntutan beliau tidak pernah dilayan.

    Cubaan terbaharunya dengan mengemukakan 'surat pengiktirafan' Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tetapi surat itu terbukti palsu yang membawa kepada penangkapan beliau pada awal bulan ini.

    Di samping itu, muncul pula individu lain yang mendakwa mempunyai kuasa magis untuk mengembalikan institusi kesultanan Melaka termasuk boleh menurunkan bencana kepada negeri itu jika permintaannya tidak ditunaikan.

    Menggunakan nama Bonda Ratu Kuasa Alam Tan Sri Sharifah Norlaini Kesemua Dinegeret, warga Indonesia itu mendakwa suaminya adalah pewaris sebenar kesultanan itu.

    Meskipun begitu, kes Noor Jan lebih popular berikutan kisahnya turut dilaporkan dalam media massa di samping laman-laman sosial.

    Sekiranya perkara ini tidak dibendung, tidak mustahil selepas ini akan ada lagi pihak yang akan mencuba nasib merebut 'takhta' kesultanan yang berkubur pada tahun 1511 Masehi apabila Portugis menawan Melaka dan sultannya yang terakhir, Sultan Mahmud Shah melarikan diri ke Johor.

    Situasi ini telah meresahkan rakyat Melaka walaupun ramai yang tidak percaya dengan tuntutan itu namun ada juga yang tidak menolaknya di samping sebahagian yang bersikap tidak ambil peduli.

    DAKWAAN TIDAK MUNASABAH

    Bolehkah seseorang menganggap Noor Jan, yang menamakan dirinya sebagai Tuanku Raja Noor Jan Shah ibni al-marhum Y.A.M. Raja Tuah Shah sebagai seorang opotunis yang mendambakan kehidupan penuh kemewahan yang dikaitkan dengan kerabat diraja?

    Apatah lagi Melaka adalah sebuah negeri yang pesat membangun dan kukuh dari segi kewangannya, yang bermakna 'sultan'nya (jika ada) juga akan menikmati limpahan kemewahan.

    Meskipun Noor Jan tidak mempunyai perakuan sah untuk menuntut takhta kesultanan Melaka, namun yang jelas beliau mendapat komentar-komentar umum di laman sosial.

    Beliau mendakwa kononnya mempunyai kelengkapan "pakaian diraja" dan malahan mengadakan "majlis diraja" untuk panganugerahan gelaran kebesaran.

    NOOR JAN AMBIL KESEMPATAN

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setelah penubuhan Negeri-Negeri Selat (oleh British pada 1826), tidak ada mana-mana pihak boleh mendakwa atau menuntut takhta kesultanan di negeri-negeri tersebut.

    Melaka adalah antara tiga negeri yang termasuk di bawah Negeri-Negeri Selat selain Pulau Pinang dan Singapura.

    Polis mengambil tindakan menangkap Noor Jan bersandarkan kepada perundangan yang ada kepada kerajaan negeri, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

    Zahid turut mempersoalkan tindakan lelaki berusia 56 tahun itu yang dilihat sebagai cuba mengambil kesempatan terhadap kemakmuran dan keharmonian Melaka setelah negeri itu diiktiraf sebagai sebuah negeri maju.

    Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron pula kesal terhadap tindakan Noor Jan yang cuba mengelirukan rakyat Melaka dan meminta semua pihak tidak tertipu dengan dakwaan tidak berasas itu.

    Idris berkata, kerajaan negeri Melaka menolak tuntutan ahli perniagaan itu kerana perbuatan itu jelas mencabar Perlembagaan Persekutuan, yang hanya mengiktiraf sembilan sultan yang sedia ada sekarang.

    TINDAKAN HINA INSTITUSI RAJA

    Pengkaji sejarah kesultanan Melayu, Raja Yusuf Izzudin Raja Datuk Pahlawan Lope Ahmad berkata, sikap Noor Jan yang melampau dan tidak pernah serik mengeluarkan pernyataan palsu tentang statusnya sebagai sultan Melaka sepatutnya sudah lama diambil tindakan.

    Menurutnya, cubaan membuktikan tuntutan beliau melalui salasilah kesultanan Perak yang dimanipulasi serta mendakwa dirinya ada kesaktian tertentu sehingga dapat mencari alat-alat kebesaran Melaka adalah satu tindakan keterlaluan.

    "Tindakan ini sebenarnya menghina institusi raja di negara ini. Bukan kita tidak tahu beliau pernah cuba merempuh masuk majlis anjuran Istana Negara dengan pengikut-pengikutnya (tidak lama dahulu)," katanya yang juga pengasas blog sejarah kesultanan Melayu Perak iaitu 'SembangKuala.

    Berbekalkan 'fakta' yang dikemukakannya, Noor Jan telah beberapa kali mendesak kerajaan pusat dan negeri serta mengugut Majlis Raja-raja untuk mengiktiraf dirinya sebagai pemerintah Melaka yang sah.

    "Semua dakwaannya atas dasar 'syok sendiri' sahaja termasuklah dakwaan mendapat mandat ICJ yang merupakan satu penipuan besar," tegas Raja Yusuf.

    Beliau kemudiannya menjelaskan, sejak kali pertama beliau mendapat tahu tentang mandat ICJ yang didakwa Noor Jan, beliau telah membuat semakan di laman sesawang rasmi mahkamah keadilan antarabangsa itu.

    Hanya ada dua kes yang diadili di ICJ membabitkan Malaysia iaitu kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Sipadan dan Ligitan serta kes pertindihan tuntutan ke atas Pulau Batu Puteh.

    "Kita juga jangan lupa bahawa selain tuntutan beliau (Noor Jan) ke atas Melaka, beliau turut mengelarkan diri sebagai Sultan Perak yang ke-35 sedangkan Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah masih bertakhta di Perak," katanya.

    FAKTA YANG TIDAK BERASAS

    "Semua bukti yang dikemukakan bukan sahaja tidak berasas, bahkan membuktikan bahawa Noor Jan sendiri tidak faham tentang kesultanan Perak dan Melaka itu sendiri," kata Raja Yusuf.

    Tambahnya, isu menghidupkan kembali kesultanan Melaka tidak pernah menjadi agenda oleh mana-mana sultan Perak, walaupun mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

    "Hang (kamu - merujuk kepada Noor Jan) orang Perak, nak tuntut Melaka, sedangkan sultan-sultan sebelum ini tidak pun berbuat begitu.

    "Ambil contoh, Sultan Sir Alang Iskandar (nama rasmi baginda ialah Sultan Iskandar Shah - Sultan Perak ke-30) yang mempunyai hubungan sangat rapat dengan British hingga berjaya mendapatkan semula jajahan Dindings pada 1937 juga tidak berbuat begitu.

    Sedangkan Dindings boleh dapat semula setelah hampir 10 tahun mengemukakan rayuan kepada British apatah lagi Melaka.

    Hakikatnya Melaka hanyalah sebuah kenangan yang perlu dijadikan sempadan," katanya.

    TAMING SARI BUKAN ALAT KEBESARAN SULTAN MELAKA

    Noor Jan juga mendakwa memiliki keris Taming Sari, yang dikatakan sebagai alat kebesaran Kesultanan Melaka namun seorang peminat sejarah kesultanan Melayu, Muhamad Adha Abdul Jalil menangkis dakwaan itu dan berkata bahawa keris itu bukan alat kebesaran tetapi senjata Laksamana Melaka, Hang Tuah.

    Beliau, yang juga lebih dikenali sebagai Ku Alam berkata, dakwaan alat kebesaran itu telah dikeluarkan daripada perut bumi menggunakan proses mistik selama tiga tahun setengahnya oleh Noor Jan sebenarnya bukan alat kebesaran kesultanan Melaka.

    Antara alatan yang dikatakan dimiliki Noor Jan setelah diambil dari alam ghaib termasuk cop mohor, keris, anak keris, pending, kalung dan mahkota yang dikatakan milik sultan-sultan Melaka terdahulu.

    Melalui blog Ku Alam iaitu 'Payung Mahkota Dirgahayu Raja Melayu,' beliau menjelaskan bahawa sebagai sebuah kesultanan yang berasal daripada Teras Kesultanan Melaka, sebahagian aturan adat kesultanan Perak menyamai istiadat kesultanan Melaka.

    Satu daripada alat kebesaran kesultanan Perak yang paling utama dalam upacara pertabalan sultan ialah nobat dan pewaris takhta Perak harus mewarisi nobat daripada waris yang terdahulunya.

    "Mewarisi nobat bukanlah hanya pada alatannya, tetapi mesti juga bersama para pemainnya yang terpilih sejak turun temurun iaitu 'Orang Kalur' yang mana ketuanya bergelar 'Toh Setia Guna' serta pembantunya bergelar 'Toh Setia Indera'.

    Selain nobat, alat kebesaran yang cukup penting dalam istiadat mengangkat sultan ialah pedang Chura Si Manjakini atau Curi' Sa-Menta Dakini, sejenis pedang perang.

    Tanpa kedua elemen kebesaran (Nobat dan pedang) itu, sultan tidak boleh diangkat, kata Ku Alam.Kesimpulannya tiada siapa yang boleh mendabik dada mengangkat diri sebagai sultan selagi tidak mempunyai alat-alat kebesaran itu.-- BERNAMA

  • SPDP Mahu wakil dalam Kabinet Persekutuan

    By Admin → Sunday, 23 February 2014

    KUCHING: Pilihan Raya Umum ke-13 sudah hampir sembilan bulan berlalu, dan kini Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) mahu kuotanya dalam Kabinet Persekutuan diisi secepat mungkin.

    Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pihaknya akan mengaturkan pertemuan dengan Perdana Menteri bagi membincang lanjut perkara itu.

    "Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri ada memberitahu saya bahawa beliau akan melantik seorang daripada Ahli Parlimen kita untuk menganggotai kabinetnya."Itulah sebabnya kita tidak terlalu mendesak Perdana Menteri.

    Kami menyerah kepada beliau (Perdana Menteri) untuk membuat keputusan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat tiga jam Majlis Tertinggi parti itu di ibu pejabatnya di sini, Ahad.

    Pada PRU13 Mei tahun lalu, SPDP mengekalkan kesemua empat kerusi Parlimen yang dipertandingkannya.

    Kerusi itu dimenangi oleh Mawan (Saratok), Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu), Anthony Nogeh Gumbek (Mas Gading) dan Anyi Ngau (Baram).

    Sebelum PRU13 SPDP mempunyai dua timbalan menteri dalam Kabinet Persekutuan.Bulan lepas Tiong dilantik sebagai duta khas berstatus menteri ke Asia Timur.

    Sementara itu, Mawan turut menafikan adanya sebarang perbincangan antara pemimpin SPDP dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berhubung cadangan penggabungan dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

    Beliau bagaimanapun berkata SPDP sentiasa terbuka terhadap sebarang inisiatif dan rundingan sekiranya ia memberi kebaikan kepada BN. BERNAMA

  • 332,054 penerima BR1M 3.0 di Sarawak tiada akaun bank 

    By Admin →

    KUCHING - Seramai 332,054 daripada 594,765 jumlah keseluruhan penerima yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 di negeri ini tidak mempunyai akaun bank.

    Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, kebanyakan penerima BR1M 3.0 yang tidak memiliki akaun bank itu menetap di kawasan luar bandar.

    "Sarawak mencatatkan jumlah penerima BR1M 3.0 yang paling ramai tidak mempunyai akaun bank.

    "Sehubungan itu, kita merancang mengadakan 36 majlis penyerahan bermula hari ini sehingga 12 Mac depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran BR1M 3.0 Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini. - KOSMO

  • SPDP sedia berdamai dengan G5

    By Admin →

    KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sedia membuka pintu kepada anggota Kumpulan Berlima (G5) untuk kembali semula kepada parti demi kepentingan Barisan Nasional (BN).

    Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom malah berkata apa jua penyelesaian sama ada menerusi perdamaian atau sebaliknya ia tidak boleh dipengaruhi oleh perasaan peribadi dan perlu dilakukan atas semangat BN.

    “Saya akui kami akan berdamai malah usaha telah pun kami lakukan dengan mengambil kira nasihat daripada pemimpin BN iaitu Perdana Menteri dan Ketua Menteri sedia ada termasuk bakal Ketua Menteri kita.

    “Saya percaya setiap penyelesaian harus dilakukan atas semangat BN kerana apa sahaja yang berlaku dalam parti komponen akan memberi kesan kepada BN secara keseluruhannya,” katanya.

    Mawan berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Pingat Peringatan 100 Tahun Berpengakap di Sarawak di Institut Pendidikan Guru Batu Lintang di sini semalam.

    Tambah Mawan, apabila Perdana Menteri dan Ketua Menteri menggesa parti untuk bersatu dan berdamai, SPDP katanya telah melakukan semampu yang mungkin untuk mencapai hasrat tersebut.

    Tetapi katanya, seperti yang sering dinyatakan, usaha perdamaian ini hanya akan berjaya dengan adanya persefahaman dan kerjasama daripada semua ahli parti dan parti komponen.

    “Setelah kita bersatu kembali baharulah kita akan mendapat kepercayaan dan keyakinan daripada rakyat terhadap parti.

    “SPDP bukan sahaja berhadapan masalah dengan bekasbekas ahli SPDP yang telah membentuk G5 malah turut mendapat tentangan daripada ahli-ahli biasa terutama di kawasan Saratok.

    “Tetapi apa jua masalah, pintu SPDP tetap terbuka untuk mereka dan parti sedia menerima semula mereka atas semangat BN,” kata Mawan yang juga Menteri Kanan dan Menteri Pembangunan Sosial.

    Ditanya sama ada SPDP akan membawa kembali G5 dalam parti, Mawan berkata ia boleh berlaku kerana di bawah perlembagaan parti mereka masih boleh memohon untuk menyertai semula parti.

    “Sebab itu kita ada perlembagaan dan undang-undang parti.

    “Mereka yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan tetapi pada masa yang sama mereka boleh memohon untuk menyertai semula parti,” ujarnya.

    Dalam pada itu G5 terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie, ADUN Bekenu Rosey Yunus, ADUN Marudi Datuk Sylvester Entri Muran, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Datuk Dr Tiki Lafe.- utusan borneo

  • Lapor KPDNKK jika harga barang naik selepas terima BR1M

    By Admin → Saturday, 22 February 2014

    JITRA - Pengguna diminta melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) jika mendapati berlaku kenaikan harga barangan susulan agihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bermula hari ini.

    Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, jika sebelum ini kenaikan harga barangan seperti ikan disebabkan faktor cuaca, kini keadaan sudah pulih dan tiada sebab peniaga menaikkan harga.

    "Jika tiada laporan dibuat, tindakan tidak boleh diambil.

    Lapor kepada KPDNKK jika mendapati harga barang dinaikkan selepas terima BR1M," katanya selepas merasmikan Persidangan Gerakan Pengguna Siswa di sinihari ini.

    Menurut Ahmad Bashah, pemerhatian KPDNKK mendapati harga kebanyakan barangan sudah kembali stabil.

    BR1M 3.0 yang bernilai RM650 bagi isi rumah berpendapatan bulanan kurangRM3,000 dan RM300 untuk individu bujang berusia 21 tahun ke atas denganpendapatan kurang RM2,000 sebulan mula diagih hari ini. - Bernama

  • BR1M Diteruskan Selagi Pertumbuhan Ekonomi Kukuh - Najib

    By Admin →

    KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat selagi kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dapat dikekalkan.

    Perdana Menteri berkata pertumbuhan ekonomi negara yang baik menjurus kepada kemampuan kerajaan melaksanakan program pembangunan dan menyalurkan bantuan kepada rakyat.

    Beliau berkata adalah menjadi keutamaan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk melakukan yang terbaik dalam menguruskan negara terutama berkaitan pertumbuhan ekonomi.

    "Pada masa sekarang, BN dapat menguruskan negara dengan baik ketika negara lain berdepan masalah, melalui dasar-dasar yang mengukuh dan memacu pertumbuhan ekonomi yang sihat walaupun keadaan ekonomi dunia masih tidak menentu.

    "Tetapi di Malaysia, kita telah dapat menentukan ekonomi kita serta memacu pertumbuhan ekonomi begitu baik dan bila hasil negara bertambah, kita agihkan kekayaan itu kepada rakyat," katanya ketika berucap melancarkan BR1M 2014 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini.

    Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 2014, Najib berkata kerajaan memperuntuk RM4.6 bilion untuk memberi manfaat kepada 7.9 juta penerima.

    Beliau berharap penambahan nilai BR1M kali ini dapat meringankan beban hidup rakyat khususnya golongan yang tinggal di bandar selain memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan ini.

    Pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM700 merangkumi RM650 dan Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M) sebanyak RM50.

    Bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, nilai bantuan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

    Sebagai tambahan, buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 dan RM4,000 dengan nilai bantuan RM450.i-BR1M menyediakan nilai perlindungan minimum RM1,000 bagi kematian biasa dan maksimum RM30,000 sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal.

    Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab, ia perlu melakukan konsolidasi fiskal untuk mengekalkan momentum ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

    Menurutnya ini perlu dilakukan secara berperingkat bagi meringankan beban rakyat di samping menyakinkan pasaran dunia bahawa kerajaan sentiasa berusaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara.

    Perdana Menteri juga berkata penambahbaikan dalam pemberian BR1M dilakukan sejajar dengan pelaksanaan subsidi bersasar dalam usaha meringankan beban hidup rakyat.

    "Oleh itu, kerajaan akan mengubah dasar pemberian subsidi iaitu daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar bagi memastikan pelaksanaan subsidi yang adil," katanya.

    Dalam pada itu, Najib berkata kerajaan menunaikan janjinya yang terkandung dalam manifesto BN pada pilihan raya umum lepas, yang antara lain menyatakan mengenai pertambahan secara berperingkat jumlah pemberian BR1M.

    Perdana Menteri menjelaskan pelaksanaan subsidi pukal dilihat sebagai pembaziran dan ketirisan kerana ia turut dinikmati golongan yang tidak sepatutnya seperti pelancong dan pekerja asing.

    "Contohnya, subsidi petrol RON95 seliter ialah 63 sen oleh kerajaan.

    Bayangkan beza pengguna kereta berkapasiti rendah dan tinggi yang menikmati subsidi petrol yang sama.

    Mana adilnya? Tidak adil."Jadi, kerajaan memutuskan untuk ubah dasar daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar secara berperingkat dan pindahkan penjimatan ini kepada rakyat melalui BR1M. BR1M ialah contoh subsidi bersasar," jelas Najib.

    Perdana Menteri berkata BR1M 2014 merupakan manifestasi kepada pengurusan ekonomi yang baik oleh kerajaan, yang menjurus kepada pengukuhan ekonomi yang sihat.

    "Bayaran BR1M sudah mula dikreditkan terus ke dalam akaun penerima sejak semalam. Yang tidak mempunyai akaun bank pula, mereka akan menerima baucar secara berperingkat.

    "Ini kerana rakyat amat memerlukan bantuan ini sekarang dan tidak perlu menunggu lama untuk menikmati bantuan kerajaan dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup," katanya.

    Dalam pada itu, Najib menegaskan kerajaan BN sentiasa berusaha menunaikan perkara yang dijanjikannya dalam manifesto pilihan raya umum ke-13 (PRU13) termasuk menambah nilai insentif BR1M sehingga RM1,200 dalam tempoh lima tahun.

    "Ramai salah faham dan tidak baca sepenuhnya. Kita kata dalam tempoh lima tahun. Kerajaan BN mempunyai tanggungjawab terhadap rakyat.

    Manifesto PRU13 adalah janji kerajaan kepada rakyat. Kita tambah secara berperingkat. Makna tahun depan, tambah lagi.

    "Komitmen kerajaan RM1,200 dalam tempoh lima tahun adalah Janji Ditepati," katanya.-- BERNAMA

  • Parti Pembangkang Dialu-alukan Laksana Projek Kecil - Salang

    By Admin →

    PAKAN, 21 Feb (Bernama) -- Parti pembangkang dialu-alukan sekiranya mahu membantu dalam melaksanakan projek kecil untuk penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak, kata Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak Datuk Joseph Salang.

    Bagaimanapun, beliau berkata mereka tidak harus menggunakan peluang itu untuk mengutuk kerajaan hanya kerana mereka membantu melaksanakan satu atau dua projek kecil.

    Beliau berkata demikian pada majlis pemimpin bersama rakyat di Rh.Barak di Nyalak Ili dekat sini hari ini.

    Terdahulu, Salang, yang juga anggota Parlimen Julau merasmikan jalan raya ke rumah panjang 25 pintu itu dari jalan utama Jalan Pakan.

    "Hakikatnya kerajaan Barisan Nasional (BN) telah dan akan melaksanakan lebih banyak projek seperti jalan raya, bekalan air graviti, bekalan tenaga menerusi Program Bekalan Elektrik Luar Bandar, klinik-klinik kesihatan dan lain-lain".

    Salang mengulas langkah DAP negeri, menerusi program "Go Rural Areas", membina sistem bekalan air graviti untuk rumah panjang Rh.Bujang di Ulu Wak dalam kawasan Julau yang diwakilinya.

    Beliau berpendapat program itu bertujuan untuk merekrut anggota bagi parti itu dalam usaha untuk bertapak di kawasan-kawasan luar bandar di negeri ini.

    "Penyokong BN tidak patut marah dengan DAP atau penduduk rumah panjang terbabit."Kerajaan dengan ini boleh menggunakan peruntukan yang diperuntukkan bagi rumah panjang itu untuk membantu rumah panjang lain di kawasan ini," katanya.

    Sementara itu mengenai pertanian, Salang mencadangkan penduduk mengusahakan pertanian secara komersil.

    Katanya mereka boleh memasarkan hasil pertanian mereka di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang bakal mempunyai populasi kira-kira 1 juta orang termasuk pekerja.-- BERNAMA

  • Hampir 6 juta terima BR1M esok

    By Admin → Friday, 21 February 2014

    KUALA LUMPUR: Dengan matlamat meringankan kos sara hidup rakyat berpendapatan rendah, kerajaan akan menyerahkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada hampir enam juta penerima yang telah berdaftar setakat ini.

    Sumber-sumber berkata, pemberian itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM3 bilion. 

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan majlis pelancaran penyerahan BR1M 2014 peringkat kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini esok. 

    Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650 manakala individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai bantuan juga dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

    Buat pertama kalinya BR1M diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450.

    Sumber itu berkata bantuan mampu diberikan kepada rakyat hasil langkah-langkah kerajaan membangunkan ekonomi negara ke arah landasan yang kukuh. 

    Jumlah penerima BR1M pada 2012 adalah lebih empat juta orang melibatkan perbelanjaan lebih RM2 bilion manakala pada tahun 2013 seramai hampir tujuh juta penerima dengan perbelanjaan hampir RM3 bilion. 

    Menurut sumber itu lagi, langkah-langkah kerajaan itu terbukti berkesan daripada beberapa petunjuk ekonomi yang dicatat pada tahun lepas (2013) seperti pelaburan swasta sebanyak lebih RM1 bilion, yang merupakan tertinggi sejak lima rahun, selain jumlah pelaburan asing langsung (FDI) berjumlah lebih RM8 bilion. 

    Petunjuk lain termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada 2013 manakala Malaysia juga mencatat kadar inflasi rendah sebanyak 2.1 peratus pada 2013, manakala FDI pada 2013 berjumlah RM38.7 bilion, yang tertinggi dalam tempoh lima tahun. 

    Menurutnya, defisit fiskal pula menurun daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus pada 2013 manakala kadarnya bagi tahun ini disasarkan 4 peratus. 

    Bagi tahun 2014, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM40 bilion untuk pelbagai subsidi termasuk lebih RM20 bilion untuk subsidi barangan asas seperti petrol, gas LPG, minyak masak, diesel, tepung gandum, dan beras manakala bantuan persekolahan pula berjumlah lebih RM10 bilion. 

    Menurutnya petunjuk-petunjuk itu menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan yang betul dan langkah-langkah transformasi ekonomi yang dilaksanakan memberi impak. 

    Selain golongan berpendapatan rendah, golongan pertengahan juga banyak mendapat manfaat daripadanya. - Bernama

  • Jabu bukan sekadar orang kanan saya - Taib

    By Admin →

    KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Alfred Jabu memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kaum Dayak di negeri ini menerima politik kurang kontroversi yang dibawa oleh Barisan Nasional, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, hari ini.

    Taib berkata Jabu yang menjadi timbalannya sejak beliau menjawat jawatan ketua menteri pada 1981, memainkan peranan penting dalam membangkitkan kesedaran kaum Dayak supaya memberi lebih perhatian terhadap inti pati pembangunan.

    "Beliau orang kanan yang sangat berdedikasi. Beliau sebenarnya lebih daripada sekadar orang kanan saya," katanya dalam sidang media, di sini.

    Beliau ditanya mengenai peranan Jabu selepas ini susulan peralihan kepimpinan yang menyaksikan Taib bersara pada 28 Februari ini dan diganti oleh Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

    Taib berkata, beliau percaya Jabu akan terus memainkan peranannya dalam mempromosikan kerjasama antara pelbagai kaum apabila Adenan mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan negeri.

    Mengenai khabar angin bahawa Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg akan dilantik timbalan ketua menteri dalam kabinet Adenan, Taib berkata, terserah kepada ketua menteri yang baharu untuk memutuskannya.

    Katanya, sekalipun pasukan yang diaturnya selama ini bersemangat untuk melihat apa lagi yang boleh mereka lakukan berbanding jawatan yang bakal dipegang, beliau percaya Adenan mempunyai percaturan sendiri untuk memelihara semangat itu.

    "Saya mesti ambil kira hakikat bahawa saya akan keluar dari gelanggang dan berada di luar lingkungan politik," katanya yang enggan mengulas lanjut isu itu. - BERNAMA

  • Taib Akan Hanya Beri Nasihat Jika Diminta

    By Admin →

    KUCHING, 21 Feb (Bernama) -- Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini berkata beliau akan hanya memberi nasihat jika diminta berbuat demikian oleh kepimpinan baharu negeri ini setelah tidak lagi menjadi Ketua Menteri Sarawak kelak.

    Katanya nasihat yang diberi tidak semestinya secara rasmi, tetapi juga melalui perjumpaan biasa.

    "Saya yakin, apabila timbul sesuatu keadaan baharu dan kepimpinan baharu merasakan perlu mendapatkan pandangan saya, saya sedia memberinya...tapi saya tidak pasti beliau (ketua menteri akan datang Tan Sri Adenan Satem) akan meminta nasihat saya," kata Taib pada sidang akhbar di pejabatnya di sini.

    Taib berkata demikian apabila ditanya sama ada beliau berpendapat memberi bimbingan setelah berundur kelak, akan disalah anggap sebagai mencampuri urusan pentadbiran baharu negeri ini.

    "Nasihat beliau kepada saya mungkin sesuatu yang wajib. Sebagai yang Dipertua Negeri, saya perlu mematuhinya. Tetapi, nasihat saya kepada beliau hanya berupa pandangan yang perlu beliau dapatkan, jika beliau memerlukannya," kata Taib, yang disebut-sebut akan menjadi yang Dipertua Negeri Sarawak mulai 1 Mac.

    Taib, yang akan berundur daripada jawatan Ketua Menteri pada 28 Feb, setelah menyandangnya selama 33 tahun, berkata selama ini, beliau dan Adenan sering berkongsi pengalaman tentang kemajuan atau politik Sarawak.

    "Barangkali, beliau (Adenan) tahu, sama seperti yang saya tahu, apa yang perlu dilakukan untuk tempoh 10 tahun akan datang. Tapi, saya tidak tahu sama ada beliau memerlukan nasihat saya," katanya.

    Taib berkata peranan Yang Dipertua Negeri Sarawak adalah sama seperti peranan Ratu England, yang hanya berkongsi pengalaman baginda dengan pucuk kepimpinan apabila diminta berbuat demikian.

    Menurut beliau cara kepimpinan British sememangnya menjadi asas bagi sistem pentadbiran di Sarawak.

    "Saya sedar, negeri ini (Sarawak) hanya perlu mempunyai seorang bos dan beliau adalah ketua menteri kerana beliaulah yang memikul tanggungjawab.

    Jika berlaku sesuatu kesilapan, beliaulah yang perlu memikul tangungjawabnya, dan jika ada pujian pun, beliaulah yang wajar menerimanya," kata beliau.-- BERNAMA

  • Taib Bersara Dengan Penuh Gembira

    By Admin →

    KUCHING, 21 Feb (Bernama) -- Beliau sering dianggap sebagai pemimpin yang serius, namun Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini menunjukkan beliau juga punyai sifat santai apabila secara terbuka berkongsi pelbagai sentimen dan harapannya untuk negeri Sarawak dengan pihak media, sebelum beliau berundur daripada jawatan itu hujung bulan ini.

    Antara perkara yang menarik perhatian media pada sidang akhbar itu, yang menurut Taib, "mungkin interaksi terakhir beliau dengan akhbar", ialah pengakuan secara berterus terang pemimpin hebat ini bahawa beliau bersara dengan penuh kegembiraan.

    "Saya akan bersara menjelang akhir bulan ini dengan penuh rasa gembira dan yakin negara ini akan ditadbir oleh mereka yang berkemampuan, dan saya akan dapat menyaksikan pembangunan secara berterusan.

    "Saya tidak akan begitu aktif lagi selepas 1 Mac, maksudnya saya tidak akan lagi aktif bergerak untuk memberi khidmat kerana saya sedar, sudah tiba masanya bagi generasi lain pula untuk mengambil alih.

    Saya amat yakin bahawa pasukan yang bakal saya tinggalkan, akan mampu melatih mereka yang lebih muda," katanya.

    Pada 12 Feb, Taib mengumumkan beliau akan berundur daripada jawatan ketua menteri mulai 28 Feb dan beliau akan digantikan oleh Menteri Tugas-tugas Khas di Pejabat Ketua Menteri dan anggota Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Adenan Satem, yang juga angota Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu.

    Upacara angkat sumpah ketua menteri Sarawak yang baharu dijadual berlangsung pada 28 Feb.

    Pada sidang media selama hampir sejam itu, Taib, yang menerajui pentadbiran negeri Sarawak selama 33 tahun, juga menyatakan kesediaan beliau untuk berkongsi buah fikiran dengan penggantinya, jika diminta berbuat demikian.

    "Saya tidak tahu sama ada beliau akan memerlukan sebarang nasihat daripada saya, tapi sekiranya timbul keadaan baharu dan sekiranya kepimpinan baharu berpendapat mereka memerlukan pandangan saya, saya bersedia memberinya kepada mereka dengan segala senang hati...tapi, saya tidak pasti sama ada beliau ( Adenan) perlu meminta nasihat umum daripada saya," katanya.

    Sambil secara tidak langsung mengesahkan khabar angin bahawa beliau akan mengambil alih jawatan Yang Dipertua Negeri Sarawak daripada Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 92, yang akan tamat penggal perkhidmatannya pada 28 Feb ini, Taib berkata nasihat yang akan beliau beri kepada penggantinya adalah berbeza daripada yang diberi Adenan kepadanya (daripada ketua menteri kepada Yang Dipertua Negeri).

    "Nasihat yang saya berikan adalah berbeza dengan nasihat yang beliau beri kepada saya kerana nasihat beliau kepada saya bersifat agak mandatori...yang perlu saya patuhi sebagai Yang Dipertua Negeri," katanya.

    Terdahulu, Taib yang merupakan Ketua Menteri Sarawak keempat dan mula menyandang jawatan itu pada 26 Mac 1981, juga menyuarakan kesyukurannya kerana berpeluang menyumbang khidmat bakti kepada negeri ini.

    "Saya tidak menjangka akan berkhidmat selama itu, namun saya gembira kerana dapat melihat negeri kami berkembang maju dan melahirkan sebuah masyarakat yang kohesif melalui usaha yang dilaksanakan secara serius untuk masa depan kami yang lebih cerah.

    Politik kami juga agak sederhana dan saya percaya faktor inilah yang membentuk keperibadian rakyat Sarawak," katanya.

    Taib juga gembira dengan perpaduan serta persefahaman yang dipamerkan masyarakat pelbagai etnik dan agama di Sarawak, yang menurut beliau membolehkan semua masalah diselesaikan secara kolektif dan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri ini.

    Mengenai modal insan dan potensi yang dimiliki masyarakat Sarawak, Taib berkata beliau yakin penubuhan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) akan membawa perubahan terhadap negeri ini, terutama dari segi demografi penduduk.

    "Saya percaya Score akan menarik lebih banyak orang ke wilayah tengah Sarawak dan malah saya yakin kawasan pedalaman juga akan menjadi lebih maju dengan adanya Score," katanya.

    Taib berkata limpahan projek itu dijangka melonjakkan industri pelancongan melalui pembukaan lebih banyak bandar, dan pada waktu sama, meningkatkan pergerakan rakyat Sarawak serta membolehkan mereka menikmati paras pendapatan lebih tinggi.

    Menyentuh senario politik di negeri ini, Taib berkata beliau berjaya mengesan kemunculan beberapa pemimpin generasi muda yang memiliki bakat besar dalam bidang politik.

    "Saya sudah mengesan satu atau dua bakat dalam kalangan generasi muda dan saya yakin terdapat lebih banyak lagi.

    Seperti yang anda lihat, kualiti YB (wakil rakyat) kami meningkat daripada satu pilihan raya ke satu pilihan raya.

    "Saya percaya bahawa apabila parti komponen BN berasaskan kaum Cina (SUPP) dapat menyelesaikan masalah politik mereka, mungkin dua atau tiga tahun lagi, kami akan mempunyai generasi muda yang lebih berkemampuan untuk mentadbir negeri dengan amat baik," katanya.

    Sebagai penutup bicara, Taib berkata rakyat Sarawak amat menyedari hakikat bahawa mereka perlu terus bersatu dan memelihara kestabilan politik kerana ia merupakan prasyarat untuk mereka menikmati masa depan lebih gemilang.-- BERNAMA

  • Pasukan VAT69 Tembak Penceroboh Bersenjata Hampiri Mereka - Saksi

    By Admin →

    Pasukan VAT69 Tembak Penceroboh Bersenjata Hampiri Mereka - SaksiKOTA KINABALU, 21 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Jumaat diberitahu bahawa pasukan komando VAT69 melepaskan tembakan ke arah tiga penceroboh bersenjata selepas mereka menuju dalam keadaan tergesa-gesa ke arah pasukan VAT69.

    Menceritakan detik cemas itu, Inspektor Mazrul Mansor, anggota komando VAT69 berkata apabila melihat tiga penceroboh itu menuju ke arah pasukannya, beliau telah mengarahkan pasukannya berada dalam keadaan bersedia.

    "Apabila pihak penceroboh menghampiri kami, saya arahkan pasukan saya menembak ke arah mereka," katanya pada hari ke-21 perbicaraan 30 individu yang didakwa terhadap pelbagai pertuduhan berkaitan kegiatan pengganas di Sabah tahun lepas.

    Semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Wahab Mohamed, saksi pendakwa ke-10 itu berkata selepas itu beliau melihat seorang daripada penceroboh yang memegang senjata api itu rebah manakala dua lagi berjaya melepaskan diri.

    Beliau berkata kejadian itu berlaku semasa beliau dan pasukannya sedang melakukan operasi pintas di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu pada 3.30 petang 6 Mac tahun lepas.

    Mazrul berkata kejadian tembak menembak dengan penceroboh bersenjata itu berlangsung antara 15 minit sehingga 20 minit.

    Abdul Wahab : Adakah kamu atau anggota pasukan kamu pergi melihat penceroboh bersenjata yang rebah itu?

    Mazrul: Saya tidak arahkan sesiapa anggota saya pergi tengok memandangkan ketika itu ada lagi tembakan ke arah kami.

    Ini boleh mendatangkan bahaya kepada kami semua.

    Abdul Wahab : Adakah kamu mendengar bunyi tembak menembak dari pasukan lain yang sedang melakukan operasi pembersihan di kawasan lain?

    Mazrul : Ya ada, dari arah kanan dan kiri kami.

    Ditanya Abdul Wahab apakah pakaian yang dipakai penceroboh itu, Mazrul berkata seorang memakai seluar dan baju berceloreng manakala dua lagi memakai seluar celoreng bersama baju T berwarna putih.

    Mazrul berkata beliau melihat seorang yang memakai seluar celoreng dan baju T putih memegang senjata api laras panjang.

    Beliau berkata sebelum kejadian tembak menembak berlaku, beliau dan anggota pasukannya melihat tiga penceroboh itu pada jarak 30 meter sebelum mereka bergerak secara tergesa-gesa ke arahnya dan pasukan.

    Katanya operasi pintas di Kampung Tanjung Batu itu berakhir pada 22 Mac tahun lepas.

    Terdahulu Mazrul dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa pada 28 Feb tahun lepas beliau dan pasukannya telah diberikan taklimat berhubung tinjauan rapat yang akan dilakukan di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

    Beliau yang diberikan tugasan di Sektor A, berkata tujuan tinjauan rapat itu ialah bagi mengenal pasti kekuatan pasukan penceroboh, kedudukan dan juga kubu mereka di Sektor A.

    Saksi itu berkata pada 1 Mac tahun lepas pukul 10 pagi, semasa sedang membuat tinjauan rapat di Sektor A, Kampung Tanduo, beliau dan pasukannya mendengar bunyi tembak menembak bertalu-talu dari Sektor B, C dan D iaitu jarak 1km dari Sektor A.

    Kepada soalan Abdul Wahab apakah jenis senjata yang digunakan dan letupan itu, Mazrul berkata "berdasarkan pengalaman saya tembakan itu menggunakan senjata api jenis M16 manakala letupan itu menggunakan bom tangan".

    Sebanyak 30 tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan dalam kes ini.

    Mereka berdepan pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

    Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 2013.Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung yang diadakan di Jabatan Penjara Sabah bersambung 3 Mac.-- BERNAMA

  • Polis Tingkat Keselamatan Di Kawasan Perindustrian, Pelancongan Sarawak

    By Admin →

    MIRI, 21 Feb (Bernama) -- Polis akan menempatkan satu batalion khas Pasukan Gerakan Am ( Polis Tingkat Keselamatan Di Kawasan Perindustrian, Pelancongan Sarawak PGA) dan polis marin di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu bagi meningkatkan aspek keselamatan kawasan itu, yang merupakan sebahagian kawasan pelaburan utama Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

    Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kehadiran polis mengawasai kawasan darat dan laut di kawasan perindustrian itu dapat memberi keyakinan kepada pelabur tempatan dan asing yang beroperasi di situ.

    "Sebuah bangunan telah dikenal pasti di Samalaju untuk dijadikan balai sementara dan sekiranya semua infrastruktur mencukupi, anggota-anggota PGA akan ditugaskan di sana.

    "Kita juga sedang berunding dengan kerajaan negeri Sarawak untuk mengenal pasti tapak sesuai untuk membina infrastruktur menyeluruh untuk menempatkan satu batalion PGA di sana," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kompleks Batalion 12 PGA Miri dan Balai Trafik Miri Jumaat.

    Pada Ogos tahun lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan Persekutuan merancang membina sebuah balai polis tahap Kelas A di Samalaju dengan anggaran RM14 juta yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti perumahan dan dewan.

    Bagi bandar raya ini, Khalid berkata polis akan menyewa premis di kawasan Desa Senadin untuk dijadikan balai sementara.

    "Saya dimaklumkan oleh Menteri Muda Komunikasi negeri Datuk Lee Kim Shin populasi penduduk Desa Senadin melebihi 100,000 orang tetapi tidak ada balai polis,"katanya.

    Buat sementara waktu, katanya polis akan menyewa premis di Desa Senadin untuk meningkatkan kehadiran polis selain Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang bakal diperluas ke bandar raya ini.

    Sementara itu, Lee memberi jaminan akan membantu polis untuk mencari lokasi premis yang sesuai dijadikan balai sementara Desa Senadin.-- BERNAMA

  • Kumpul petisyen bantah Taib sebagai TYT didalangi pembangkang

    By Admin →

    KUCHING: Tindakan mengumpul petisyen menggunakan laman sesawang untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membantah cadangan pelantikan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak selepas beliau melepaskan jawatan Ketua Menteri pada 28 Februari ini diyakini didalangi parti pembangkang.

    Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri Abdullah Saidol berkata, tindakan itu sebagai cubaan mengalihkan perhatian umum daripada masalah dalaman dihadapi parti pembangkang sendiri yang semakin hari semakin menyerlahkan kelemahan mereka.

    “Saya yakin tindakan yang diambil oleh pihak tertentu ini didalangi oleh parti pembangkang yang cuba mengalihkan perhatian kita daripada masalah dalaman mereka yang semakin hari semakin menyerlahkan kelemahan mereka.

    “Siapa dan apa hak mereka ini untuk mengajar kita orang Sarawak tentang corak kepimpinan kita?” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu semalam.

    Abdullah yang juga pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak menambah, sikap ‘mereka’ itu secara tidak langsung memberi gambaran sebenar tentang amalan budaya politik mereka yang biadap dan angkuh.

    Menurutnya semua wakil kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) Sarawak dalam mesyuarat yang lepas telah sebulat suara bersetuju mencadangkan Taib dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri selepas beliau bersara pada 28 Februari ini.

    “Mungkin ‘mereka’ lupa BN Sarawak menang majoriti dalam Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum lepas.

    “Oleh itu, ingin saya mengingatkan mereka ini supaya kemaskan rumah mereka sendiri dahulu, sebelum sibuk tentang rumah kami di Sarawak,” ujarnya.

    Beliau memberitahu, kepimpinan BN di Sarawak ingin meneruskan falsafah politik pembangunan yang akan memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar dan ia hanya dapat dilakukan dengan persefahaman kukuh serta bantuan peruntukan dari kerajaan persekutuan. - utusan borneo

  • Warga Malaysia antara yang ditahan di India terlibat dengan skim penipuan MLM

    By Admin → Thursday, 20 February 2014

    KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga Malaysia telah ditahan oleh polis Andra Pradesh di India kerana dipercayai terlibat dengan kes penipuan pelaburan wang berjumlah 160 crore Rupees (RM85 juta) melalui syarikat skim pemasaran berlapis (MLM) dan skim modal putaran.

    Wanita yang berusia 50 tahun itu dikehendaki oleh polis kerana dipercayai terlibat dengan 21 kes penipuan di Andra Pradesh dan suspek ditahan di Lapangan Terbang Chennai di Tamil Nadu oleh pihak berkuasa imigresen pada Ahad lalu.

    Memetik laporan berita Press Trust of India (PTI), wanita tersebut ditahan ketika sedang menanti penerbangannya ke Malaysia, kata seorang pegawai Jabatan Siasatan Jenayah itu yang enggan dikenali.

    Sepasukan polis dari Andra Pradesh telah dihantar ke Chennai untuk membuat tangkapan tersebut dan wanita itu kini telah dihadapkan ke mahkamah di Nellore, Andra Pradesh untuk direman.

    Suspek dan empat lagi rakannya dipercayai telah mewujudkan sebuah syarikat skim pemasaran berlapis dan mengutip deposit dari pelabur di Andra Pradesh secara haram dengan menjanjikan pulangan yang lumayan, kata pegawai polis tersebut.

    Kesemua suspek kini disiasat untuk 21 kes tersebut dibawah Kanun Keseksaan India dan Akta Putaran Wang dan Hadiah 1978. - Astro

  • Barang antik, cenderamata Ketua Menteri Sarawak hilang

    By Admin →

    KUCHING - Beberapa barangan antik dan cederamata di kediaman rasmi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di Demak Jaya di sini semalam hilang dipercayai angkara perbuatan khianat pekerja sendiri.

    Kejadian tersebut disedari oleh seorang pekerja di kediaman itu yang mahu datang bekerja pada pukul 8 pagi semalam.

    Satu sumber berkata, siasatan polis mengesyaki kehilangan barang-barang tersebut bukan disebabkan rompakan tetapi perbuatan khianat oleh pekerja di kediaman Abdul Taib. - kosmo

  • Husni nafi letak jawatan kabinet

    By Admin →

    KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menafikan khabar angin kononnya beliau merupakan salah seorang daripada dua menteri daripada Umno yang akan meletak jawatan pada rombakan Kabinet akan datang.

    Sebaliknya Ahmad Husni menegaskan beliau merupakan seorang yang sukakan cabaran dan kerjayanya.

    "Tak ada begitu...saya tak tahu bagaimana (khabar angin) itu muncul," katanya kepada pemberita pada Khamis.

    Beliau berkata jawatan seorang menteri Kabinet diperlukan demi memastikan kestabilan, keamanan dan kemakmuran di negara ini.

    Oleh itu katanya, tanggungjawab tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu dan bukan memikirkan berapa lama seseorang itu perlu kekal sebagai menteri.

    "Saya seorang yang sentiasa menyayangi kerja saya. Lebih mencabar lebih bagus. Jika semuanya baik maka di mana cabarannya? Cabaran itu akan menjadi pendorong,"katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cakap-cakap bahawa dua Menteri Kabinet akan melepaskan jawatan kerana tidak berpuas hati dengan perjalanan pentadbiran kerajaan.

    Sebuah portal berita melaporkan seorang menteri yang berada dalam kumpulan pentadbiran ekonomi tidak berpuas hati dengan pentadbiran sedia ada.

    Ketika ini kumpulan menteri Kabinet yang berada dalam kelompok berkenaan ialah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Husni; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. - mStar

  • Lelaki parah ditembak dari jarak dekat

    By Admin →

    KULIM - Seorang lelaki yang membonceng motosikal cedera parah ditembak dari jarak dekat semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat, di Lebuh Raya Kulim-Baling di sini hari ini.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, DSP Chin Soo Song berkata dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa berumur 38 tahun membonceng motosikal yang ditunggang rakan wanitanya dari arah Taman Desa Aman, Sungai Karangan dekat sini menghala ke Lunas.

    Semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat itu, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal dengan mengikuti mangsa dari arah belakang tiba-tiba seorang daripadanya melepaskan beberapa das tembakan dipercayai mengenai bahagian rusuk dan dada mangsa.

    Akibat tembakan jarak dekat itu, mangsa terjatuh daripada motosikal yang diboncengnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

    Beliau berkata, suspek kemudiannya meninggalkan lokasi kejadian menuju ke arah Lunas dengan sebuah motosikal bernombor pendaftaran PKT 7724.

    Chin berkata mangsa yang parah kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan dan sehingga kini masih berada dalam keadaan kritikal.

    Beliau berkata, siasatan awal polis menemui dua kelongsong peluru di lokasi kejadian dan pihaknya juga tidak menolak kemungkinan motif kejadian itu adalah akibat dendam.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat melalui talian 012-5551341 atau menghubungi mana-mana balai polis berdekatan, katanya. - Bernama

  • Kemaskini: Mayat lelaki dijumpai di Padungan

    By Admin →
    Mayat seorang lelaki dalam keadaan meniarap dijumpai berhampiran bangunan MAA, Jalan Sentral Timor, di Padungan Kuching.

    Mayat yang dipercayai berbangsa cina, dijumpai oleh pengawal keselamatan setelah mendengar seperti bunyi dentuman dibumbung tingkat 2, kira-kira pukul 9.30 pagi.

    Maklumat awal mengatakan lelaki tersebut di percayai membunuh diri, seorang saksi mengatakan mangsa telah terjun melalui sebuah tingkap di tingkat 9.

    Pihak berkuasa bergegas ke tempat kejadian setelah menerima laporan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

    Sementara menunggu laporan perubatan dan siasatan lanjut, pihak berkuasa mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.

  • VAT 69 berundur setelah dengar " You go, I go"

    By Admin →

    KOTA KINABALU - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa sekumpulan enam atau tujuh penceroboh bersenjata berundur selepas seorang anggota komando VAT69 yang menjalankan misi pengintipan di Kampung Tanduo tahun lepas berkata kepada mereka “You go, I go”.

    Komando VAT69 Insp Rosmadi Rosli berkata selepas berkata "You go, I go", ketua kumpulan itu mengangguk dan menuuju ke arah semak sambil memberi isyarat dengan menyilang dua tangannya.

    Menjawab soalan dalam pemeriksaan utama oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tentang maksud isyarat itu, Rosmadi berkata beliau berpendapat isyarat itu adalah untuk memaklumkan kepada mereka yang bersembunyi di dalam semak supaya tidak melakukan sebarang tindakan.

    Rosmadi, yang mengetuai Pasukan E dalam satu pengintipan jarak dekat pada 1 Mac 2013, berkata selepas kumpulan penceroboh bersenjata itu berundur, beliau dan pasukannya juga beredar kira-kira 500 meter dari tempat kejadian iaitu berhampiran sebuah surau.

    Kata pegawai itu, beliau melaporkan kejadian berkenaan, yang berlaku pada jam 7 pagi, kepada Martek VAT69 di Felda Sahabat.  

    Menjawab soalan Abdul Gani kenapa beliau tidak menembak para penceroboh bersenjata itu dari jarak jauh, Rosmadi berkata: "Kami ke sana hanya untuk melakukan pengintipan jarak dekat dan diberi arahan supaya tidak melepaskan tembakan, melainkan ditembak terlebih dahulu".

    Terdahulu, Rosmadi memberitahu mahkamah bahawa beliau dan pasukannya ternampak enam hingga tujuh orang keluar daripada surau menuju ke arah mereka, dengan beberapa orang daripada mereka memakai pakaian penyamaran dan yang lain pula, berpakaian biasa.

    Katanya dua daripada mereka membawa senjata api, manakala selebihnya memegang senjata seperti parang.

    Abdul Gani: Apabila anda ternampak mereka, apa yang anda lakukan?

    Rosmadi: Saya memberitahu orang saya supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan;

    Abdul Gani: Apabila mereka datang semakin dekat, apa yang terjadi?

    Rosmadi: Apabila mereka menuju ke arah kami, mereka memberi isyarat dengan tangan supaya kami meninggalkan tempat itu.

    Mereka menggunakan sebelah tangan untuk memberi isyarat itu dan sebelah tangan lagi menghayun parang.

    Rosmadi berkata penceroboh bersenjata itu berada kira-kira 10 hingga 15 meter dari pasukannya dan seorang daripada penceroboh, yang beliau percaya adalah ketua mereka, berhenti dan memberi isyarat ‘potong kepala’ sambil menghayun sebilah parang.

    "Apabila orang berkenaan menunjukkan isyarat ‘potong kepala’, adakah mana-mana orang anda bersuara kepada anda?," tanya Abdul Gani.

    Rosmadi: Orang saya berkata ada pergerakan di dalam semak di sebelah kiri mereka, kemungkinan ada orang bersembunyi di situ.Abdul Gani: Selepas itu, apa tindakan anda?

    Rosmadi : Selepas itu, saya mara ke hadapan dan berkata kepada kumpulan penceroboh bersenjata berkenaan “You go, I go”.

    Saksi kesembilan ini juga memberitahu mahkamah bahawa pada kira-kira pukul 6 pagi sebelum kejadian itu, beliau dan pasukannya mendengar bunyi enjin sebuah bot, yang bergerak selari dengan garisan pantai menuju ke arah surau berkenaan.

    Beliau berkata apabila bot itu lalu di tempat berkenaan, kumpulannya memberi isyarat tangan supaya ia menuju ke arah mereka dan ternampak dua lelaki menaiki bot itu.

    Kata Rosmadi, apabila melakukan pemeriksaan, kumpulannya menemukan lapan wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan di dalam sebuah ruang di bahagian bawah bot itu, tetapi tiada sebarang senjata ditemukan.

    "Selepas itu, saya menghubungi polis marin dan kesemua 10 orang yang menaiki bot itu dibawa ke arah Felda Sahabat," katanya dalam perbicaraan 30 individu yang dituduh menjalankan kegiatan berkaitan pengganas di Sabah tahun lepas.

    Tertuduh terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan.

    Setengah mereka menghadapi tuduhan menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, membawa masuk individu untuk menganggotai kumpulan pengganas atau dengan sukarela melindungi individu yang mereka tahu menganggotai kumpulan pengganas.

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.Pendengaran di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah ini, bersambung esok. - Bernama

  • Remaja perempuan direjam kerana Facebook

    By Admin →

    DAMSYIK - SYRIA. Seorang remaja perempuan direjam hingga mati oleh kumpulan pelampau di Syria kerana mempunyai akaun laman sosial Facebook.

    Mahkamah Syariah di Al- Reqqa menjatuhkan hukuman mati kepada Fatoum al-Jassem ekoran perintah di negara itu yang menganggap pemilik akaun Facebook tergolong dalam kumpulan komuniti tidak bermoral.

    Media tempatan melaporkan, mangsa dibawa ke mahkamah oleh militan Iraq dan Syria (ISIS) selepas ditangkap menggunakan rangkaian laman sosial tersebut.

    "Mahkamah yang berada di bawah bidang kuasa ISIS memutuskan mereka yang mempunyai akaun Facebook berhak dihukum dengan cara yang sama seperti kesalahan melakukan zina," menurut laporan itu. - Dailymail

  • BR1M 2014 lebih tersusun dan dekat di hati rakyat

    By Admin → Wednesday, 19 February 2014

    PUTRAJAYA: Proses pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia‎ (BR1M) 2014 kali ini disifatkan lebih tersusun selain dekat di hati penerima.

    Menteri Kewangaan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, ia tanda keprihatinan Kerajaan selaras peralihan dasar pelaksanaan subsidi kepada golongan sasar.

    "Secara keseluruhan, BR1M kali ini dijangka memanfaatkan hampir 4.63 juta isi rumah dan 2.4 juta individu bujang.

    "Istimewanya kali ini kita turut bayar ‎kepada 5 juta pemilik akaun. Bantuan itu akan terus masuk dan kita harap penerima dapat berbelanja sebaik mungkin," katanya.Ahmad Husni berkata demikian semasa ditemui di pejabatnya di sini hari ini‎.

    BR1M 2014 akan dilancar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu ini di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

    Pada hari berkenaan, bayaran akan terus dikreditkan ke dalam akaun penerima secara serentak di seluruh negara.

    Ia memastikan penerima tidak perlu menunggu lama seperti pemberian sebelum ini.

    Bagaimanapun bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank, bayaran akan dilaksanakan melalui pemberian baucar secara berperingkat.

    Ahmad Husni ‎berkata, konsep BR1M turut diaplikasi di luar segara selaras membuktikan Kerajaan sentiasa membantu meringankan beban rakyat‎ menampung kos sara hidup.‎

    Jelasnya, program BR1M juga akan ‎diteruskan dengan konsep tambah baik yang akan diperkenalkan dari tahun ke tahun.

    Dalam pada itu, ketika ditanya apakah model pemberian BR1M 2014 akan diubah pada masa depan supaya ia dilihat lebih praktikal, ini katanya;"Sekarang kita lihat untuk menggunakan kad debit. Kita letak jumlah tertentu untuk satu bulan dan spesifik keperluan asas yang perlu untuk sesebuah isi rumah," ujarnya.

    Tambah Ahmad Husni, di bawah BR1M 2014, Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia, (i-BR1M) dengan nilai perlindungan maksimum sehingga RM30,000 turut diperkenalkan.

    "Penambahan nilai kali ini diharap meringankan beban hidup rakyat terutama golongan yang tinggal di bandar," jelasnya.

    Katanya, peningkatan kelayakan pendapatan penerima daripada RM3,000 kepada RM4,000 memastikan lebih ramai rakyat menikmati bantuan itu.- Astro

  • Tukang Urut Warga China Berpura-Pura Sakit Jantung

    By Admin →

    KUALA TERENGGANU: Seorang tukang urut wanita warga China berpura-pura sakit jantung apabila pusat urut tempat beliau bekerja diserbu Jabatan Imigresen Terengganu, di sini Selasa malam.

    Penolong Pengarah Imigresen Terengganu, Mohd Shahrir Khalil berkata wanitaberusia 30-an itu mengadu sakit jantung dan terpaksa diusung pegawaipenguatkuasa sehingga ke dalam van.

    Katanya, dalam serbuan tiga jam bermula 8.30 malam di Kampung Dalam itusembilan wanita warga China yang sedang leka melayan pelanggan di premisberkenaan turut diperiksa.

    "Hasil pemeriksaan kita dapati kesemua wanita warga China yang berusia 37 hingga 46 tahun itu mempunyai permit kerja sah, sebelum kesemua merekadibebaskan," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

    Operasi disertai 20 anggota penguatkuasa.Katanya, sebanyak 12 orang pelanggan warga tempatan yang berada di premisberkenaan juga diperiksa dan kemudian dibebaskan.

    Sementara itu, dalam serbuan berasingan di bandar ini, dua wanita warga asing berusia 47 dan 49 tahun yang bekerja sebagai tukang urut di sebuahpremis ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen sah. -BERNAMA

  • Sarawak Berusaha Dapat Penyerang Australia

    By Admin →

    KUCHING, 19 Feb (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sedang berusaha untuk mendapatkan khidmat penyerang kebangsaan Australia, Ryan Griffith, bagi menggantikan pemain import sedia ada yang kurang menyerlah.

    Menurut sumber, FAS sedang mengadakan perbincangan dengan pemain kelab Adelaide United dalam Liga Australia itu dengan hasrat dapat mendaftarkan pemain berusia 31 tahun itu apabila pintu perpindahan Liga Malaysia dibuka pada 22 Mac ini.

    Ketua jurulatih Robert Alberts, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan pasukan itu menimbang untuk mendapatkan semula penyerang Australia itu.

    Pada tahun lepas, FAS gagal mendaftarkan Griffith selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mengiktiraf pemain itu sebagai pemain import dari benua Asia.

    Mengikut peraturan FAM, setiap pasukan Liga Super dan Liga Perdana musim 2014 boleh menggunakan tiga pemain import termasuk seorang dari benua Asia.

    Justeru, Sarawak telah mengikat dua penyerang import, Alireza Abbasfard Rahim dari Iran, Milorad Janjus dari Serbia dan pemain tengah merangkap penyerang kelahiran Bosnia, Muamer Salibasic.

    "Kami sedang berusaha ke arah itu...dia (Griffith) sepatutnya menjadi penyerang kami tetapi FAM tidak meluluskan," kata Alberts selepas pasukan bimbingannya tersingkir pada suku akhir Piala FA semalam.

    Pada aksi suku akhir kedua Piala FA di Stadium Negeri di sini, Felda United layak ke separuh akhir berdasarkan jaringan gol di tempat lawan selepas seri 2-2 dengan Sarawak.Alberts mengakui pasukannya bermain bersungguh-sunguh tanpa penyerang yang efisien.

    "Secara keseluruhan, tidak ada apa-apa aduan kecuali persembahan Alireza dan Milorad yang masih jauh daripada kualiti yang diharapkan," katanya.-- BERNAMA

  • Aduan Penduduk Taman Rassnorm dapat perhatian

    By Admin →

    Masalah perparitan yang dialami penduduk Taman Rassnorm akhirnya mendapat perhatian dari Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof.

    Setiausaha Sulit beliau, Morshidi Hj Sa-id telah membuat tinjauan ke kawasan terbabit bagi melihat sendiri saluran perparitan yang tersumbat disebabkan pasir.

    Morshidi bersama wakil Dewan Bandaraya Kuching Utara  (DBKU) membuat tinjauan berikutan aduan rakyat yang bimbang masalah tersebut akan mengakibatkan banjir jika hujan lebat.

    Pasir yang mengakibatkan saluran tersumbat akan disedut keluar, dan perparitan baru akan dibina bagi mengatasi masalah ini.

    Kerja-kerja pembinaan tersebut akan dilakukan oleh pihak DBKU.

  • Press Metal’s future earnings to remain intact despite insurance claim setback

    By Admin →

    KUCHING: Press Metal Bhd’s (Press Metal) future earnings are expected to remain intact despite the recent minor insurance claim setback.

    In its filing to Bursa Malaysia on Monday, Press Metal had highlighted that for the financial year ended December 31, 2013 (FY13), the group has provided an estimated RM90 million for both operating losses and assets written off.

    According to AmResearch Sdn Bhd (AmResearch), an operating loss of RM20.3 million was already recognised in the third quarter (3Q) for fixed operating charges and finance cost incurred for the Mukah plant, resulting in a net loss of RM1.6 million in the quarter.

    “While we expect some losses for its 4QFY13 result, this will be one-off in nature. As such, we expect FY13F core net profit to remain intact at RM97.8 million,” the research house projected.

    In addition, the Mukah plant is expected to reach full capacity (120,000 tonnes per annum) in early March while its Samalaju is already at 100 per cent utilisation rate of 320,000 tonnes per annum.

    Meanwhile, as aluminium prices have been coming down 18 per cent year on year to US$1,703 per tonne currently, the research house noted that global premiums have been increasing from US$200 per tonne to as high as US$500 per tonne.

    As such, average selling prices were not much changed on an absolute basis.All in all, Press Metal continues to enjoy competitive advantage due to its lower power cost compared to peers.

    In conclusion, AmResearch reiterated that despite the minor setback on insurance claim, its thesis on Press Metal remains intact with future earnings driven by full production at both Mukah and Samalaju plants and higher premiums due to lack of deliveries in the physical aluminium market.

    It is also driven by Sumitomo’s 20 per cent stake in Bintulu plant that comes with off-take agreement and the reduction of net gearing to 1.2-fold in FY14F from 1.5-fold in end-August 2013.

    “Further upside stems from a positive settlement/agreement for the insurance claims,” the research house added.

    As such, AmResearch maintained ‘buy’ on Press Metal with a tweaked fair value of RM3.04 per share from RM3.07 per share previously based on a 12-fold price earnings (PE) of FY1F core fixed deposit (FD) earnings per share (EPS) of 25.3sen.- Borneo Post