TERKINI

Berita Sarawak

Politik

Nasional

Kolumnis

Berita Iban

English

Hiburan

Sukan

pelbagai

Luar Negara

Recent Posts

  • Pakatan Harapan Sukar Raih Sokongan Bukan Melayu

    By Azmin Ramlie → Tuesday, 23 January 2018
    MEMANDANGKAN tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14 ) akan diumumkan pada bila-bila masa, pelbagai ramalan terhadap keputusan PRU-14 dibuat saban hari.

    Antaranya, ada yang berpendapat, Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Mohd Najib Razak, mampu mempertahankan Putrajaya dengan mudah, malah akan memperoleh keputusan lebih baik daripada PRU-13.

    Ada pula yang berpendapat, BN akan menghadapi kesulitan dalam mengalahkan Pakatan Harapan yan dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad kerana Pakatan Harapan dijangka akan melawan BN sampai titik darah penghabisan.

    Ada yang berpendapat, PRU-14 akan menyaksikan 'tsunami Melayu' yang dijangka akan mencorak hala tuju politik negara.

    Penganalisis politik melihat PRU-14 sebagai medan pertembungan hebat antara dua pemimpin dan parti mewakili kepentingan orang Melayu. Namun, sejarah pilihan raya Malaysia menunjukkan, BN yang ditunjangi UMNO, pernah menewaskan pembangkang yang mewakili Melayu.

    BN pernah menumbangkan Parti Semangat 46 (S46) yang menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan Barisan Alternatif (BA) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyertai Pakatan Rakyat.

    Tengku Razaleigh Hamzah yang mendapat sokongan hebat dan hampir seimbang dengan Dr Mahathir, Presiden UMNO ketika itu juga sukar meraih sokongan pengundi Melayu, apabila melawan merebut jawatan presiden.

    Undi Melayu pernah berpecah kepada dua parti terbesar, UMNO dan S46 yang mewakili kepentingan Melayu, ekoran episod Razaleigh lawan Mahathir untuk merebut jawatan presiden UMNO. Namun, S46 yang bekerjasama dengan PAS dan DAP ketika itu gagal menumbangkan UMNO/ BN.

    BN memenangi 127 kerusi (70.6 peratus) daripada jumlah 180 kerusi pada PRU 1990 dan 162 kerusi (84.4 peratus) daripada 192 kerusi pada PRU 1995.

    Begitu juga, PKR yang ditubuhkan oleh penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, apabila beliau dipecat daripada UMNO dan jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh UMNO yang dipimpin Mahathir, ternyata sukar meraih sokongan pengundi Melayu.

    BN menang banyak kerusi

    UMNO pimpinan Najib menang 109 kerusi daripada 133 kerusi yang ditawan oleh BN pada PRU-13. Dalam pada itu, keputusan PRU-13 menunjukkan PAS adalah parti yang menerima sokongan hebat daripada parti lain yang menyertai Pakatan Rakyat. PAS memperoleh sokongan 44.34 peratus diikuti PKR, 34.13 peratus, manakala DAP hanya mendapat sokongan 24.01 peratus.

    PKR sejak ditubuhkan dilaporkan hanya meraih 28 peratus sokongan undi Melayu. Bersandarkan profil sokongan itu, apakah Pakatan Harapan mampu meraih sokongan pengundi Melayu pada PRU-14?

    Baru-baru ini, PAS umum akan bertanding lebih 130 kerusi pada PRU-14. Undi Melayu dijangka akan pecah kepada BN, Pakatan Harapan dan PAS. Malah, penyokong PAS yang pernah menyokong PKR dan DAP pada PRU-13 dijangka bukan sahaja kembali menyokong PAS di kawasan majoriti Melayu, malah akan memecahkan undi Melayu di kawasan campuran yang boleh menafikan peluang kemenangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

    Apatah lagi, kini berlaku peningkatan kadar sokongan pengundi Cina dan India terhadap BN. Sokongan pengundi Cina pada PRU-13 sebanyak 15 peratus meningkat kepada 30 peratus, manakala pengundi India 43 peratus kepada 60 peratus.

    Ditambah lagi dengan penolakan Pakatan Harapan oleh penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana pemimpin beliau tersadai, tidak diberi peluang menjadi calon PM seperti diharapkan. Maka peluang bagi BN menawan Putrajaya lebih cerah .

    Apa pun, pengundi Melayu tidak sanggup mengabaikan UMNO yang berjaya memperkasakan ekonomi mereka, sekali gus meningkatkan kualiti kehidupan mereka sejak merdeka.

    Penulis adalah Penganalisis Politik Felo Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi dan Multimedia - BHOnline
  • Hasrat PAS 'Angan-Angan Mat Jenin' - Tun M

    By Azmin Ramlie →
    PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan hasrat PAS untuk bertanding di lebih 130 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai 'angan-angan Mat Jenin'.

    Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, PAS kadang kala hanya memenangi satu kerusi Parlimen, namun parti itu masih mempunyai cita-cita tinggi.

    "Mereka (PAS) mahu bertanding di lebih 100 kerusi (Parlimen), biarkan mereka bertanding kerana tujuan sebenar PAS menyertai pilihan raya hanya untuk memecahkan undi (parti) yang menentang, yang akan pergi kepada PH, jadi BN (Barisan Nasional) akan menang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

    Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini memaklumkan parti itu akan bertanding lebih 130 kerusi Parlimen pada PRU-14, dengan harapan memperoleh sekurang-kurangnya majoriti mudah.

    Ditanya sama ada PAS perlu meninggalkan kedudukan dalam Kerajaan Selangor selepas Abdul Hadi menyatakan hasrat menawan negeri itu, Dr Mahathir berkata, PAS sepatutnya meninggalkan kerajaan negeri.

    "Saya tidak nampak mengapa (PAS tidak meninggalkan kerajaan Selangor)...sudah tentu ia selesa," katanya.

    Sementara itu, Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun berkata, PH akan memastikan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri hanya terhad kepada dua penggal saja jika pakatan itu memenangi PRU-14.

    "Saya ialah Perdana Menteri yang berkhidmat paling lama tetapi kita tidak boleh ada lagi sesiapa yang mahu berkhidmat lebih lama daripada saya.

    "Kita hanya boleh benarkan mereka berkhidmat dua penggal saja, cukup untuk melaksanakan apa yang dirancang," katanya.

    Mengenai gerakan boikot PRU-14 yang didakwa dilakukan UMNO untuk mengurangkan undi kepada PH, Dr Mahathir mendakwa, ia bertujuan menguntungkan BN dan pihaknya akan mengadakan dialog bagi memberi penerangan kepada golongan muda mengenainya. - BHOnline
  • Guru Boleh Tanding Jawatan Politik Tanpa Jejas Tugas Rasmi

    By Azmin Ramlie →
    KUALA LUMPUR: Guru dari Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan bertanding sebarang jawatan politik, namun peraturan itu boleh berubah tertakluk kepada budi bicara Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.

    Perkara itu jelas dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil.9 Tahun 2010, yang turut menyatakan syarat tambahan yang difikirkan perlu dari semasa ke semasa.

    Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata, mengikut perkara itu juga, kelulusan menyertai politik boleh ditarik balik jika pegawai berkenaan dinaikkan pangkat ke jawatan pentadbiran di mana-mana agensi kerajaan, dinaikkan pangkat ke gred DG52 dan ke atas atau dikenakan tindakan tatatertib.

    Beliau berkata, syarat dikenakan pegawai yang diluluskan untuk menyertai politik perlu selari dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

    Katanya, kegiatan politik tidak boleh mengganggu tugas rasmi dan tidak boleh menggunakan pengaruh politik bagi menyelesaikan masalah peribadi atau pihak tertentu.

    "Selain itu, pegawai tidak boleh menggunakan maklumat rasmi kerajaan, peralatan dan kemudahan pejabat untuk kegiatan politik.

    "Mereka juga perlu memohon cuti tanpa rekod jika kegiatan politik membabitkan waktu bertugas.

    "Pegawai juga perlu mengisi butiran parti politik seperti nama, bahagian atau cawangan dan nama jawatan dipegang atau bertanding," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

    Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman kelmarin berhubung guru dari Gred DG41 hingga DG48 saja dibenarkan aktif dalam politik, namun perlu mendapatkan kebenaran Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.

    Sementara itu, Azih berkata, pegawai awam diingatkan mereka bukan hak milik mana-mana parti politik dan perlu mematuhi peraturan sudah ditetapkan.

    "Mereka boleh bertanding dalam sebarang jawatan politik, tetapi juga perlu akur jawatan mereka di kementerian adalah dilantik kerajaan mengikut prosedur serta syarat sudah dipersetujui ketika menjawat jawatan," katanya. - BHOnline
  • JDT Tambah Kemudahan Berkelas Dunia

    By Azmin Ramlie →
    KUALA LUMPUR: Juara Liga Super empat kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan terus menyediakan kemudahan berkelas dunia dalam usaha memastikan pemain Harimau Selatan sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

    Menerusi satu kenyataan di laman JOHOR Southern Tigers, Harimau Selatan bakal memiliki sebuah pusat latihan altitud dan kompleks hidroterapi yang turut dilengkapi dengan dapur organik untuk semua pemain pasukan itu.

    "Kemudahan ini akan disediakan di Pusat Latihan Padang Seri Gelam, Pusat Latihan Padang Mawar dan pusat latihan baharu yang akan dibina bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim nanti.

    "Walaupun JDT sudah mempunyai pusat latihan dan fasiliti yang terbaik ketika ini tetapi ini adalah visi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahukan pusat latihan baharu akan datang menjadi antara sepuluh terbaik di dunia," menurut kenyataan itu yang disiarkan, malam tadi.

    Dalam kenyataan sama, pasukan itu turut memberi bayangan bentuk Pusat Latihan Altitud dan Kompleks Hidroterapi yang akan dibina di tiga pusat latihan milik pasukan itu akan menjadi kemudahan baharu untuk dinikmati pemain.

    Berdasarkan pelbagai kemudahan yang ditawarkan, sudah pasti pemain mampu memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan dalam usaha memburu lebih banyak lagi kejayaan pada masa akan datang.

    Antara kelebihan Pusat Latihan Altitud, ia dapat membantu meningkatkan kecergasan pemain dengan mereka didedahkan dengan persekitaran rendah oksigen manakala Kompleks Hidroterapi pula boleh membantu meredakan ketegangan otot selepas latihan dan perlawanan.
  • Terima Suapan Lebih RM3 Juta?

    By Azmin Ramlie →
    KOTA KINABALU: Tiga pegawai Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang ditahan reman untuk siasatan lanjut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, dipercayai menerima suapan daripada kontraktor bernilai lebih RM3 juta sejak 2011.

    Ketiga-tiganya adalah pegawai kanan jabatan itu berusia 37, 39 dan 58 tahun. Turut ditahan seorang kontraktor berusia 42 tahun.

    Mereka ditahan di pejabat SPRM Kota Kinabalu antara jam 12 tengah hari semalam hingga jam 11.30 malam tadi.

    Sumber SPRM memberitahu, JKNS menganugerahkan projek penyenggaraan dan kecemasan kepada 27 syarikat sejak 2011, namun siasatan mendapati semua projek itu hanya dilaksanakan oleh satu syarikat kontraktor.

    Katanya, kontraktor terbabit meminjam lesen semua syarikat terbabit dengan setiap syarikat menerima komisen antara lima hingga 10 peratus daripada nilai sebenar setiap projek yang dianugerahkan JKNS.

    Difahamkan, pasukan penyiasat turut merampas wang tunai kira-kira RM170,000 daripada beberapa suspek yang ditahan, selain merampas dua motosikal berkuasa tinggi.

    "Hasil siasatan juga mendapati pegawai JKNS itu mempunyai harta yang melebihi emolumen atau pendapatan daripada pekerjaan mereka," katanya.

    Pengarah SPRM Sabah, Datuk Sazali Salbi, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan pihaknya kini dalam proses merakam percakapan saksi bagi membantu siasatan.

    Pagi tadi, keempat-empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret di sini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

    Mereka direman sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung salah laku berkaitan projek kereta api di negeri ini.

    Keempat-empatnya ditahan SPRM semalam bagi membantu siasatan berhubung pemberian rasuah membabitkan projek jabatan kerajaan negeri itu dari 2012 hingga 2017.

    Perintah dikeluarkan dalam kamar oleh Majistret Cindy MC Juce Balitus, susulan permohonan SPRM mendapatkan perintah reman bagi empat individu terbabit yang berusia 38 hingga 58 tahun, pada jam 9.45 pagi.

    SPRM diwakili Pegawai Pendakwa Mohd Faliq Basirudin manakala semua empat individu itu tidak diwakili peguam. - BHOnline
  • Menteri Pertahanan Indonesia, AS Bincang Tingkat Kerjasama 2 Hala

    By Bukan Nama Sebenar →


    JAKARTA – Menteri Pertahanan Indonesia, Ryamizard Ryacudu, bertemu rakan sejawat dari Amerika Syarikat, James Mattis, di sini pada Selasa dan kedua-duanya telah membincangkan kerjasama pertahanan dua hala, lapor agensi berita China Xinhua.

    Antara lain, mereka membincangkan langkah menubuhkan kerjasama risikan dikenali sebagai “our eyes” menyerupai kerjasama “five eyes” yang diwujudkan oleh Amerika Syarikat dengan negara-negara sekutunya.

    Selain itu, perbincangan ke arah perjanjian bagi mendapatkan kerjasama ketenteraan dan maklumat antara kedua-dua negara juga dalam agenda.

    Kedua-dua menteri pertahanan turut membincangkan pembelian peralatan ketenteraan, isu keselamatan maritim dan kerjasama antikeganasan.

    Sebelum itu, Mattis telah bertemu Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, pada malam Isnin.

    Pada pertemuan itu, Retno telah menyatakan pendirian Indonesia dalam isu seperti konflik Israel-Palestin dan Afghanistan.

    Selain mengulangi sokongan terhadap hasrat Palestin untuk menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya, Retno turut mempersoal polisi AS mengurangkan bantuan kepada Palestin.

    Beliau meminta Amerika Syarikat menimbang semula polisinya terhadap Palestin.

    Semasa lawatan beliau ke Indonesia yang bakal berakhir pada Rabu, Mattis turut dijadualkan bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo, dan Ketua Menteri Keselamatan, Wiranto. – BERNAMA
  • Pusat Servis, Bengkel Akan Diwajibkan Miliki Lesen Khas

    By Azmin Ramlie →
    PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Mac depan antara lain bakal mewajibkan pengusaha memiliki lesen khas mengendalikan perniagaan itu.

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata undang-undang berkenaan bertujuan memberi keselesaan dan menjaga kepentingan pengguna tanpa meminggirkan hak penggiat industri itu.

    Katanya, penguatkuasaannya diyakini dapat memastikan industri itu berkembang maju seiring pembangunan pesat teknologi masa kini sekali gus menjaga hak dan kepentingan pengguna.

    Semua pengusaha pusat servis kenderaan dan bengkel akan diwajibkan memiliki lesen khas bagi mengendalikan perniagaan untuk menjaga kepentingan pengguna terhadap servis berkenaan.

    Katanya, dengan penguat kuasaan undang-undang juga industri berkenaan dijangka lebih berkembang pesat sejajar dengan teknologi masa kini yang sering berubah.

    "Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengeluarkan lesen khas kepada pemilik atau pengendali pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor.

    "Lesen khas itu hanya dikeluarkan jika menepati syarat kelayakan termasuk memiliki mekanik bertauliah.

    "Selain lesen perniagaan sedia ada, lesen khas juga akan dikeluarkan. Kita umpamakan mekanik seperti doktor, lesen dikeluarkan mengikut kepakaran tertentu dan menjadi kesalahan jika memberi sesuatu perkhidmatan tanpa lesen yang sah," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri sesi perjumpaan bersama industri dan pihak berkepentingan berhubung RUU Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor di sini, hari ini.

    RUU Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan Motor dibuat berikutan aduan pengguna yang diterima KPDNKK berhubung perkhidmatan pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor.

    Tambahnya lagi, undang-undang ini juga antara lain bagi menentukan pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor beroperasi mengikut kategori dan kepakaran tertentu.

    "Tiga kategori ditetapkan iaitu pembaikan enjin, perkhidmatan penyelenggaraan dan aksesori seperti tayar manakala kategori lain akan putuskan dalam masa terdekat," katanya.

    "Undang-undang ini perlu fleksibel dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa sejajar dengan teknologi dalam bidang automobil yang sentiasa berubah.

    "Contohnya, jika dulu kenderaan motor kurang menggunakan sistem berasaskan elektronik, kini semakin banyak kenderaan menggunakannya," katanya.

    "Oleh itu, apabila sudah diluluskan di Parlimen, kita akan panggil pemilik atau pengendali pusat servis kenderaan dan bengkel kenderaan motor supaya lebih jelas mengenainya," katanya.

    Beliau berkata, pihaknya memahami mengenai perubahan dan tiada niat mahu menutup periuk nasi atau menyulitkan mereka.

    "Kita akan beri tempoh. Bagi yang sudah mempunyai perniagaan, tetapi ada mekanik atau pekerja tiada sijil kemahiran mereka perlu menghadiri kursus tertentu," katanya.

    Justeru, pihak yang gagal mematuhinya tindakan akan dikenakan. Setakat ini, pihaknya belum memutuskan bentuk hukuman dan kini masih di peringkat perbincangan.

    "Ketika ini, ada kira-kira 30,000 pengusaha bengkel kenderaan di seluruh negara. Penguatkuasaan itu dijangka dapat meningkatkan taraf profesionalisme kerjaya mekanik setanding bidang pekerjaan lain," katanya. - BHOnline
  • Minta Bantuan Bomba Untuk Bawa Pesakit Ke Hospital Sibu

    By Azmin Ramlie →

    KAPIT: Kesukaran memindahkan pesakit lelaki seberat 142 kg ke Hospital Sibu membuatkan pihak Hospital Kapit terpaksa menggunakan khidmat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

    Jurucakap JBPM Sarawak berkata, pihak Hospital Kapit menggunakan troli untuk membawa turun pesakit dari wad tingkat tiga untuk dimasukkan ke dalam ambulans.

    "Bomba kemudiannya membantu mengangkat pesakit tersebut dari dermaga untuk di bawa masuk ke dalam bot Kementerian Kesihatan seterusnya dibawa ke Hospital Sibu oleh pihak Hospital Kapit," katanya.

    Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit dikerahkan ke lokasi kejadian.

    Sehingga berita ini ditulis, keadaan pesakit masih belum dapat dipastikan.-Sarawakiana